Islam menjadikan manusia sebagai satu keluarga, berkonsepkan tiada paksaan dalam beragama dan berlaku adil kepada semua.
Berpandukan al-Quran sebagai kitab mukjizat ilmu yang dihuraikan oleh Sunnah (kebijaksanaan) Rasulullah SAW, Rasul terakhir pilihan Allah yang dikawal wahyu daripada-Nya.
Baginda diutus kepada dunia akhir zaman yang mencapai kemuncak kemajuan sains dan teknologi yang menghubungkan manusia di seluruh pelosok dunia.
Allah menegaskan bahawa semua manusia adalah satu keluarga besar bermasyarakat majmuk walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa, bahasa, warna kulit, dan agama, serta memiliki kemampuan yang berlainan, taraf hidup yang tidak sama, serta hasil bumi yang berbeza dalam negara di bumi yang luas dan berjarak jauh.
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا ١
“Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya, Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” [Surah al-Nisa’: 1]
Firman Allah SWT:
وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ ٢٢
“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi serta berlainan bahasa dan warna kulitmu. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” [Surah al-Rum: 22]
Manusia juga wajib bermasyarakat dan bertamadun dengan menjalinkan hubungan sesama mereka.
Hal ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, lalu menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]
Wajib berlaku kerjasama dari aspek ilmu, kebolehan dan pertukaran hasil bumi, yang mewajibkan pengurusan dan pemerintahan yang adil kepada semua.
Sekalipun berlaku perbezaan pendapat sehingga menyebabkan permusuhan dan peperangan sesama mereka, khususnya apabila ada kalangan yang melampaui batas dan menceroboh.
Islam membawa konsep tiada paksaan dalam beragama. Firman Allah SWT:
لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ٢٥٦
“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Oleh sebab itu, sesiapa yang ingkar kepada taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 256]
Islam mewajibkan keadilan terhadap semua dengan tegas kerana perkara ini menjadi amanah yang paling besar. Firman Allah SWT:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]
Maka, ditetapkan supaya Islam wajib berkuasa memerintah negara untuk mengatasi pihak lain yang gagal memimpin masyarakat majmuk. Firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١
“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong-Nya (agama-Nya). Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40)
“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah jua kembali segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 40-41]
Allah SWT memilih Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul akhir zaman daripada bangsa yang paling jahil, paling zalim, paling degil, paling ganas dan paling keras hatinya.
Di samping itu, mereka juga suka bermusuh dan berperang sehingga sanggup membunuh anak sendiri, memperhambakan kaum wanita, dan membunuh anak perempuan kerana tidak berguna untuk berperang.
Bahkan, Nabi Muhammad SAW juga hendak dibunuhnya, walaupun Baginda SAW ialah insan yang paling mulia akhlaknya dan paling berilmu, serta dikurniakan mukjizat ilmu al-Quran daripada Allah.
Keadaan tersebut menyebabkan Baginda melakukan hijrah bagi mendirikan negara masyarakat majmuk di Madinah yang dikepung oleh Arab Jahiliah dan kuasa besar yang paling berkuasa di dunia pada zamannya.
Malah, Baginda juga terpaksa berperang mengikut arahan dan petunjuk Allah bagi menyelamatkan manusia di seluruh pelosok dunia. Firman Allah SWT:
وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]
Namun, umat Islam diwajibkan mendahulukan perdamaian, kerana perintah Allah SWT:
۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٦٣
“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61)
“Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuat kamu dengan pertolongan-Nya dan dengan para Mukmin. (62)
“Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. (63)” [Surah al-Anfal: 61-63]
Inilah peranan para rasul dan nabi yang dilantik oleh Allah sejak Nabi Adam AS sehinggalah nabi akhir zaman, bagi dunia yang paling baharu perubahannya. Firman Allah SWT:
كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ ٢١٣ أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَأۡتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوۡاْ مِن قَبۡلِكُمۖ مَّسَّتۡهُمُ ٱلۡبَأۡسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلۡزِلُواْ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصۡرُ ٱللَّهِۗ أَلَآ إِنَّ نَصۡرَ ٱللَّهِ قَرِيبٞ ٢١٤
“Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka, Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus. (213)
“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, ‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (214)” [Surah al-Baqarah: 213-214]
Para nabi itu berjuang dengan berdakwah dan berpolitik, sehingga memerintah negara. Hal ini dinyatakan oleh sabda Rasulullah SAW:
كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الْأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ
“Kaum Bani Isra’il pada zaman dahulu dipimpin siasah (politik) oleh para nabi. Apabila seseorang nabi wafat, digantikan pula oleh nabi berikutnya. Tiada lagi nabi selepas aku (Muhammad SAW), namun akan ada para khalifah (para pemimpin bukan nabi) dan jumlah mereka ramai.”
