Kini, kita berdepan dengan dunia yang penuh dengan pembohongan dan penipuan, sehingga orang yang bersalah berlagak dirinya tidak bersalah, pembohong berlagak dirinya yang paling benar, dan penipu pula berlagak dirinya yang paling ikhlas.
Kadang-kadang menggunakan helah sebagaimana seorang pencuri sebenar demi menyelamatkan diri, maka dia melaungkan “pencuri” bersama orang ramai yang mengejar pencuri bagi mengelirukan orang ramai yang memburunya.
Tindakannya lebih parah apabila undang-undang binatang buas di rimba dijadikan panduan bagi menghalalkan segala tindakannya.
Oleh sebab itu, menjadi kaedah yang diamalkan, iaitu sesiapa yang merasa dirinya kuat dan berkuasa, maka dia pasti benar dan semua tindakannya adalah tidak salah serta memaksa semua pihak menerimanya.
Negara Islam dan umatnya dijadikan mangsa.
Mantan Setiausaha (Luar) Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo pernah membuat kenyataan bagi pihak tuannya, Zionis bahawa, “Negara Islam ialah penyumbang kepada kumpulan pengganas Islam seperti Hamas dan lain-lain.”
Kumpulan Islam yang sedang berjuang menentang kezaliman terhadap mereka dilabelkan sebagai pengganas, padahal kumpulan Islam itu menentang Israel yang terkenal dengan keganasan mereka yang melampau terhadap kemanusiaan, malah telah disabitkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan diketahui oleh masyarakat dunia.
Inilah contoh penipuan yang terbuka.
Perkara ini boleh difahami walaupun oleh manusia yang paling tidak berpelajaran, cukup dengan perasaan kemanusiaan yang ada dalam diri seseorang yang berakal, kecuali yang akalnya tidak sihat.
Serangan Amerika Syarikat terhadap Vietnam, Afghanistan dan Iraq terdahulu tetap dan masih berada dalam ingatan masyarakat antarabangsa.
Terkini, Amerika Syarikat menawan Presiden Venezuela dan bersikap membantu negara haram Israel yang paling ganas dalam sejarah dunia moden sehingga lebih melampau daripada binatang yang paling hina.
Semuanya dianggap benar dan adil atas nama keamanan bagi Zionis Israel di bumi Palestin yang dirompak secara terbuka serta atas nama demokrasi dan kebebasan untuk mendirikan negaranya.
Allah SWT menyatakan dalam kitab al-Quran mengenai cerita kaum Yahudi dahulu kala yang sehingga kini masih tidak berubah, firman-Nya:
قُلۡ هَلۡ أُنَبِّئُكُم بِشَرّٖ مِّن ذَٰلِكَ مَثُوبَةً عِندَ ٱللَّهِۚ مَن لَّعَنَهُ ٱللَّهُ وَغَضِبَ عَلَيۡهِ وَجَعَلَ مِنۡهُمُ ٱلۡقِرَدَةَ وَٱلۡخَنَازِيرَ وَعَبَدَ ٱلطَّـٰغُوتَۚ أُوْلَـٰٓئِكَ شَرّٞ مَّكَانٗا وَأَضَلُّ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ ٦٠ وَإِذَا جَآءُوكُمۡ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَقَد دَّخَلُواْ بِٱلۡكُفۡرِ وَهُمۡ قَدۡ خَرَجُواْ بِهِۦۚ وَٱللَّهُ أَعۡلَمُ بِمَا كَانُواْ يَكۡتُمُونَ ٦١ وَتَرَىٰ كَثِيرٗا مِّنۡهُمۡ يُسَٰرِعُونَ فِي ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِ وَأَكۡلِهِمُ ٱلسُّحۡتَۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ٦٢ لَوۡلَا يَنۡهَىٰهُمُ ٱلرَّبَّـٰنِيُّونَ وَٱلۡأَحۡبَارُ عَن قَوۡلِهِمُ ٱلۡإِثۡمَ وَأَكۡلِهِمُ ٱلسُّحۡتَۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَصۡنَعُونَ ٦٣ وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ يَدُ ٱللَّهِ مَغۡلُولَةٌۚ غُلَّتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَلُعِنُواْ بِمَا قَالُواْۘ بَلۡ يَدَاهُ مَبۡسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيۡفَ يَشَآءُۚ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرٗا مِّنۡهُم مَّآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ طُغۡيَٰنٗا وَكُفۡرٗاۚ وَأَلۡقَيۡنَا بَيۡنَهُمُ ٱلۡعَدَٰوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَٰمَةِۚ كُلَّمَآ أَوۡقَدُواْ نَارٗا لِّلۡحَرۡبِ أَطۡفَأَهَا ٱللَّهُۚ وَيَسۡعَوۡنَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَسَادٗاۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ ٦٤
“Katakanlah, ‘Adakah akan aku beritakan kepadamu tentang orang-orang yang lebih buruk pembalasannya daripada (orang-orang fasiq) itu di sisi Allah, iaitu orang-orang yang dikutuki dan dimurkai Allah, antara mereka (ada) yang dijadikan kera dan babi dan (orang yang) menyembah taghut?’ Mereka itu lebih buruk tempatnya dan lebih tersesat dari jalan yang lurus. (60)
“Dan apabila orang-orang (Yahudi atau munafiq) datang kepadamu, mereka mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ padahal mereka datang kepadamu dengan kekafirannya dan mereka pergi (daripada kamu) dengan kekafirannya (pula); dan Allah lebih mengetahui apa-apa yang mereka sembunyikan. (61)
“Dan kamu akan melihat kebanyakan daripada mereka (orang-orang Yahudi) bersegera membuat dosa dan permusuhan dan memakan yang haram. Sesungguhnya amat buruk apa yang mereka telah lakukan itu. (62)
“Mengapa orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka tidak melarang mereka mengucapkan perkataan bohong dan memakan yang haram? Sesungguhnya amat buruk apa yang mereka telah kerjakan itu. (63)
“Orang-orang Yahudi berkata, ‘Tangan Allah terbelenggu.’ Sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa-apa yang telah mereka katakan itu. (Tidak demikian), tetapi kedua-dua Tangan Allah terbuka; Dia menafkahkan sebagaimana Dia kehendaki. Dan al-Quran yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu sungguh-sungguh akan menambah kederhakaan dan kekafiran bagi kebanyakan antara mereka. Dan Kami telah timbulkan permusuhan dan kebencian antara mereka sampai Hari Kiamat. Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya, dan mereka berbuat kerosakan di muka bumi, dan Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan. (64)” [Surah al-Ma’idah: 60–64]
Merekalah makhluk perosak yang paling membinasakan kehidupan dunia.
Kini, Yahudi Zionis membiayai kuasa besar dunia untuk kembali menjajah dan memperhambakan sesama manusia, melakukan kegiatan merosakkan akhlak manusia menjadi lebih hina daripada binatang, merosakkan politik, ekonomi, dan alam sekitar atas nama kemajuan yang rakus mengejar kekayaan tanpa batas, serta mencipta senjata pemusnah yang menjadikan manusia lebih ganas daripada binatang paling ganas kerana boleh membunuh jutaan manusia dalam sekelip mata.
Maka, semua negara maju yang menjadi anggota mereka boleh bertindak apa-apa sahaja terhadap negara yang kecil dan lemah, atas nama mempertahankan konsep kebebasan demokrasi dan hak asasi manusia kononnya atas nama keamanan dunia.
Allah tidak mengizinkan makhluk perosak berkekalan selagi belum tiba ajal dunia.
