Ramai dalam kalangan umat Islam menganggap urusan politik pemerintahan negara tidak penting, bahkan ada yang beranggapan politik adalah kerja kotor yang penuh dengan penipuan.
Hal ini disebabkan ada pula penyakit dalam politik seperti menipu, rasuah dan lain-lain, lalu menyebabkan ada yang beranggapan lebih baik beribadat sahaja bagi mendapat keredaan Allah pada Hari Akhirat nanti.
Mereka tidak menyedari bahawa inilah penyakit kaum Yahudi yang paling dimurkai Allah dan dilaknat sepanjang zaman, kerana mereka tidak beriman dengan semua yang ada dalam Kitab Allah.
Setiap penganut Islam diminta supaya dijauhkan daripadanya melalui doa pada setiap rakaat solat.
Kaum Yahudi yang tidak beriman kepada semua yang terkandung dalam kitab Taurat, keadaan ini didedahkan oleh firman Allah SWT:
… أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ ٨٥
“…Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripada kamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada Hari Kiamat mereka dikembalikan kepada seksaan yang sangat berat. Allah tidak berlengah daripada apa yang kamu perbuat.” [Surah al-Baqarah: 85]
Mereka beriman kepada rasul yang dipilih oleh mereka dan menolak rasul yang lain.
Mereka tidak menerima semua petunjuk yang terkandung dalam kitab Taurat, bahkan menolak sebahagian besarnya.
Antaranya, termasuk urusan undang-undang negara yang melibatkan kesalahan yang dilakukan oleh kalangan bangsawan, seperti kesalahan yang dijatuhkan hukuman hudud sepertimana yang disebut dalam kitab Taurat.
Mereka juga tidak sepenuhnya bersama para rasul yang berjuang sepanjang zaman untuk menegakkan negara bagi melaksanakan hukum Allah yang telah diwahyukan.
Bagi mereka, cukup sekadar membaca kitab Taurat, khususnya pada setiap malam Sabtu, seperti kalangan orang Islam yang membaca Surah Yasin pada setiap malam Jumaat. Firman Allah SWT:
مَثَلُ ٱلَّذِينَ حُمِّلُواْ ٱلتَّوۡرَىٰةَ ثُمَّ لَمۡ يَحۡمِلُوهَا كَمَثَلِ ٱلۡحِمَارِ يَحۡمِلُ أَسۡفَارَۢاۚ بِئۡسَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بَِٔايَٰتِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٥
“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya (melaksanakan petunjuknya) adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” [Surah al-Jumu‘ah: 5]
Kitab Taurat yang mengandungi banyak petunjuk Allah di dalamnya, khususnya dalam urusan kehidupan dunia, tidak diamalkan, tetapi hanya sekadar dibaca sahaja.
Nabi Musa dan Nabi Harun AS yang memimpin mereka, setelah diselamatkan daripada kezaliman Firaun secara mukjizat, telah dikecewakan.
Keadaan ini berlaku apabila mereka diajak berjihad memasuki Palestin bagi menegakkan negara yang beramal dengan Kitab Allah.
Allah menyebut tentang cerita mereka dalam al-Quran, sepertimana firman-Nya:
قَالُواْ يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّا لَن نَّدۡخُلَهَآ أَبَدٗا مَّا دَامُواْ فِيهَا فَٱذۡهَبۡ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقَٰتِلَآ إِنَّا هَٰهُنَا قَٰعِدُونَ ٢٤ قَالَ رَبِّ إِنِّي لَآ أَمۡلِكُ إِلَّا نَفۡسِي وَأَخِيۖ فَٱفۡرُقۡ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٥ قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيۡهِمۡۛ أَرۡبَعِينَ سَنَةٗۛ يَتِيهُونَ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ فَلَا تَأۡسَ عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٦
“Mereka berkata, ‘Wahai Musa, kami sekali-kali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada di dalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini saja. (24)
“Berkata Musa, ‘Wahai Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Oleh sebab itu, pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasiq itu.’ (25)
“Allah berfirman, ‘(Jika demikian), maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (padang Tih) itu. Maka, janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasiq itu.’ (26) [Surah al-Ma’idah: 24-26]
Akibatnya, Allah menyesatkan mereka di padang pasir selama 40 tahun, sehingga Nabi Musa dan Nabi Harun AS diwafatkan. Malah, mereka juga ditimpa seksaan dunia dengan kesesatan bertahun-tahun lamanya.
