Islam ialah agama fitrah bersifat tabii yang menjadi ketetapan Allah, sebagaimana firman-Nya:
فَأَقِمۡ وَجۡهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفٗاۚ فِطۡرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِي فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيۡهَاۚ لَا تَبۡدِيلَ لِخَلۡقِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ ٣٠
“Maka, hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” [Surah al-Rum: 30]
Allah menetapkan makhluk manusia bersifat fitrah berbangsa, bersuku kaum, berbahasa dan berwarna kulit, yang menjadi sebahagian daripada ciri-ciri alam semesta.
Hal ini ditegaskan oleh al-Quran, kitab suci umat Islam daripada Ilmu Allah dan Kalam-Nya. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal! Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]
Firman Allah SWT lagi:
وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ ٢٢
“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi, dan berlain-lainan bahasamu, serta warna kulitmu. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” [Surah al-Rum: 22]
Teori hilangnya bangsa dan bahasa adalah suatu perkara luar tabii yang menjadi fenomena dunia terkini yang ingin mengubah ciptaan Allah, sehingga mencabar kekuasaan-Nya.
Mereka bukan sahaja mencipta teori kemasyarakatan, politik, ekonomi, dan sebagainya, bahkan melahirkan berbagai-bagai ideologi yang menjadi alternatif kepada agama.
Hal ini termasuklah mengubah dalaman diri manusia sendiri sehingga mahu menghapuskan adanya jantina lelaki dan perempuan.
Maka, lahirlah kumpulan LGBT yang menyamakan hak asasi manusia dengan hak asasi binatang dan sebagainya.
Perbuatan ini menjadi salah satu tanda kiamat yang memusnahkan alam. Firman Allah SWT:
ٱللَّهُ ٱلَّذِي خَلَقَكُمۡ ثُمَّ رَزَقَكُمۡ ثُمَّ يُمِيتُكُمۡ ثُمَّ يُحۡيِيكُمۡۖ هَلۡ مِن شُرَكَآئِكُم مَّن يَفۡعَلُ مِن ذَٰلِكُم مِّن شَيۡءٖۚ سُبۡحَٰنَهُۥ وَتَعَٰلَىٰ عَمَّا يُشۡرِكُونَ ٤٠ ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١
“Allah jua yang menciptakan kamu, kemudian Dia memberi rezeki kepada kamu, kemudian mematikanmu, kemudian Dia menghidupkan kamu (kembali). Adakah antara makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah itu yang dapat berbuat sesuatu daripada yang demikian itu? Maha Sucilah Dia dan Maha Tinggi keadaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan (dengan-Nya). (40)
Telah nampak pelbagai kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (41)” [Surah al-Rum: 40-41]
Allah menetapkan antara fitrah manusia itu ialah bermasyarakat madani yang mewajibkan kepelbagaian, maka manusia harus saling menjalin hubungan antara satu sama lain.
Keadaan ini disebabkan oleh tahap ilmu, pemikiran, kebolehan, kemahiran, dan kemampuan, serta hasil bumi yang berlainan daripada setiap daerah dan wilayah, serta wujudnya budaya dan bahasa yang berbeza.
Sekaligus menunjukkan bahawa mereka yang pandai mewiridkan perkataan madani yang menjadi slogan negara itu, laksana burung kakak tua yang pandai menyebut perkataan tanpa mengetahui maksud dan maknanya.
Perkataan madani berasal daripada bahasa Arab yang menjadi bahasa al-Quran, dan ia dihuraikan panjang lebar oleh Ibn Khaldun RH melalui ungkapannya:
الْإِنْسَانُ مَدَنِيٌّ بِالطَّبْعِ
“Manusia itu bersifat madani secara tabii.” [Ibn Khaldun, Tarikh Ibn Khaldun, jld. 1 (al-Muqaddimah), hlm. 54]
Al-Quran menegaskan bahawa antara ciri tabii manusia ialah berbangsa dan bersuku kaum.
Kedua-duanya mustahil dihapuskan kerana menjadi ketetapan Allah Pencipta alam.
