Perang yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran telah mencetuskan konflik yang lebih luas di rantau Asia Barat, dengan Lubnan menjadi salah satu kawasan yang paling terkesan.
Dua hari selepas serangan terhadap Iran, Hezbollah melancarkan roket merentasi sempadan menuju ke arah Haifa.
Israel segera bertindak balas dengan pengeboman berskala besar, cubaan pembunuhan bersasar serta pencerobohan darat.
Pusingan baharu pertempuran di medan Lubnan ini mungkin tidak memberi kesan besar secara langsung terhadap perang di Iran.
Namun begitu, ia dijangka membawa kesan yang serius terhadap masa depan gerakan mujahidin di Lubnan serta rancangan peluasan wilayah Israel, termasuk usaha untuk menduduki kawasan yang lebih luas di selatan Lubnan.
Tidak lama selepas konflik tercetus, kerajaan Lubnan telah mengundi untuk mengharamkan aktiviti ketenteraan dan keselamatan Hezbollah, bukannya mengambil langkah konkrit untuk menangkis pencerobohan Israel.
Secara praktikalnya, langkah ini dilihat sebagai satu kudeta politik dan undang-undang terhadap hak untuk melakukan penentangan.
Keputusan tersebut merupakan kemuncak kepada beberapa dekri kerajaan yang dikeluarkan sejak gencatan senjata pada November 2024, yang semuanya bertujuan untuk menghapuskan pengiktirafan negara terhadap perjuangan bersenjata yang telah wujud sejak pertengahan tahun 1990-an.
Sebelum melancarkan serangan roket terbaharunya, Hezbollah sebenarnya telah mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata tersebut, sedangkan pelanggaran oleh Israel terus berlaku tanpa henti.
Sepanjang tempoh gencatan senjata yang diumumkan, serangan Israel terhadap Lubnan telah mengorbankan hampir 400 orang dan mencederakan lebih daripada 1,100 orang.
Pasukan tentera Israel juga enggan berundur dari lima kedudukan ketenteraan di dalam wilayah Lubnan, sambil terus melakukan pencerobohan secara berkala untuk memusnahkan harta benda atau menculik rakyat tempatan.
Tindakan Kerajaan Lubnan Memburukkan Keadaan
Kerajaan Lubnan juga dilihat telah menambah tekanan terhadap komuniti mujahidin di selatan Lubnan dengan mengetatkan sekatan ekonomi.
Usaha pembinaan semula kawasan yang musnah telah tergendala dengan alasan untuk melucutkan senjata Hezbollah dan memutuskan aliran kewangan dari negara-negara yang bersimpati seperti Iran atau sebahagian pihak di Iraq.
Dari sudut ketenteraan pula, tentera Lubnan telah ditempatkan di selatan negara itu sebagai sebahagian daripada usaha menegakkan kedaulatan negara.
Namun operasi mereka terhad kepada merampas senjata Hezbollah selaras dengan tuntutan Amerika Syarikat dan Israel, bukannya mempertahankan kedaulatan Lubnan daripada ancaman Israel.
Sepanjang tempoh ini, Presiden Lubnan Joseph Aoun dan Perdana Menteri Nawaf Salam cuba menggunakan tekanan diplomatik bagi memaksa Israel mematuhi perjanjian, namun usaha tersebut tidak membuahkan hasil.
Harapan mereka untuk memperkukuhkan keupayaan ketenteraan tentera Lubnan juga menemui jalan buntu.
Persidangan Paris yang digembar-gemburkan untuk menyokong tentera Lubnan, yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 5 Mac, telah dibatalkan selepas tercetusnya perang ini.
Walaupun persidangan itu dibatalkan, bantuan-bantuan terdahulu menunjukkan bahawa sebarang dana masa depan untuk tentera Lubnan kemungkinan besar hanya akan digunakan untuk membayar gaji tentera dan mengekang aktor bukan negara, bukannya untuk menghadapi ancaman asing.
Dalam suasana perang semasa, tentera Lubnan berada dalam tekanan pelbagai pihak.