Selepas tempoh 40 tahun, generasi pengecut pun dimatikan, lalu lahir pula generasi baharu.
Maka, muncul Nabi Yusya‘ bin Nun AS (pemuda yang setia kepada Nabi Musa dan Harun AS).
Lalu mereka berjaya memasuki Palestin setelah ditapis dan ditarbiah oleh anggota bersamanya yang ikhlas berjihad.
Namun setelah beberapa lama, Bani Isra’il kembali kepada perangai buruknya dengan meninggalkan Kitab Allah dan tidak menunaikan kewajipan amar ma‘ruf dan nahi munkar, khususnya ketika berkuasa memerintah negara.
Sehingga menyebabkan mereka dihina dan diusir keluar dari Palestin.
Setelah beberapa lama merempat dalam keadaan hina, lahir pula generasi baharu yang bersemangat untuk berjihad membebaskan Palestin yang dijajah.
Mereka meminta nabi mereka melantik seorang raja yang boleh memimpin mereka dalam berjihad.
Allah SWT menyebutkan ceritanya dalam al-Quran, sepertimana firman-Nya:
وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ ٢٤٧
“Nabi mereka mengatakan kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Allah telah mengangkat Talut menjadi rajamu.’ Mereka menjawab, ‘Bagaimana Talut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pun tidak diberi kekayaan yang cukup banyak?’ Nabi (mereka) berkata, ‘Sesungguhnya, Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.’ Allah memberikan pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 247]
Tiba-tiba, mereka ditimpa penyakit politik harta, sehingga menolak raja yang berilmu dan gagah berani serta mampu berjuang.
Begitu juga adanya penyakit gila harta, yang menyebabkan mereka tidak memahami bahawa harta boleh dihasilkan dengan adanya ilmu dan kebijaksanaan.
Hakikatnya, harta tanpa ilmu tidak berguna, kerana harta boleh dihabiskan dengan sebab jahil, bodoh dan jahat.
Para ulama’ tafsir al-Quran menegaskan bahawa:
الْعِبْرَةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ
“Pengajaran wajib diambil daripada lafaz yang umum, bukan daripada sebab yang khusus.”
Maka, segala salah laku dan kesesatan kaum Yahudi terhadap agama Allah adalah sama hukumnya dan akibatnya terhadap penganut Islam pada akhir zaman terhadap al-Qur’an dan segala ajarannya.
Hal ini sepertimana firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan! Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” [Surah al-Baqarah: 208]
Sebab diwahyukan ayat ini adalah kerana ada dalam kalangan penganut Islam asal Yahudi yang meminta izin membaca Taurat pada malam Sabtu.
Hal ini demikian kerana, mereka berpandangan Taurat juga merupakan Kitab Allah.
Sesungguhnya, Allah meletakkan kedudukan mereka yang tidak percaya kepada ajaran Islam yang sempurna sebagai pengikut syaitan.
Para pemikir Zionis mencipta teori dan ideologi politik yang berdasarkan kebendaan sebagai matlamat hidup dan pujaan mereka, sehingga berpisah daripada agama.
Teori yang sesat ini mempengaruhi agama Kristian yang diselewengkan dengan berbagai-bagai cara dan juga pendekatan, seterusnya mempengaruhi cara hidup manusia yang dinamakan sekularisme.
Pengaruh sesat ini dibawa masuk ke dalam masyarakat Islam yang terpengaruh oleh kemajuan kebendaan yang menggilakan masyarakat Barat.
Pengaruh ini kemudiannya dinamakan kemajuan sains dan teknologi yang dilihat sedang membakar dan merosakkan dunia pada hari ini.
Barat yang terpengaruh terhadap tamadun Islam mengambil ilmu dunianya sahaja dengan menolak ajaran Islamnya.
Agama Kristian pula disesatkan dengan pemisahan daripada urusan dunia, menyebabkan kemajuan dunianya tidak mempunyai roh agama, tiada perhitungan dosa dan pahala termasuk tidak berakhlak mulia.
Hal ini menyebabkan kemajuannya membakar dirinya dan merosakkan dunia pada hari ini.
