Setelah mendengar, menyelidik dan meneliti segala perkara yang berlaku, saya titipkan pandangan dan nasihat ikhlas saya kepada sekalian ahli PAS Perlis.
PAS Pusat yang dipilih dan dilantik oleh Muktamar Tahunan PAS Pusat berkuasa bagi melaksanakan pentadbiran yang tertinggi dalam PAS yang tidak berlawanan dengan dasar dan hukum tertinggi, mengikut Fasal 39(1) dan Fasal 39(9) Perlembagaan PAS.
Adapun pelaksanaan dasar hukum tertinggi PAS iaitu al-Quran dan as-Sunnah serta Ijmak ‘Ulamak dan Qias, dipertanggungjawabkan kepada Majlis Syura ‘Ulamak mengikut Fasal 8(1) Perlembagaan PAS yang dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dewan ‘Ulamak PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Pusat, Dewan Muslimat PAS Pusat dan dilantik anggota tambahan oleh Majlis Syura ‘Ulamak itu sendiri.
Maka, Majlis Syura ‘Ulamak tiada kaitan dengan pentadbiran selagi tidak bercanggah dengan dasar tertinggi.
Manakala, PAS Pusat diwajibkan mentadbir dan melantik jawatan-jawatan di semua peringkat dan di bawah pentadbirannya dan mengawasi Kerajaan Negeri.
Termasuk jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri, Menteri Besar dan lain-lain yang wajib ditaati arahannya berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
الْجِهَادُ وَاجِبٌ عَلَيْكُمْ مَعَ كُلِّ أَمِيرٍ بَرًّا كَانَ أَوْ فَاجِرًا
“Jihad wajib dilaksanakan tugasnya bersama pemimpin yang dilantik, sama ada seorang yang baik ataupun seorang yang jahat.” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Jihad, no. 2533, daripada Abu Hurairah]
Jihad itu wajib bersama ketua yang dilantik, sama ada dia seorang yang baik atau seorang yang jahat, melainkan arahan mengerjakan maksiat kerana sabda Rasulullah SAW:
لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةِ اللهِ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ
“Tiada ketaatan (kepada makhluk) dalam perkara maksiat terhadap Allah. Sesungguhnya, ketaatan itu dalam perkara kebajikan.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Akhbar al-Ahad, no. 7257 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, no. 1840, daripada ‘Ali bin Abi Talib]
PAS Pusat telah memilih Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis daripada kalangan ahli Majlis Syura ‘Ulamak, jawatan yang paling bersih dalam PAS.
Kita telah melakukan tabayyun terhadap aduan daripada Perlis sejak awal menerima pengaduan selepas baharu sahaja mendapat kemenangan.
Aduan salah laku akhlak dan pentadbiran.
Tabayyun wajib dilaksanakan kerana perintah Allah:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ 6
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” [Surah al-Hujurat: 6]
Beberapa orang daripada PAS Pusat dihantar ke Perlis bagi melakukan tabayyun dan para pemimpin PAS Kawasan dijemput datang untuk mendengar pengaduan secara berdepan serta siasatan yang lain.
Adapun tuduhan akhlak, tidak ada saksi yang adil yang dikemukakan, hanya cerita yang dicipta dan akhirnya diketahui puncanya.
Adapun pertemuan dengan para pemimpin PAS Kawasan di Pejabat Agung mendedahkan sifatnya yang tidak memenuhi sifat-sifat ahli parti Islam yang bertarbiah.
Secara tidak segan melahirkan tidak berpuas hati terhadap beberapa keputusan parti dan kepimpinan negeri, antaranya:
1. Apabila sebilangan mereka menonjolkan diri masing-masing sebagai paling layak memegang jawatan tetapi tidak dilantik.
Sifat yang disebut oleh Rasulullah SAW tidak layak diberi jawatan.
