PAS telah menghantar pemerhati ke satu perjumpaan bagi memenuhi jemputan Rumah Bangsa, yang diiklankan oleh UMNO bagi melihat dan menyaksikan sendiri kalangan yang hadir.
Walaupun tanpa kehadiran wakil DAP, dapat dibaca segala yang tersirat.
Tujuan pertemuan tersebut dilihat sebagai usaha menganjurkan perpaduan Melayu atas semangat kebangsaan tanpa berteraskan Islam.
Hal ini demikian kerana, tetap bersahabat dan berwala’ kepada DAP semata-mata untuk membentuk kerajaan walaupun terpaksa meninggalkan prinsip asal perjuangannya.
Wajib dipastikan siapa yang boleh menjadi kawan yang dipercayai atau lawan yang diragui kerana Allah mewajibkan kita memilih kawan yang soleh serta menjauhkan diri daripada kawan yang merosakkan urusan agama dan dunia yang menjadi jambatan ke akhirat.
Dapat disaksikan betapa penyakit waswas daripada bisikan syaitan turut mengganggu ahli UMNO sendiri, kerana berlawanan dengan perjuangan asal UMNO yang meletakkan agama sebahagian daripada dasarnya.
Sehinggakan, ramai yang keluar meninggalkan rumah yang tercabut dinding dan atapnya ditebuk kerana mudah dimasuki air dan ditiup angin.
Ada yang menyelamatkan diri bersama PAS.
Malah, ada juga yang masih beristiqamah dengan prinsip bahawa Islam dan Melayu wajib menjadi ketua rumah.
Islam sahaja yang ditakuti oleh syaitan dan bala tentera hantunya.
Melayu dan semua bangsa akan selamat bersama Islam.
Tanpa Islam, Melayu berada dalam bahaya dan semua kaum tidak akan selamat.
PAS berpandukan hidayah Allah dalam mengadakan hubungan dengan semua pihak bagi menyampaikan Islam kepada seluruh manusia dalam masyarakat majmuk tanpa sebarang paksaan dan berkonsepkan adil kepada semua.
Pendekatan ini dilakukan secara terbuka dan positif dalam keadaan berhati-hati supaya tidak tersilap dalam memilih kawan dalam percampuran tanpa sempadan.
Maka Allah menetapkan sempadannya. Firman Allah SWT:
لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. [8]
“Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu, orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8-9]
Dalam kalangan pemimpin UMNO, ada yang berpegang dengan kepercayaan Melayu sebelum kepercayaan terhadap Islam, yang memastikan mereka bersahabat dengan semua pihak tanpa pilihan demi kemenangan untuk mendapatkan kuasa dan harta.
Walaupun terpaksa berkawan dengan sesiapa sahaja termasuk segala jenis hantu, termasuk hantu raya yang paling besar serta pelbagai hantu yang bijak berkosmetik Islam.
Selain itu, mereka turut dijamukan dengan pesta pemujaan yang dianggap boleh membantu bagi meneruskan kehidupan dan meluaskan rezeki.
Jamuan tersebut disertai oleh lebai-lebai yang jahil dan kuat beribadat supaya menjadi tukang sembelih yang diharamkan dagingnya, seterusnya mengetuai doa apabila diadakan sembahyang hajat yang bercampur antara doa dengan amalan syirik.
PAS dan ahlinya yang beristiqamah tidak terpengaruh dengan umpan serta tipu daya syaitan dan sekutunya, yang selama ini menjadi senjata lapuk dalam kalangan UMNO yang jahil dan diteruskan pula apabila UMNO bersahabat karib dengan Pakatan Harapan (PH).
Senjata lapuk tersebut telah gagal mempertahankan kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu, sehingga terpaksa menubuhkan kerajaan perpaduan minoriti yang bergantung kepada sokongan hantu (pihak tertentu) dari dalam negeri dan luar negara.
Pendekatan tersebut hanya boleh menggoda dan menarik pengundi warga tua di saluran satu bersama sokongan kalangan bukan Islam.
Adapun pengundi muda yang mula bijak berfikir secara lebih matang, mereka telah menolak PH sejak PRU-15 sebagaimana mereka menolak Barisan Nasional (BN) sebelumnya, disebabkan gabungan itu bersama sokongan musuh Islam daripada kalangan bukan Islam dalam DAP yang memperjuangkan politik merampas kuasa secara halus dengan pujukan godaan syaitan yang menarik.
Sehinggakan, sebahagian daripada orang Melayu turut menjadi pendukung yang memberikan wala’ kepada musuh, sekali gus menjenamakan UMNO bersama parti-parti lain yang berada dalam satu saf bersamanya.