Umat Islam pula ketinggalan dalam ilmu agama, sehingga ditutup pintu ijtihad, dan ketinggalan dalam kajian ilmu dunia. Manakala umat Islam pula dijajah tanah air dan juga pemikirannya. Maka, amalan politik dipisahkan daripada agama.
Namun begitu, dalam aspek ibadat pula ada kalangan yang sangat rajin serta terdapat ramai para qari yang menghafaz al-Quran tanpa memahami isi kandungan dan perintahnya. Maka, berlakulah amaran Rasulullah SAW:
سَيَأْتِي عَلَى أُمَّتِي زَمَانٌ تَكْثُرُ فِيهِ الْقُرَّاءُ، وَتَقِلُّ الْفُقَهَاءُ، وَيُقْبَضُ الْعِلْمُ، وَيَكْثُرُ الْهَرْجُ
“Akan tiba manusia ditimpa bencana banyaknya para qari yang pandai membaca al-Qur’an dan sedikitnya kalangan yang berilmu memahaminya, maka diangkatnya ilmu dan berlakunya huru-hara.” [Hadis riwayat al-Hakim, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, Kitab al-Fitan wa al-Malahim, no. 8412 dan al-Tabrani, al-Mu‘jam al-Awsat, Bab al-Ba’, no. 3277, daripada Abu Hurairah. Lafaz bagi al-Hakim]
Amalan membaca al-Quran adalah ibadat yang besar kelebihannya, tetapi beramal dengan perintahnya adalah amanah besar yang wajib ditunaikan.
Amanah paling besar yang ditinggalkan ialah ilmu politik memerintah negara. Benar amaran yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW:
لَتُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ
“Sesungguhnya, simpulan-simpulan yang mengikat ajaran Islam itu akan dirungkaikan satu demi satu. Setiap kali berlakunya rungkaian, manusia bergantung dengan simpulan yang masih ada. Maka, simpulan yang pertama dirungkaikan ialah ajaran yang berkait dengan hukum pemerintahan (politik pemerintahan negara), manakala simpulan yang terakhir dirungkaikan ialah sembahyang.” [Hadis riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, no. 22160, daripada Abu Umamah al-Bahili]
Akibatnya ialah kejatuhan Kerajaan Islam ‘Uthmaniyyah yang berpunca oleh umat Islam sendiri, kini genap 100 tahun dan jatuhnya bumi Palestin pula genap 70 tahun.
Umat Islam diseksa menjadi hamba penjajah walaupun kini dikatakan sudah merdeka, tetapi fikirannya masih lagi dijajah untuk meninggalkan kewajipan berpolitik.
Imam al-Ghazali RH menegaskan:
الدِّينُ أُسٌّ والسُّلْطَانُ حَارِسٌ، وَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ، وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ
“Agama Islam (al-din) itu ialah asas dan politik (kuasa pemerintahan yang berdaulat) pula ialah pengawas. Apabila asasnya hilang, maka runtuhlah bangunannya, dan apabila pengawasnya hilang (tidak berkuasa), maka hilanglah (ajaran Islam satu demi satu).” [Al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, hlm. 128]
Maka, penyakit tidak peduli politik adalah suatu kemungkaran terbesar yang merosakkan umat dan negara, bahkan ia menjadi satu kemungkaran yang wajib dicegah.
Cukuplah umat Islam diseksa sejak beberapa abad dijajah dan masih dijajah pemikirannya.
Kita mengharapkan generasi baharu bangkit bersama cahaya Islam yang masih tidak boleh dipadamkan kerana Allah tetap memeliharanya, sepertimana firman-Nya:
يُرِيدُونَ لِيُطۡفُِٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩
“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membenci. (8 )
“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya atas segala agama meskipun orang musyrik membenci. (9)” [Surah al-Saff: 8-9]
Kita telah menyaksikan pada abad yang lalu keruntuhan Blok Timur; kini kita sedang menyaksikan tanda-tanda keruntuhan Blok Barat pula.
Maka, masa depan masih ada bersama Islam.
