Keraguan dikatakan berlaku dalam menghadapi peperangan yang terjadi di Palestin, khususnya di Gaza yang diganyang oleh Yahudi Zionis dan sekutunya tanpa perikemanusiaan, sehingga menarik simpati masyarakat antarabangsa bukan Islam yang berperikemanusiaan.
Namun, masih banyak negara Islam, termasuk Malaysia yang berslogankan ‘Malaysia Madani’ dalam bahasa Arab yang menarik, tetapi akrab dengan Bank Dunia dan IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa ‘Zionis’) berserta negara Arab yang berbahasa al-Quran berada dalam keadaan ragu dan tidak istiqamah bersama Palestin.
Para ulama yang mendukungnya masih menjadikan alasan berijtihad wajib taat kepada ulu al-amri.
Keraguan berlaku kerana Iran yang paling kuat bersama Palestin bermazhab Syiah Ithna ‘Ashariyyah dan tidak dipercayai Islamnya, walaupun imam mazhabnya, Ja‘far al-Sadiq RH termasuk dalam kalangan generasi tabiin dan dihormati kerana daripada zuriat Rasulullah SAW yang mujtahid dan diiktiraf ilmunya oleh ijmak ulama’ Sunni.
Beliau juga guru kepada beberapa orang ulama’ Sunni, antaranya Imam Abu Hanifah RH yang sehingga mati di dalam penjara kerana membela Imam Ja‘far RH.
Iran juga diragui walaupun Iran yang berjenama Republik Islam mengisytiharkan perang terhadap Zionis Israel.
Sebaliknya, Iran dikira Islam tanpa keraguan terhadap Syiahnya pada zaman Shah dahulu yang bergelar Shahanshah (شاهنشاه – Raja bagi Segala Raja), jenama yang diharamkan oleh Rasulullah SAW [berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari, no. 6205 dan Muslim, no. 2134 daripada Abu Hurairah].
Di samping itu, Shah Iran melakukan normalisasi terhadap Israel dan berpegang pada prinsip sekularisme, bersama pemimpin Turkiye pada masa itu, Kamal Atatürk, yang mengharamkan negara Islam, memaksa al-Qur’an dengan huruf Latin, dan melaungkan azan dalam bahasa Turki.
Adapun Shah Iran mengharamkan penutupan aurat kepada wanita serta membenarkan kehidupan liberal seperti negara Barat, sehingga kezalimannya menahan dan membunuh beberapa orang ulama yang menentang sekularisme.
Selain itu, Shah Iran juga bersekongkol dengan Blok Barat yang menubuhkan negara Zionis Israel dengan rompakan terhadap Palestin, termasuk Bait al-Maqdis, tanah suci Islam.
Mazhab Syiah Ithna ‘Ashariyyah termasuk dalam kalangan Ahli al-Qiblah (Ahli Kiblat) yang sama rukun Islamnya sebagaimana Sunni, berkhilaf dalam perkara furuk, serta ijtihad para ulama’nya disebut dalam fiqh perbandingan (fiqh al-muqaran), kitab tafsir, dan kitab hadis.
Kini selepas revolusi, mereka melakukan islah setelah dirosakkan oleh Shah dahulu yang memisahkan Iran daripada dunia Islam.
Al-Syahid Ali Khamenei RH menterjemahkan kitab-kitab gerakan Islam Sunni kepada bahasa Parsi bagi memasukkan pengaruh Islam kepada para pemuda Iran.
Permusuhan Zionis terhadap Islam dan umatnya ialah nas al-Quran dan Sunnah yang nyata dan bukan hukum yang boleh diijtihad. Firman Allah SWT:
لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْۖ … ٨٢
“Sesungguhnya, kamu mendapati orang-orang yang paling keras permusuhan mereka terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik…” [Surah al-Ma’idah: 82]
Kaum Yahudi pernah membentuk tentera Ahzab pada zaman Rasulullah SAW sehingga Baginda mengambil tindakan menghalau mereka dari Madinah dan menghancurkan kota Khaibar yang didirikan oleh mereka.
Semua ini berpandukan firman Allah SWT:
لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. [8]
“Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu serta membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8–9]
Kumpulan Yahudi Zionis bertindak lebih melampau kerana berjuang menegakkan negara Israel Raya (Greater Israel) dari Sungai Nil di Mesir sehingga Sungai Furat di Iraq, menghalau rakyat Palestin yang asal, merompak rumah, tempat perniagaan, dan kebun sehingga Masjid al-Aqsa, serta membunuh semua rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, warga tua, dan kaum wanita. Namun, rakyat Palestin tidak pernah menyerah kalah.
Blok Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat dan negara sekutunya pula membantu Israel dengan senjata, politik, ekonomi, media, dan lain-lain secara bertali arus dan mutlak.
Allah mewajibkan umat Islam berjihad dengan harta dan jiwa raga menentang musuh yang menceroboh negara mereka. Firman Allah SWT:
وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]
Allah SWT mewajibkan secara khusus memerangi mereka yang menzalimi umat Islam dengan firman-Nya:
وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا ٧٥ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱلطَّـٰغُوتِ فَقَٰتِلُوٓاْ أَوۡلِيَآءَ ٱلشَّيۡطَٰنِۖ إِنَّ كَيۡدَ ٱلشَّيۡطَٰنِ كَانَ ضَعِيفًا ٧٦
“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki-lelaki, wanita-wanita, mahupun anak-anak yang semuanya berdoa, ‘Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Makkah) yang zalim penduduknya, serta berilah kami pelindung dari sisi Engkau dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!’ (75)
“Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, manakala orang-orang yang kafir berperang di jalan taghut. Oleh sebab itu, perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah. (76)” [Surah al-Nisa’: 75–76]
Allah SWT mewajibkan persediaan mengikut kemampuan bagi menghadapi musuh:
وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa-apa saja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu serta orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahui mereka; sedangkan Allah mengetahui mereka. Apa-apa saja yang kamu nafkahkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]
Dalam isu rakyat Palestin yang dizalimi dengan kezaliman yang paling zalim, hanya Republik Islam Iran serta segelintir negara Sunni dan kumpulan Islam sahaja yang menyahut seruan Allah secara terbuka membantu dari sudut kewangan, senjata, serta berperang dan melakukan persediaan bala tentera untuk berperang, sehingga menjadi sasaran serangan pasukan bersekutu musuh (Ahzab baharu).
Kebanyakan negara Islam dan Arab sangat mengecewakan dan tanpa membuat persediaan, walaupun hartanya kaya raya.
Keselamatan mereka bergantung pada pangkalan tentera musuh Blok Barat yang lebih mengutamakan penjagaan keselamatan Israel serta sumber tenaga telaga minyak dan laluannya, bukan negara Arab.
Dalam peperangan terhadap Iran pula, negara mereka dijadikan pangkalan musuh.
Apabila Iran membalas serangan dengan menyerang pangkalan musuh itu, diputarbelitkan bahawa Iran menyerang negara jiran, sehingga mereka menganjurkan persidangan bersama negara Teluk dan Eropah bagi melawan Iran yang dikatakan menceroboh negara jiran.
Padahal Iran juga pernah menyerang Azerbaijan yang juga bermazhab Syiah yang ada hubungan dengan Israel dan Amerika Syarikat, menunjukkan apa yang berlaku ialah peperangan terhadap agama Islam yang tidak ada kaitan dengan mazhab.
Tambahan pula, Iran juga terlibat dengan Perang Bosnia, Afghanistan, dan Iraq kerana bersama umat Islam membantu dalam persenjataan dan ikut berperang kerana agama tanpa mengira mazhab.
Saya menyaksikan para pemimpin dari negara-negara tersebut diberikan perlindungan oleh Kerajaan Iran.
Kalangan yang membuat kenyataan masalah mazhab tidak terlibat dalam perjuangan, sebaliknya menimbulkan keraguan yang membawa bisikan syaitan yang memecahbelahkan umat Islam yang bersaudara.
Terdapat banyak nas al-Quran yang mengharamkan wala’ kepada musuh Islam, antaranya firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَتُرِيدُونَ أَن تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ عَلَيۡكُمۡ سُلۡطَٰنٗا مُّبِينًا ١٤٤
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi wali (pemimpin) dengan meninggalkan orang-orang Mukmin! Inginkah kamu mengadakan alasan yang nyata bagi Allah (untuk menyeksamu)?” [Surah al-Nisa’: 144]
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلنَّصَٰرَىٰٓ أَوۡلِيَآءَۘ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُۥ مِنۡهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٥١
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin (kamu)! Sebahagian daripada mereka ialah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Sesiapa antara kamu yang mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk dalam golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” [Surah al-Ma’idah: 51]
Berwala’ maksudnya menjadikan pemimpin, rakan yang akrab, dan penolong yang dipercayai nasihatnya untuk menyelamatkan negara.