Maka, Allah mengizinkan adanya penentangan terhadap golongan yang merosakkan dunia dengan firman-Nya:
… وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّفَسَدَتِ ٱلۡأَرۡضُ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢٥١
“…Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian umat manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Akan tetapi, Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam.” [Surah al-Baqarah: 251]
Firman Allah SWT:
… فَمَنِ ٱعۡتَدَىٰ عَلَيۡكُمۡ فَٱعۡتَدُواْ عَلَيۡهِ بِمِثۡلِ مَا ٱعۡتَدَىٰ عَلَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِينَ ١٩٤
“…Sesiapa yang menyerang kamu, maka seranglah dia seimbang dengan serangannya terhadapmu. Bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah berserta orang-orang yang bertaqwa.” [Surah al-Baqarah: 194]
Firman Allah SWT:
وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]
Allah menetapkan kezaliman tidak berkekalan. Firman Allah SWT:
… وَسَيَعۡلَمُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓاْ أَيَّ مُنقَلَبٖ يَنقَلِبُونَ ٢٢٧
“…Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.” [Surah al-Shu‘ara’: 227]
Sejarah keruntuhan kuasa besar dunia pada zaman purba pasti berulang mengikut sunnah alam ketetapan Allah, sebagaimana firman-Nya:
أَلَمۡ يَأۡتِكُمۡ نَبَؤُاْ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ قَوۡمِ نُوحٖ وَعَادٖ وَثَمُودَ وَٱلَّذِينَ مِنۢ بَعۡدِهِمۡ لَا يَعۡلَمُهُمۡ إِلَّا ٱللَّهُۚ جَآءَتۡهُمۡ رُسُلُهُم بِٱلۡبَيِّنَٰتِ فَرَدُّوٓاْ أَيۡدِيَهُمۡ فِيٓ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَقَالُوٓاْ إِنَّا كَفَرۡنَا بِمَآ أُرۡسِلۡتُم بِهِۦ وَإِنَّا لَفِي شَكّٖ مِّمَّا تَدۡعُونَنَآ إِلَيۡهِ مُرِيبٖ ٩
“Belumkah sampai kepadamu berita orang-orang sebelum kamu, (iaitu) kaum Nuh, ‘Ad, Thamud, dan orang-orang sesudah mereka? Tidak ada yang mengetahui mereka selain Allah. Telah datang rasul-rasul kepada mereka (membawa) bukti-bukti yang nyata, lalu mereka menutupkan tangan mereka pada mulut mereka (kerana kebencian) dan berkata, ‘Sesungguhnya kami mengingkari apa-apa yang kamu disuruh menyampaikannya (kepada kami), dan sesungguhnya kami benar-benar dalam keragu-raguan yang menggelisahkan terhadap apa-apa yang kamu ajak kami kepadanya.’” [Surah Ibrahim: 9]
Firman Allah SWT:
فَكُلًّا أَخَذۡنَا بِذَنۢبِهِۦۖ فَمِنۡهُم مَّنۡ أَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِ حَاصِبٗا وَمِنۡهُم مَّنۡ أَخَذَتۡهُ ٱلصَّيۡحَةُ وَمِنۡهُم مَّنۡ خَسَفۡنَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ وَمِنۡهُم مَّنۡ أَغۡرَقۡنَاۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيَظۡلِمَهُمۡ وَلَٰكِن كَانُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ يَظۡلِمُونَ ٤٠ مَثَلُ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَوۡلِيَآءَ كَمَثَلِ ٱلۡعَنكَبُوتِ ٱتَّخَذَتۡ بَيۡتٗاۖ وَإِنَّ أَوۡهَنَ ٱلۡبُيُوتِ لَبَيۡتُ ٱلۡعَنكَبُوتِۚ لَوۡ كَانُواْ يَعۡلَمُونَ ٤١ إِنَّ ٱللَّهَ يَعۡلَمُ مَا يَدۡعُونَ مِن دُونِهِۦ مِن شَيۡءٖۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤٢
“Maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya. Maka antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil, antara mereka ada yang ditimpa suara keras yang mengguntur, antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan antara mereka ada yang Kami tenggelamkan. Dan Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri. (40)
“Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah ialah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah kalau mereka mengetahui. (41)
“Sesungguhnya Allah mengetahui apa-apa saja yang mereka seru selain Allah. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (42)” [Surah al-‘Ankabut: 40–42]
Firman Allah SWT:
أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ ٦ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ ٧ ٱلَّتِي لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِي ٱلۡبِلَٰدِ ٨ وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ ٩ وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ ١٤
“Adakah kamu tidak memerhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Ad? (6)
“(Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. (7)
“Yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) seperti itu di negeri-negeri lain. (8 )
“Dan kaum Thamud yang memotong batu-batu besar di lembah. (9)
“Dan kaum Firaun yang mempunyai pasak-pasak (tentera yang banyak). (10)
“Yang berbuat sewenang-wenang di dalam negeri. (11)
“Lalu mereka berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu. (12)
“Oleh sebab itu, Tuhanmu menimpakan kepada mereka cemeti azab. (13)
“Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi. (14)” [Surah al-Fajr: 6–14]
Tiada kuasa besar ciptaan manusia yang kekal selama-lamanya, hanya Kerajaan Allah sahaja yang kekal.