Antara ketetapan-Nya lagi ialah peredaran matahari, bulan, bintang cakerawala, musim yang berubah, dan bencana alam yang tidak mampu diubah dan dipinda oleh ilmu makhluknya termasuk manusia.
Nabi Ibrahim AS mencabar Raja Namrud yang angkuh, sebagaimana firman Allah SWT:
أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِي حَآجَّ إِبۡرَٰهِۧمَ فِي رَبِّهِۦٓ أَنۡ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ٱلۡمُلۡكَ إِذۡ قَالَ إِبۡرَٰهِۧمُ رَبِّيَ ٱلَّذِي يُحۡيِۦ وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا۠ أُحۡيِۦ وَأُمِيتُۖ قَالَ إِبۡرَٰهِۧمُ فَإِنَّ ٱللَّهَ يَأۡتِي بِٱلشَّمۡسِ مِنَ ٱلۡمَشۡرِقِ فَأۡتِ بِهَا مِنَ ٱلۡمَغۡرِبِ فَبُهِتَ ٱلَّذِي كَفَرَۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٢٥٨
“Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah telah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan)? Ketika Ibrahim mengatakan, ‘Tuhanku ialah Yang Menghidupkan dan Mematikan,’ orang itu berkata, ‘Saya dapat menghidupkan dan mematikan.’ Ibrahim berkata, ‘Sesungguhnya, Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dia dari barat,’ lalu terdiamlah orang kafir itu; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” [Surah al-Baqarah: 258]
Begitulah ketetapan Allah, iaitu adanya bangsa yang bertambah dan silih berganti.
Contohnya, bangsa Semitik yang berkembang kepada pelbagai bangsa, dengan rupa bangsa yang pelbagai dan bahasa yang berlainan yang tidak boleh dihapuskan.
Hal ini demikian kerana, penghapusan bangsa menyanggah fitrah ketetapan Allah.
Maka, menuduh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang berprinsip Islam akan menghapuskan bangsa sebenarnya terkeluar daripada hakikat yang sebenar.
Teori menghapuskan bangsa sebenarnya teori Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang membawa teori Malaysian Malaysia.
Mereka mahu menghilangkan rupa bangsa dalam masyarakat majmuk di Malaysia, sehingga tidak ada Melayu lagi tetapi hanya bangsa Cina sahaja yang ada kerana tidak dapat menghapuskan semangat kecinaan mereka.
Allah melantik para anbiya’ dan rasul daripada kalangan pelbagai bangsa. Firman Allah SWT:
وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤ وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مُوسَىٰ بَِٔايَٰتِنَآ أَنۡ أَخۡرِجۡ قَوۡمَكَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَذَكِّرۡهُم بِأَيَّىٰمِ ٱللَّهِۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّكُلِّ صَبَّارٖ شَكُورٖ ٥
“Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. (4)
“Dan sesungguhnya, Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami, (dan Kami perintahkan kepadanya), ‘Keluarkanlah kaummu dari gelap-gelita kepada cahaya terang-benderang dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah.’” Sesungguhnya, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang penyabar dan banyak bersyukur. (5)” [Surah Ibrahim: 4-5]
Walaupun Nabi Muhammad SAW diutus menjadi Rasul kepada seluruh manusia, Allah tidak menghapuskan bangsa, bahkan menggilir-gilirkan bangsa-bangsa yang menganut Islam. Firman Allah SWT:
هَـٰٓأَنتُمْ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨
“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka, antara kamu ada yang kikir, dan sesiapa yang kikir sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allah jua Tuhan Yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]
Allah menggantikan bangsa Arab dengan pelbagai bangsa lain yang mengambil alih memimpin kuasa Islam yang memerintah negara.
Antaranya pernah dipimpin oleh bangsa Kurdi, bangsa Turki-Mongol (bangsa yang memimpin Kerajaan Mughal atau Moghul) di India, bangsa Turki dan lain-lain di beberapa daerah penjuru dunia.
Al-Quran merupakan mukjizat ilmu yang mengumpulkan khazanah ilmu manusia daripada tamadun yang terdiri daripada pelbagai bangsa, berpandukan petunjuk ilmu wahyu daripada Kitab Allah.
