Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menutup dan merampas reruai Street Dakwah anjuran Multiracial Reverted Muslims (MRM) di Bukit Bintang pada hari cuti Tahun Baharu Cina semalam, seperti yang dimaklumkan oleh Saudara Firdaus Wong, amat dikesali dan menimbulkan persoalan.
Umum mengetahui bahawa MRM ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang bergerak menyampaikan mesej Islam yang sebenar kepada masyarakat, termasuk golongan belum Muslim dan Muslim.
Dimaklumkan bahawa mereka telah menjalankan aktiviti Street Dakwah di lokasi tersebut sejak lebih 14 tahun lalu.
Sepanjang tempoh itu, aktiviti yang dijalankan bersifat penerangan, pendidikan dan pemberian kefahaman mengenai Islam kepada masyarakat umum.
Aktiviti ini dilaksanakan tanpa mengganggu lalu lintas dan tanpa menjejaskan ketenteraman awam.
Walau bagaimanapun, tindakan menghantar sejumlah pegawai untuk menutup serta merampas bahan dakwah tanpa notis atau saman menimbulkan persoalan.
Adakah aktiviti dakwah Islam kini dianggap suatu kesalahan, sedangkan Islam ialah agama Persekutuan dan kebebasan beragama serta urusan berkaitan agama dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, termasuk Perkara 3(1)?
Lebih menghairankan, menurut MRM, pihak mereka tidak dimaklumkan tentang sebarang keperluan pematuhan atau syarat-syarat tertentu bagi membolehkan aktiviti Street Dakwah dijalankan.
Maka timbul persoalan sama ada tindakan ini benar-benar bersandarkan pematuhan undang-undang, atau sebaliknya seolah-olah merupakan respons terhadap Saudara Firdaus Wong yang lantang memperjuangkan isu-isu berkaitan hak dan kepentingan Islam sejak kebelakangan ini.
Perkara ini wajar dijelaskan secara tuntas oleh DBKL bagi mengelakkan sebarang persepsi yang tidak baik.
Apa yang lebih membingungkan ialah tindakan penguatkuasaan yang begitu pantas dan responsif terhadap reruai dakwah yang aman ini dilihat berbeza dengan tahap reaksi terhadap pelbagai gejala sosial yang lebih ketara dan terbuka di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur, sama ada di kawasan yang sama mahupun di tempat awam yang lain.
Kegiatan tidak bermoral yang menyakitkan mata masyarakat seolah-olah dibiarkan tanpa tindakan setegas ini.
Justeru, apa yang dikesalkan ialah keutamaan penguatkuasaan DBKL sepatutnya selari dengan kepentingan awam serta nilai kesejahteraan masyarakat.
DBKL wajar menghargai usaha mana-mana pihak yang secara sukarela mengajak masyarakat kepada kehidupan yang lebih baik dan sejahtera.
Aktiviti dakwah yang dilaksanakan secara tertib serta tidak mengganggu orang ramai sewajarnya dilihat sebagai sumbangan kepada pembinaan akhlak dan keharmonian sosial.
Diharapkan DBKL dapat memberikan penjelasan yang telus berhubung dengan tindakan ini serta memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara adil, konsisten dan profesional.
Kepercayaan rakyat terhadap institusi awam bergantung pada ketelusan dan keadilan dalam setiap tindakan yang diambil.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