Kini, kita juga menyaksikan kebangkitan generasi baharu menyahut seruan Rasulullah SAW menentang kemungkaran meninggalkan kewajipan berpolitik. Sabda Baginda SAW:
مَا مِنْ نَبيٍّ بَعَثَهُ اللهُ في أمَّة قَبْلِي إِلاَّ كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ وَأصْحَابٌ يَأخُذُونَ بِسنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ، ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ يَقُولُونَ مَا لَا يَفْعَلُونَ، وَيَفْعَلُونَ مَا لَا يُؤْمَرونَ، فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلبِهِ فَهُوَ مُؤمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلسَانِهِ فَهُوَ مُؤمِنٌ، وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الْإِيمَانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ
“Tiap-tiap seorang nabi sebelum aku, Allah meletakkan bersamanya sahabat dan pengikut yang setia berpegang kepada ajarannya dan patuh mengikut jejak langkahnya. Kemudian, setelah nabi itu tiada lagi (wafat), berlaku suasana apabila ada kalangan pengikut yang menyeleweng, bercakap perkara yang tidak dilaksanakan dan melakukan apa yang tidak diperintahkan oleh agama. Maka, sesiapa yang berjihad menentang kemungkaran yang berlaku dengan tangannya, nescaya dia beriman, yang menentang dengan lidahnya dia beriman, dan menentang dengan kebencian di hatinya dia jua beriman, dan sesiapa yang tiada perasaan benci di hatinya terhadap kemungkaran itu, dia sudah tiada iman lagi walaupun sekecil biji yang paling halus.” [Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no. 50, daripada ‘Abdullah bin Mas’ud]
Maka, kebangkitan generasi baharu bersama Islam yang berdaulat adalah petanda bahawa berlaku kemenangan semula Islam yang berdaulat menyelamatkan umat dan negara.
Pengajaran diambil daripada tamatnya generasi tua Bani Isra’il yang sesat di padang pasir selama 40 tahun, seterusnya kelahiran generasi baharu yang meneruskan perjuangan.
Kesimpulannya, dalam al-Quran juga terdapat banyak ayat-ayat yang mewajibkan adanya negara yang berdaulat yang dinasakhkan mengikut selera mereka yang tidak berpolitik.
Begitu juga ayat-ayat yang mewajibkan ibadat sembahyang, puasa, zakat, dan haji, yang tidak boleh dinasakhkan, kerana meraikan mereka yang Islam tetapi tidak mahu menunaikan ibadat solat, puasa, zakat dan haji.
Namun begitu, lebih besar akibatnya apabila menyatakan perkara yang diwajibkan oleh Allah itu sudah tidak wajib lagi.
Firman Allah menyenaraikan kewajipan memerintah negara bersama rukun Islam, walaupun kita tidak menyenaraikannya sebagai salah satu daripada rukun Islam. Hal ini sepertimana firman-Nya:
ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١
“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (memerintah negara), nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah jua kembali segala urusan.” [Surah al-Hajj: 41]
Betapa pentingnya kuasa amar ma‘ruf dan nahi munkar, sehingga diletakkan pada kedudukan yang terawal dalam senarai mereka yang akan mendapat rahmat Allah, sepertimana firman-Nya:
وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓۚ أُوْلَـٰٓئِكَ سَيَرۡحَمُهُمُ ٱللَّهُۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٧١
“Dan orang-orang yang beriman, sama ada lelaki mahupun perempuan, sebahagian daripada mereka (adalah) menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma‘ruf, mencegah daripada perkara yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” [Surah al-Tawbah: 71]
Rasulullah SAW meletakkan pemimpin yang adil pada kedudukan yang pertama yang mendapat naungan Allah di Padang Mahsyar kelak, mendahului mereka yang pergi ke masjid dan berzikir dengan khusyuk sahaja. Sabda Baginda SAW:
سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ، يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: الإِمَامُ العَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي المَسَاجِدِ…
“Terdapat tujuh golongan manusia yang mendapat naungan Allah pada Hari Kiamat kelak, saat tiada naungan selain naungan-Nya. Pertama, imam (pemimpin) yang adil. Kedua, seorang pemuda yang beribadat kepada Allah. Ketiga, seorang lelaki yang hatinya sentiasa terpaut (bergantung) dengan masjid…” [Hadis Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, no. 660, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Zakat, no. 1031, daripada Abu Hurairah, lafaz daripada al-Bukhari]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