قَالُوا: فَمَا تَأْمُرُنَا؟ قَالَ: فُوا بِبَيْعَةِ الْأَوَّلِ فَالْأَوَّلِ، أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ، فَإِنَّ اللهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ.
Para sahabat bertanya, “Apakah perintahmu (pesananmu) kepada kami?”
Baginda menjawab, “Tunaikanlah baiah (taat) kepada yang awal dan berikutnya. Tuntutlah hak kamu yang diwajibkan terhadap mereka (pohonlah kepada Allah perkara yang menjadi hak kamu). Sesungguhnya, Allah akan bertanya kepada mereka (menghisab) berkenaan kewajipan mereka pada Hari Kiamat kelak.” [Muttafaq ‘Alayh: Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya’, no. 3455, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, no. 1842, daripada Abu Hurairah. Lafaz bagi al-Bukhari]
Allah menjadikan kerajaan yang memerintah sebagai salah satu ujian kepada manusia. Firman Allah SWT:
تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢
“Maha Suci Allah yang di tangan-Nya jua segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1)
“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)” [Surah al-Mulk: 1-2]
Al-Quran menunjukkan contoh kerajaan yang adil dan juga kerajaan yang zalim.
Dua contoh kerajaan yang adil, pertama ialah kerajaan Raja Zulqarnain AS yang menolong bangsa yang lemah dengan percuma dan berslogankan:
قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيۡرٞ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجۡعَلۡ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَهُمۡ رَدۡمًا ٩٥
“Zulqarnain berkata, ‘Apa yang telah dikuasakan oleh Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku dapat membuat dinding antara kamu dengan mereka.’” [Surah al-Kahf: 95]
Dan contoh kedua pula ialah kerajaan Nabi Dawud AS, seorang khalifah yang adil berslogankan:
يَٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلۡنَٰكَ خَلِيفَةٗ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱحۡكُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلۡهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ لَهُمۡ عَذَابٞ شَدِيدُۢ بِمَا نَسُواْ يَوۡمَ ٱلۡحِسَابِ ٢٦
“Wahai Dawud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya, orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan Hari Perhitungan.” [Surah Sad: 26]
Begitu juga kerajaan Nabi Sulaiman AS yang bersyukur kepada Allah kerana hidayah-Nya. Firman Allah SWT:
… قَالَ هَٰذَا مِن فَضۡلِ رَبِّي لِيَبۡلُوَنِيٓ ءَأَشۡكُرُ أَمۡ أَكۡفُرُۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشۡكُرُ لِنَفۡسِهِۦۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيّٞ كَرِيمٞ ٤٠
“…Maka, tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, dia pun berkata, ‘Ini termasuk kurniaan Tuhanku untuk menguji aku adakah aku bersyukur atau mengingkari (ni‘mat-Nya)?’ Dan sesiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan sesiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia.’” [Surah al-Naml: 40]
Adapun kerajaan zalim yang dibinasakan oleh Allah kerana kejahatannya disebut dalam firman Allah SWT:
أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ ٦ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ ٧ ٱلَّتِي لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِي ٱلۡبِلَٰدِ ٨ وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ ٩ وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ ١٤
“Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Ad? (6) (Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. (7)
“Yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) seperti itu di negeri-negeri lain. (8 )
“Dan kaum Tsamud yang memotong batu-batu besar di lembah. (9)
“Dan kaum Firaun yang mempunyai pasak-pasak (tentera yang banyak). (10)
“Yang berbuat sewenang-wenang di dalam negeri. (11)
“Lalu mereka berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu. (12)
“Oleh sebab itu, Tuhanmu menimpakan kepada mereka cemeti azab. (13)
“Sesungguhnya, Tuhanmu benar-benar mengawasi. (14)” [Surah al-Fajr: 6-14]
Allah SWT menjanjikan kepada umat Nabi Muhammad SAW melalui firman-Nya:
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku tanpa mempersekutukan sesuatu apa pun dengan-Ku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Nur: 55]
Maka, Islam menjadi kuasa besar tunggal bermula pada tahun 622 Masihi hingga tahun 1924 Masihi.
