Lebih kurang jam 2.00 petang tadi waktu tempatan, tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel telah melancarkan serangan udara ke atas Iran khususnya di Tehran dengan operasi ketenteraan tersebut dinamakan “Roar of the Lion” oleh regim penjajah Zionis Israel.
Arus serangan udara pertama tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel dipercayai mensasarkan institusi-institusi penting dan aset-aset strategik Iran seperti pejabat Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei, Pejabat Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Ibu Pejabat Tentera Revolusi Republik Islam Iran (IRGC), Kementerian Perisikan, Kementerian Pertahanan, Ibu Pejabat Agensi Atom Iran dan beberapa tempat lagi dengan letupan kuat yang kedengaran di Tehran.
Mengikut laporan, adalah dipercayai serangan udara arus pertama ini dilancarkan melalui ruang udara Syria dan Iraq dari pengkalan tentera udara Amerika Syarikat di Asia Barat, pengkalan tentera udara negara haram Israel dan kapal pengangkut pesawat tentera laut Amerika Syarikat.
Setakat ini dilaporkan semua pemimpin tertinggi Iran termasuk dikalangan pemimpin tentera Iran dan IRGC selamat dari serangan udara tersebut dengan Iran mula menutup ruang udaranya.
Tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel seterusnya melancarkan serangan udara arus kedua yang menyasarkan bandar-bandar seperti Tabriz, Isfahan, Qom, Lorestan, Karaj, Ilam, Bushehr dan Kermanshah dan dalam masa yang sama ‘Cyberattack‘ telah dilancarkan ke atas institusi kerajaan dan media Iran.
Ketika tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran, masih terdapat ratusan lagi pesawat komersial awam yang berada di ruang udara Iran.
Iran mula melakukan serangan balas dengan melancarkan peluru berpandu balistik dan dron ke atas negara haram Israel khususnya di Tel Aviv dan Haifa termasuk ke seluruh pengkalan tentera Amerika Syarikat di Asia Barat dengan Iran secara rasminya melancarkan operasi ketenteraan “Operation True Promise 4.0”.
Antara pengkalan tentera Amerika Syarikat yang menjadi sasaran adalah di Jordan, Bahrain, Kuwait, Arab Saudi, UAE, Qatar, Iraq termasuk pengkalan tentera Amerika Syarikat di Wilayah Autonomi Kurdistan di Iraq.
Tentera udara regim Zionis Israel turut sama melancarkan serangan udara ke atas infrastruktur Popular Mobilisation Front (PMF) di Baghdad, sekutu kuat Iran di Iraq.
Setakat ini kesemua serangan dron dan peluru berpandu balistik Iran menghujani sasarannya di semua pengkalan tentera Amerika Syarikat di Asia Barat dengan pengkalan tentera laut Amerika Syarikat di Bahrain mengalami kerosakan dan kemusnahan teruk akibat serangan dron dan peluru berpandu balistik Iran.
Setakat ini serangan peluru berpandu balistik yang dilancarkan Iran ke atas negara haram Israel dilaporkan mengakibat beberapa kemusnahan yang besar khususnya di Tel Aviv dan Haifa namun akibat “cencorship” yang dilakukan regim penjajah Zionis Israel, tidak dapat dipastikan sebesar mana kemusnahan yang dlaporkan.
Dalam masa sama, kumpulan Ansarullah dari Yaman mengumumkan bahawa ia telah mula melancarkan serangan udara ke atas aset tentera Amerika Syarikat di Laut Merah dan akan memperhebatkan serangannya tidak lama lagi.
Kata’Ib Hizbullah, sekutu kuat Iran di Iraq mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan mula melancarkan serangan ke atas pengkalan tentera Amerika Syarikat sebagai tindakbalas ke atas serangan yang dilancarkan ke atas Iran.
Dalam pada itu akibat daripada serangan udara tentera Amerika Syarikat dan negara haram Israel, sekurang-kurangnya 51 orang kanak-kanak terkorban dengan lebih 61 orang lagi dilaporkan cedera akibat serangan tersebut mengenai sebuah sekolah rendah di bandar Minab, wilayah Hormozgan di Iran.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sejurus dilancarkan serangan udara ke atas Iran dalam satu lintas langsung sidang medianya meminta agar tentera Iran dan IRGC meletakkan senjata dan menyeru kepada rakyat Iran untuk “Seize Control Of Your Destiny”, di mana ramai penganalisa geopolitik menisbahkan sebagai cubaan Donald Trump untuk menghasut rakyat Iran supaya melakukan “Regime Change”.
Ketika ini baik tentera Amerika Syarikat mahu pun negara haram Israel masih terus melancarkan serangan ke atas Iran dan dalam masa sama tentera Iran masih melancarkan serangan dron dan peluru berpandu balistik ke atas pengkalan tentera Amerika Syarikat di Asia Barat dan negara haram Israel walau tidak sekerap seperti sebelum ini.
Kemungkinan serangan besar-besar akan berlaku pada malam ini atau tidak lama lagi seperti mana pada perang 12 hari pada Jun tahun lalu.
Senario paling buruk dijangka berlaku tidak lama lagi di Asia Barat.
“Kembali Kepada Penyelesaian Islam.”
YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat.