Allah meletakkan jenama munafiq kepada mereka yang menjadikan perlindungan keselamatan mereka dengan berwala’ kepada musuh Islam. Firman Allah SWT:
بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩
“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. [138]
“(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Adakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah. (139)” [Surah al-Nisa’: 138–139]
Allah telah memberikan isyarat petunjuk akan berlaku kelemahan kepada bangsa yang dahulunya menegakkan Islam, apabila mereka mula leka dan cuai. Firman Allah SWT:
هَـٰٓأَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨
“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) di jalan Allah, maka antara kamu ada yang bakhil. Dan sesiapa yang bakhil, sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allahlah Yang Maha Kaya, sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]
Rasulullah SAW juga menyatakan betapa kemewahan yang dicapai oleh mereka yang papa tidak bersyukur kepada Allah dengan mensia-siakan kekayaan, menjadi tanda akhir zaman yang merosakkan. Sabda Baginda SAW:
وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ.
“Dan kamu menyaksikan mereka yang (papa miskin) tanpa berkasut, berpakaian tidak lengkap, dan penggembala kambing tiba-tiba berlumba-lumba mendirikan bangunan tinggi (berlagak dengan kemewahan).” [Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no. 8, daripada ‘Umar bin al-Khattab]
Mereka mengecewakan umat Islam yang ditindas dalam kesusahan dan kemiskinan, khususnya yang berlaku di Palestin kini.
Umat Islam, khususnya para ulama’, turut diharamkan berwala’ kepada ulu al-amri yang menentang nas al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya) serta ulu al-amr antara kamu! Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [Surah al-Nisa’: 59]
Kesediaan menyerahkan tanah air menjadi pangkalan musuh bagi menyerang umat Islam dan tanah airnya adalah terpesong dari jalan Islam yang lurus (tidak istiqamah) dan pengkhianatan paling zalim yang diberikan amaran keras oleh Allah melalui firman-Nya:
فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣
“Maka, tetaplah kamu di jalan yang benar sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan. (112)
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang zalim yang menyebabkan kamu disentuh Api Neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberikan pertolongan. (113)” [Surah Hud: 112–113]
Langkah yang meninggalkan petunjuk al-Quran dengan memilih petunjuk Donald Trump si Dajjal sebagai penasihat yang menepuk-nepuk dada dengan angkuh menjadi penyelamat ialah bersama syaitan besar yang nyata.
Allah SWT memberikan peringatan:
وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ٤٦ وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ خَرَجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بَطَرٗا وَرِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ ٤٧ وَإِذۡ زَيَّنَ لَهُمُ ٱلشَّيۡطَٰنُ أَعۡمَٰلَهُمۡ وَقَالَ لَا غَالِبَ لَكُمُ ٱلۡيَوۡمَ مِنَ ٱلنَّاسِ وَإِنِّي جَارٞ لَّكُمۡۖ فَلَمَّا تَرَآءَتِ ٱلۡفِئَتَانِ نَكَصَ عَلَىٰ عَقِبَيۡهِ وَقَالَ إِنِّي بَرِيٓءٞ مِّنكُمۡ إِنِّيٓ أَرَىٰ مَا لَا تَرَوۡنَ إِنِّيٓ أَخَافُ ٱللَّهَۚ وَٱللَّهُ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٤٨ إِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ غَرَّ هَـٰٓؤُلَآءِ دِينُهُمۡۗ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٤٩
“Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya serta janganlah kamu berbantah-bantahan yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu, dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. (46)
“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampung mereka dengan rasa angkuh dan dengan maksud riyak kepada manusia serta menghalangi (orang) dari jalan Allah. Dan (ilmu) Allah meliputi apa-apa yang mereka kerjakan. (47)
“Dan ketika syaitan menjadikan mereka memandang baik pekerjaan mereka dan mengatakan, ‘Tidak ada seorang manusia pun yang dapat menang terhadapmu pada hari ini, dan sesungguhnya aku ini ialah pelindungmu.’ Maka, tatkala kedua-dua pasukan itu telah dapat saling melihat (berhadapan), syaitan itu balik ke belakang seraya berkata, ‘Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu, sesungguhnya aku dapat melihat apa-apa yang kamu sekalian tidak dapat melihat; sesungguhnya aku takut kepada Allah.’ Dan Allah sangat keras dalam seksa-Nya. [48]
“(Ingatlah), ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang ada penyakit dalam hati mereka berkata, ‘Mereka itu (orang-orang Mukmin) ditipu oleh agama mereka.’ (Allah berfirman), ‘Sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.’ (49)” [Surah al-Anfal: 46–49]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