Sehingga berjaya mencipta tamadun ilmu dunia daripada pelbagai bangsa dan bahasa yang benar-benar memberi manfaat kepada manusia.
Adapun kemusnahan dunia kini berlaku, apabila manusia terkeluar daripada fitrah kejadiannya yang berjasad, bernafsu, berakal, dan bermasyarakat, dengan pengisian yang tidak sempurna.
Kemudian, diisi pula jasad, nafsu, dan akal, tetapi dibiarkan rohnya kosong.
Keadaan ini menyebabkan nafsunya melonjak tidak ada sempadan, sehingga menjadi lebih teruk daripada binatang.
Selain itu, akalnya disalahgunakan yang tidak berpanduan walaupun berilmu, sehingga merosakkan diri sendiri.
Malah, diisi pula tubuh badannya dengan makanan yang haram, sehingga mengganas lebih dahsyat daripada binatang, kerana kehidupannya sudah terkeluar daripada sempadan fitrah ketetapan Allah.
Firman Allah SWT:
وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩
“Dan sesungguhnya, Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu bagaikan binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Surah al-A‘raf: 179]
Kemusnahan berlaku apabila manusia mengubah ketetapan Allah Pencipta alam yang terkandung dalam aqidah tauhid rububiyyah yang juga menjadi fitrah manusia. Firman Allah SWT:
وَلَئِن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُۚ قُلۡ أَفَرَءَيۡتُم مَّا تَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ إِنۡ أَرَادَنِيَ ٱللَّهُ بِضُرٍّ هَلۡ هُنَّ كَٰشِفَٰتُ ضُرِّهِۦٓ أَوۡ أَرَادَنِي بِرَحۡمَةٍ هَلۡ هُنَّ مُمۡسِكَٰتُ رَحۡمَتِهِۦۚ قُلۡ حَسۡبِيَ ٱللَّهُۖ عَلَيۡهِ يَتَوَكَّلُ ٱلۡمُتَوَكِّلُونَ ٣٨
“Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka, ‘Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?’, nescaya mereka menjawab, ‘Allah.’” Katakanlah, ‘Maka, terangkanlah kepadaku tentang apa yang kamu seru selain Allah, jika Allah hendak mendatangkan kemudaratan kepadaku, apakah berhala-berhalamu itu dapat menghilangkan kemudaratan itu, atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, apakah mereka dapat menahan rahmat-Nya?’ Katakanlah, ‘Cukuplah Allah bagiku.’ Kepada-Nya jua bertawakal orang-orang yang berserah diri.” [Surah al-Zumar: 38]
Punca kemusnahan apabila berlakunya syirik yang menolak adanya Allah Yang Maha Esa, Pencipta dan Pentadbir alam semesta. Firman Allah SWT:
حُنَفَآءَ لِلَّهِ غَيۡرَ مُشۡرِكِينَ بِهِۦۚ وَمَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَكَأَنَّمَا خَرَّ مِنَ ٱلسَّمَآءِ فَتَخۡطَفُهُ ٱلطَّيۡرُ أَوۡ تَهۡوِي بِهِ ٱلرِّيحُ فِي مَكَانٖ سَحِيقٖ ٣١
“Dengan ikhlas kepada Allah, tidak mempersekutukan sesuatu dengan Dia. Sesiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.” [Surah al-Hajj: 31]
Allah membandingkan kemusnahan akibat berlakunya syirik menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain membawa kemusnahan sehingga menghancurkan alam, termasuk makhluk manusia.
Seluruh alam disuruh menyerah diri kepada Allah, Penciptanya, termasuk alam manusia yang diberikan kemuliaan melalui sifat kejadiannya secara fitrah. Firman Allah SWT:
أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ ٨٣
“Maka, apakah mereka mencari agama yang lain daripada agama Allah? Padahal kepada-Nya sahaja segala apa yang di langit dan di bumi menyerahkan diri, sama ada secara sukarela mahupun terpaksa; dan hanya kepada Allah jua mereka dikembalikan.” [Surah Ali ‘Imran: 83]
Maka, kalangan yang mengheret manusia keluar daripada fitrah (tabiinya) adalah makhluk yang paling merosakkan alam semesta.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