Di satu pihak, kuasa politik yang selari dengan agenda Amerika dan Israel menuntut agar tentera mengambil tindakan keras terhadap Hezbollah.
Langkah seperti ini berpotensi mencetuskan perang saudara.
Setakat ini, panglima tentera Lubnan, Rodolphe Haykal, masih menolak pendekatan tersebut.
Di pihak lain pula, laporan bahawa tentera Lubnan berundur dari beberapa kedudukan di selatan ketika pertempuran bermula serta ketidakupayaan mereka menghadapi serangan Israel telah menguatkan dakwaan bahawa tentera tersebut terlalu lemah untuk melindungi kedaulatan negara.
Medan Konflik Yang Saling Berkait
Sekiranya tentera Lubnan tidak dapat digunakan untuk menekan Hezbollah, strategi yang tinggal bagi pihak lawannya ialah cuba memecahkan hubungan antara Hezbollah dengan sokongan sosialnya serta sekutu terdekatnya, iaitu Gerakan Amal.
Ini dilakukan dengan menyalahkan Hezbollah, bukannya Israel atas penderitaan rakyat.
Dari segi masa dan keadaan, perpindahan besar-besaran penduduk mungkin dilihat sebagai peluang untuk strategi ini berjaya.
Kerajaan Lubnan menganggarkan bahawa lebih daripada 517,000 orang telah terpaksa meninggalkan rumah mereka dalam tempoh seminggu sahaja, satu lagi gelombang perpindahan besar selepas kejadian serupa kurang daripada dua tahun lalu.
Tambahan pula, keadaan musim sejuk menjadikan keadaan lebih sukar, sementara kemampuan kerajaan menyediakan tempat perlindungan dan makanan amat terhad.
Pada masa yang sama, kadar sewa rumah meningkat dengan mendadak.
Namun, kejayaan strategi ini juga bergantung kepada prestasi ketenteraan Hezbollah dalam jangka pendek serta keputusan perang dalam jangka panjang.
Ramai penduduk yang terpaksa berpindah mungkin berasa kecewa atau mengkritik keputusan Hezbollah melancarkan roket, walaupun terdapat tanda-tanda bahawa Israel mungkin sedang merancang pencerobohan besar-besaran selepas memanggil 100,000 tentera simpanannya.
Namun komuniti pejuang, termasuk mereka yang terpaksa berpindah, juga sedar bahawa pencetus bukanlah punca sebenar konflik.
Mereka masih mengingati sejarah panjang pencerobohan Israel selama beberapa dekad serta pengalaman hidup mereka menghadapi serangan Israel yang berterusan.
Mereka juga memahami sepenuhnya cita-cita lama Israel yang bersifat penjajahan dan penempatan untuk menguasai kawasan selatan Sungai Litani.
Jika perang ini membawa kepada rundingan semula syarat gencatan senjata yang menghentikan pencerobohan Israel serta menamatkan penjajahan, sambil membolehkan rakyat Lubnan kembali dengan selamat dan pembinaan semula dilakukan maka kritikan terhadap taktik Hezbollah mungkin akan hilang dan kepercayaan rakyat terhadap keupayaannya melindungi mereka akan pulih selepas dua tahun keraguan.
Namun, jika keadaan kembali kepada status quo atau Israel memperoleh lebih banyak keuntungan wilayah, kesannya mungkin sebaliknya.
Kemungkinan mana-mana senario ini berlaku bukan hanya bergantung kepada keadaan domestik Lubnan semata-mata. Ia juga bergantung kepada keputusan perang serantau serta kemampuan Iran untuk bertahan menghadapi serangan terbaru Amerika Syarikat dan Israel.
Hubungan rapat antara dua medan konflik ini menunjukkan bahawa konflik semasa di Timur Tengah bukan sekadar isu domestik atau nasional.
Sebaliknya, ia merupakan krisis yang lebih besar yang berpotensi membentuk masa depan imperialisme Amerika dan kolonialisme penempatan Zionis untuk beberapa dekad akan datang.