Islam juga memiliki wilayah yang paling besar sehingga mencecah tiga benua, iaitu Asia, Afrika Utara dan Selatan, serta Timur Eropah, dan memiliki masyarakat yang paling majmuk.
Namun begitu, kepimpinan silih bertukar dan bergilir dalam kalangan bangsa yang menganut Islam.
Hal ini demikian kerana, Islam mewajibkan memimpin kerana ajaran Islam adalah ajaran yang paling sempurna bagi mencapai wawasan dunia sehingga akhirat.
Bahkan, terbukti umat Islam berjaya menegakkan agama Allah yang memandu tamadun dunia serta menjadi jambatan kebahagiaan dunia dan akhirat.
Selepas itu, kerajaan Islam dijatuhkan kerana telah meninggalkan ajaran Islam yang sempurna.
Allah berjanji bahawa bangsa yang mendominasi umat Islam akan silih berganti dalam kalangan mereka yang berpegang kepada ajaran Islam, tidak selama-lamanya bangsa Arab.
Firman Allah SWT kepada bangsa Arab yang pertama memimpin:
هَـٰٓأَنتُمْ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨
“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka, antara kamu ada yang kikir, dan siapa yang kikir sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allah jua Yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]
Maka, dijanjikan Allah kepada bangsa yang menguasai bersama Islam tanpa ditetapkan sama ada bangsa Arab, Turki, Kurdi, Melayu, Cina, India dan lain-lain.
Maka, di mana bumi kita berpijak, diwajibkan berjuang untuk menegakkan Islam.
Di bumi Malaysia dan Asia Tenggara, rumpun Melayu merupakan jumlah terbesar umat Islam, maka menjadi kewajipan kepada mereka berusaha dan berjuang bagi menegakkan kerajaan Islam yang adil kepada semua kaum, bangsa dan agama.
Pada masa yang sama, diharamkan fanatik perkauman kerana semangat kebangsaannya.
Kaum Yahudi Zionis dan kumpulannya tidak layak lagi menjadi kuasa besar dunia yang adil kepada seluruh manusia.
Allah mendedahkan tanda kemusnahan kuasa besar Barat yang dipengaruhi Zionis Israel yang berbangga dengan demokrasi dan hak asasi manusia, sedangkan mereka sedang membunuh demokrasi yang dibanggakan itu kerana bertuhankan ekonomi, kekayaan harta dan nafsu kebinatangan, sehingga menghapuskan sifat kemanusiaan mereka dan menjadikan mereka lebih rendah daripada binatang.
Bencana lahir di Amerika Syarikat yang mengetuai kuasa besar yang digunakan oleh Yahudi Zionis untuk bertapak di Israel bagi mengembalikan kerajaan seperti Nabi Sulaiman AS yang dipilih oleh Allah.
Tiba-tiba, Israel menunjukkan kezaliman yang terbuka, sehingga dikutuk oleh seluruh pelosok dunia.
Amerika Syarikat pula menunjukkan kemusnahan dengan berjuang melalui penjajahan ekonomi menggunakan senjata tarif.
Malah, Amerika Syarikat juga merampas negeri yang kaya dengan sumber kekayaan dengan menyerang negara jirannya, Venezuela, dan mengumpulkan bala tentera yang besar di Asia Barat yang kaya, serta mengancam Greenland di Kutub Utara.
Pada masa yang sama, negaranya sedang digemparkan oleh isu Epstein, seorang Yahudi yang menjalankan kegiatan nafsu kebinatangan yang meruntuhkan kemanusiaan.
Inilah jawapan kepada soalan, apakah penyelesaian masyarakat majmuk di Malaysia?
Jawapannya ialah Islam al-din yang sempurna.
Perlembagaan yang menjadi undang-undang tubuh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menjunjung al-Quran sebagai rujukan yang paling tinggi dan mulia.
Maka, perjuangannya tidak boleh melampaui sempadan ketetapan Allah dan hikmah (kebijaksanaan) Rasulullah SAW yang mentafsirkan al-Quran secara amali.
Semua pihak wajib mengkaji Islam dan membaca sejarah kejayaannya dengan benar, ikhlas dan adil.
Koyakkan topeng Islamofobia yang menjadi senjata Dajjal (pembohong paling besar) untuk merosakkan dunia.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