Semua yang lain pasti menemui ajalnya.
Semua kuasa besar itu tidak mampu bertahan dengan bala tentera yang ramai, senjata yang canggih, dan kekayaan yang melimpah ruah.
Allah SWT sengaja menangguhkan mereka agar bertahan lama sehingga ada yang menjangkaui beberapa dekad bagi menguji manusia di alam dunia. Firman Allah SWT:
تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢
“Maha Suci Allah yang dalam Tangan-Nya sahajalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1)
“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)” [Surah al-Mulk: 1–2]
Tujuannya ialah Allah memberikan peluang kepada golongan yang zalim supaya bermuhasabah diri, insaf, dan bertaubat.
Adapun mangsa kezaliman pula diuji keimanan dan kesabaran mereka. Firman Allah SWT:
الٓمٓ ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٣
“Alif lam mim. (1) Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedangkan mereka tidak diuji lagi? (2)
“Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta. (3)” [Surah al-‘Ankabut: 1–3]
Firman Allah SWT:
أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَعۡلَمِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ مِنكُمۡ وَيَعۡلَمَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ١٤٢
“Adakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad antaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar?” [Surah Ali ‘Imran: 142]
Allah SWT memerintahkan supaya berjuang menentang musuh yang zalim dengan segala persediaan mengikut keadaan semasa:
وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa-apa saja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu serta orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedangkan Allah mengetahuinya. Apa-apa saja yang kamu nafkahkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]
Persediaan menentang musuh ialah mengikut keadaan semasa dari segi persenjataan, ilmu, dan adab yang mulia tanpa melampau seperti musuh yang zalim.
Demikianlah perintah kepada nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW yang menjadi teladan pada sepanjang zaman. Firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١
“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40)
“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 40–41]
Perintah ini dilangsungkan oleh generasi awal selepas kewafatan Rasulullah SAW sehingga menumbangkan dua kuasa besar dunia iaitu Rom dan Parsi.
Seterusnya, Islam menjadi kuasa besar yang adil kepada seluruh dunia sehingga beberapa abad setelah berjaya melahirkan Tamadun Islam yang kesannya dirasai sehingga kini, namun dirasakan kerosakannya oleh Tamadun Barat selepas itu apabila Islam dipinggirkan dalam kehidupan manusia.
Kini, kehidupan manusia dimusnahkan agar kembali kepada jahiliah yang lebih ganas dan liar daripada jahiliah pada zaman purba.
Namun, ketetapan Allah yang menjadikan alam dunia sentiasa berubah-ubah dan terus berlangsung menunjukkan bahawa dunia terus berpusing dan makhluk di atasnya sering kali berubah.
Oleh yang demikian, percayalah bahawa masa depan tetap berpihak kepada Islam.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
