Pergolakan dan krisis dalaman sesebuah organisasi bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Bezanya, krisis dalam parti politik lebih mudah tersebar kerana parti politik sentiasa berada dalam perhatian umum.
Justeru, pergolakan dalaman yang berlaku dalam mana-mana parti politik pada hari ini bukanlah sesuatu yang unik atau terpencil.
Walau apa pun yang berlaku dalam sesebuah organisasi, setiap pergolakan sewajarnya ditangani dengan kembali kepada prinsip penyatuan yang telah difirmankan oleh Allah SWT:
وَٱعۡتَصِمُوا۟ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِیعࣰا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ۚ وَٱذۡكُرُوا۟ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَیۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَاۤءࣰ فَأَلَّفَ بَیۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَ ٰنࣰا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةࣲ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَ ٰلِكَ یُبَیِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَایَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ﴿ ١٠٣ ﴾
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya” (Surah Āli-ʿImrān, ayat 103)
Ayat ini seharusnya menjadi asas penyatuan yang jelas dan tuntas.
Syarat utama untuk mencapai perpaduan dan penyatuan ialah kembali berpegang kepada tali agama Allah.
Penyatuan yang berasaskan akidah merupakan asas yang dituntut dalam Islam.
Perpaduan yang terikat dengan akidah akan melahirkan ketaatan kepada perintah Allah.
Ia adalah sesuatu yang sangat baik bagi sesebuah negara yang berbilang kaum ini.
Dalam masa yang sama, mereka yang kuat berpegang dengan prinsip Islam tidak akan menganiaya atau mengengepikan kebajikan kaum lain.
Islam menetapkan bahawa bangsa adalah ketentuan Allah, dan agama dibina atas keyakinan, bukan paksaan.
Oleh itu, Islam tidak pernah memaksa seseorang untuk menganutnya.
Sebagai Muslim, marilah kita kembali kepada penyatuan yang berasaskan akidah.
Umat sudah terlalu lama menyaksikan pertelingkahan yang akhirnya merugikan semua pihak.
Kemelut politik kepartian seakan-akan tiada penghujungnya.
Hakikatnya, tiada siapa yang benar-benar meraih keuntungan daripada perpecahan dan pertelagahan.
Pergolakan dalaman parti lazimnya melahirkan “tunas baharu”.
Sama ada tunas itu akan terus subur atau layu bergantung kepada kekuatannya sendiri.
Namun yang pasti, umat akan terus menanggung kerugian jika perpecahan berlarutan.
PAS berpandangan bahawa usaha menghidupkan semula kerjasama politik sedia ada akan tetap meninggalkan kesan dan parut sekiranya tidak ditangani dengan hikmah.
Pengalaman menghadapi PRU-15 menyaksikan hasrat besar untuk menggabungkan tiga parti utama, iaitu PAS, UMNO dan Bersatu bagi membentuk kekuatan politik Melayu-Islam.
Namun, usaha tersebut tidak berjaya apabila tiada kesepakatan dicapai antara pihak-pihak terlibat.
Dalam situasi semasa, persoalan yang timbul ialah sama ada masih wujud peluang untuk membentuk satu “Payung Besar Melayu-Islam” yang mampu menyatukan semua pihak yang ingin berada di bawah naungannya.
Secara teori, ia tidak mustahil.
Namun, secara realiti, ia semakin mencabar selagi perpecahan terus melemahkan umat.
Catatan ini ditulis ketika berada di hadapan Kaabah.
Merenungi masa depan umat Islam-Melayu.
Ia menjadi satu doa dan harapan besar agar umat ini kembali bertaut atas dasar akidah tauhid.
Kita perlu duduk bersama memikirkan masa depan negara ini.
Generasi pewaris bangsa dan agama memerlukan asas yang kukuh.
Allah SWT telah memberi peringatan:
فَخَلَفَ مِنۢ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَٱتَّبَعُوا۟ ٱلشَّهَوَٰتِ ۖ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا
“Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)” (Surah Maryam, Ayat 59).
Walau apa pun yang sedang berlaku pada ummah, kita harus terus mengajak ummah ini ke arah penyatuan dan kebaikan.
Tanggung jawab ini diperintahkan oleh Allah agar kita sesekali tidak meninggalkan generasi yang jauh dari Allah, menurut hawa nafsu dan tidak memperdulikan lagi perintah dan larangan agama.
Menyedari hakikat ini, PAS tidak akan berputus asa dalam menggesa usaha penyatuan ummah.
Di mana ada usaha, di situ ada jalan.
Kebenaran mungkin lambat mencapai kemenangan, namun ia pasti tiba.
Kebatilan, walaupun kelihatan kukuh, akan tetap runtuh apabila tiba waktunya.
Itulah janji Allah yang wajib diyakini.
Marilah kita kembali kepada permuafakatan atas dasar Islam.
Ketepikan kepentingan peribadi dan jawatan. Jawatan bukan suatu kemuliaan, sebaliknya amanah yang berat di sisi Allah.
Namun, membiarkan jawatan dipikul oleh mereka yang tidak layak juga merupakan satu pengkhianatan terhadap amanah.
إِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ ” , قَالَ : كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ : ” إِذَا أُسْنِدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ
“Apabila diabaikan amanah, maka tunggulah saat kebinasaan. Lantas sahabat bertanya: “Bagaimana bentuk pengabaiannya, wahai Rasulullah?” Jawab Baginda: “Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah saat kebinasaan.” [Riwayat al-Bukhari (6496) dan Ibn Hibban (104)]
Tiada apa yang didambakan di hadapan Baitullah ini melainkan agar kemelut yang berlaku segera berakhir dan membuka ruang kepada umat untuk bersatu mendepani cabaran besar sama ada menghadapi PRU-16 mahupun mempertahankan asas pembinaan negara yang sedang diuji.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