Sabda Rasulullah SAW:
إِنَّا وَاللهِ لَا نُوَلِّي عَلَى هَذَا الْعَمَلِ أَحَدًا سَأَلَهُ، وَلَا أَحَدًا حَرَصَ عَلَيْهِ
“Sesungguhnya, demi Allah, kami tidak melantik untuk urusan ini (jawatan kepimpinan) sesiapa yang memintanya, dan tidak juga sesiapa yang terlalu menginginkannya.” (Riwayat Muslim, Kitab al-Imarah, no. 1733)
2. Laporan berlakunya lobi-melobi yang tidak berakhlak dalam mesyuarat agung sebagai tindakan merosakkan dalaman PAS dan menjatuhkan Kerajaan Negeri.
3. Tidak memahami kelemahan peringkat Kerajaan baharu yang dapat diselesaikan mengikut proses pentadbiran yang dapat dibetulkan serta ada masalah bidang kuasa Kerajaan Negeri yang terbatas.
4. Tidak menghormati hak Pesuruhjaya dalam bertindak menyelesaikan masalah dan menentukan keputusan secara syura yang diberikan oleh al-Quran:
فَبِمَا رَحۡمَةٖ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَۖ فَٱعۡفُ عَنۡهُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ 159
“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri daripada sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” [Surah Ali ‘Imran: 159]
5. Tidak beristiqamah menghadapi tekanan pihak luar dan tidak mempertahankan perjuangan parti, sehingga melaksanakan langkah daripada luar jemaah yang bercanggah dengan perjuangan parti yang menentang salah laku dan penyelewengan yang mahu merosakkan Kerajaan Negeri.
6. Berakhir dengan menyokong tindakan khianat menjatuhkan Kerajaan PAS sehingga diberi kepada pihak yang lain, kawan yang tidak bersetia kawan.
Kesimpulannya bahawa kepercayaan kami kepada Pesuruhjaya PAS yang dilantik sangat tinggi.
Apa yang berlaku ialah tidak wala’ kepada Parti dan tidak taat kepada pemimpin yang dilantik oleh Pimpinan PAS Pusat tanpa alasan yang sebenar.
Sila ambil peringatan daripada firman Allah:
وَلَقَدۡ صَدَقَكُمُ ٱللَّهُ وَعۡدَهُۥٓ إِذۡ تَحُسُّونَهُم بِإِذۡنِهِۦۖ حَتَّىٰٓ إِذَا فَشِلۡتُمۡ وَتَنَٰزَعۡتُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِ وَعَصَيۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ مَآ أَرَىٰكُم مَّا تُحِبُّونَۚ مِنكُم مَّن يُرِيدُ ٱلدُّنۡيَا وَمِنكُم مَّن يُرِيدُ ٱلۡأٓخِرَةَۚ وَلَقَدۡ عَفَا عَنكُمۡۗ وَٱللَّهُ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ 152
“Dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janji-Nya kepada kamu, ketika kamu membunuh mereka dengan izin-Nya sampai pada saat kamu lemah dan berselisih dalam urusan itu dan mendurhakai perintah (Rasul) sesudah Allah memperlihatkan kepadamu apa yang kamu sukai. Di antara kamu ada orang yang menghendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang menghendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk menguji kamu, dan sesunguhnya Allah telah memaafkan kamu. Dan Allah mempunyai karunia (yang dilimpahkan) atas orang orang yang beriman.” [Surah Ali ‘Imran: 152]
Sila lakukan muhasabah diri sendiri dengan adil, betapa pentingnya menjaga perpaduan dalam jemaah, memastikan pergerakan jemaah tidak terhenti dan musuh gagal mengambil kesempatan.
Perjuangan harus tetap bergerak, kerana dalam jemaah ada ramai ahli yang terus melaksanakan kewajipan tanpa memikirkan jawatan dan habuan, hanya ikhlas kerana Allah.
Firman Allah SWT:
وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ٤٦
“Dan taatilah Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu saling berbantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu, serta bersabarlah. Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang sabar.” [Surah al-Anfal: 46]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
