Firman Allah:
﴿مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا ٢٣﴾
“Antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa-apa yang telah dijanjikan mereka kepada Allah (untuk berjuang membela Islam). Maka, antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa-apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun.” [Surah al-Ahzab: 23]
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam serangan Amerika Syarikat dan Israel yang telah mengorbankan nyawa Ayatollah Ali Khamenei, Pemimpin Tertinggi Iran.
Serangan ganas ini menyasarkan lokasi strategik Iran termasuk kawasan berkaitan kepimpinan tertinggi negara, yang jelas melanggar norma keadilan sejagat, mengancam keselamatan, kestabilan dan kedaulatannya.
PAS mengucapkan takziah kepada keluarga Ayatollah Ali Khamenei atas tragedi ini.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka dan mengurniakan ganjaran syahid di sisi Allah.
Seluruh dunia perlu bersatu mengutuk Amerika Syarikat dan Israel yang pengecut dan bukan sahaja merupakan dalang di sebalik serangan ini, malah sedang melakukan jenayah perang di rantau Timur Tengah.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