Bandingannya, laksana mereka yang tidak istiqamah sebagaimana kaum Bani Isra’il yang dilaknat oleh Allah sehingga disesatkan selama 40 tahun kerana menolak perjuangan Nabi Musa dan Nabi Harun AS dalam menegakkan negara Islam di Palestin yang beramal dengan Kitab Allah (Taurat). Firman Allah SWT:
وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوۡمِهِۦ يَٰقَوۡمِ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَعَلَ فِيكُمۡ أَنۢبِيَآءَ وَجَعَلَكُم مُّلُوكٗا وَءَاتَىٰكُم مَّا لَمۡ يُؤۡتِ أَحَدٗا مِّنَ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢٠ يَٰقَوۡمِ ٱدۡخُلُواْ ٱلۡأَرۡضَ ٱلۡمُقَدَّسَةَ ٱلَّتِي كَتَبَ ٱللَّهُ لَكُمۡ وَلَا تَرۡتَدُّواْ عَلَىٰٓ أَدۡبَارِكُمۡ فَتَنقَلِبُواْ خَٰسِرِينَ ٢١ قَالُواْ يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّ فِيهَا قَوۡمٗا جَبَّارِينَ وَإِنَّا لَن نَّدۡخُلَهَا حَتَّىٰ يَخۡرُجُواْ مِنۡهَا فَإِن يَخۡرُجُواْ مِنۡهَا فَإِنَّا دَٰخِلُونَ ٢٢ قَالَ رَجُلَانِ مِنَ ٱلَّذِينَ يَخَافُونَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِمَا ٱدۡخُلُواْ عَلَيۡهِمُ ٱلۡبَابَ فَإِذَا دَخَلۡتُمُوهُ فَإِنَّكُمۡ غَٰلِبُونَۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَتَوَكَّلُوٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ ٢٣ قَالُواْ يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّا لَن نَّدۡخُلَهَآ أَبَدٗا مَّا دَامُواْ فِيهَا فَٱذۡهَبۡ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقَٰتِلَآ إِنَّا هَٰهُنَا قَٰعِدُونَ ٢٤ قَالَ رَبِّ إِنِّي لَآ أَمۡلِكُ إِلَّا نَفۡسِي وَأَخِيۖ فَٱفۡرُقۡ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٥ قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيۡهِمۡۛ أَرۡبَعِينَ سَنَةٗۛ يَتِيهُونَ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ فَلَا تَأۡسَ عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٦
“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya, ‘Wahai kaumku, ingatlah ni‘mat Allah ke atasmu ketika Dia mengangkat nabi-nabi antara kamu, dan dijadikan-Nya kamu orang-orang merdeka, dan diberikan-Nya kepadamu apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorang pun antara umat-umat yang lain. (20)
“Wahai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu lari ke belakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang-orang yang rugi.’ (21)
“Mereka berkata, ‘Wahai Musa, sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar daripadanya. Jika mereka keluar daripadanya, pasti kami akan memasukinya.’ (22)
“Berkatalah dua orang antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi ni‘mat kepada keduanya, ‘Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka apabila kamu memasukinya, nescaya kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman.’ (23)
“Mereka berkata, ‘Wahai Musa, kami sekali-kali tidak akan memasukinya, selagi mereka berada di dalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini sahaja.’ (24)
“Berkata Musa, ‘Wahai Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasiq itu.’ (25)
“Allah berfirman, ‘(Jika demikian), maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (Padang Tih) itu. Maka, janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasiq itu.’ (26)” [Surah al-Ma’idah: 20-26]
Mereka tidak mahu berjihad menegakkan Islam bersama rasul yang dilantik oleh Allah kerana terpengaruh dengan tipu daya syaitan dan kasih akan keduniaan sehingga menjadi pengecut.
Akibatnya, Allah menyesatkan mereka di padang pasir selama 40 tahun, sehingga ramai yang mati ketika merayau dalam kesesatan.
Akhirnya, tinggal generasi baharu yang kembali semula ke jalan yang benar dan dipimpin oleh seorang pemuda, iaitu Yusya‘ AS yang dilantik menjadi nabi selepas wafatnya Nabi Musa dan Nabi Harun AS.
Manakala hanya segelintir warga tua yang lemah sahaja masih tinggal sebagai teladan yang buruk.
Al-Quran ialah kitab petunjuk Allah sepanjang zaman.
Namun, kita sering mengalami penyakit tidak yakin bahawa Islam mampu menjadi penyelamat, lalu beriman dengan sebahagian daripada ajaran Kitab dan tidak beriman dengan keseluruhannya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Bani Isra’il.
Hanya beriman dalam perkara ibadat, tetapi tidak beriman dalam urusan kehidupan dunia, khususnya perjuangan politik untuk menegakkan negara yang berpandukan petunjuk Allah.
Inilah penyakit yang menimpa Bani Isra’il yang dimurkai Allah SWT, dinyatakan dalam firman-Nya:
أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ ٨٥
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada Hari Kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lengah daripada apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Baqarah: 85]
Ayat ini ditujukan kepada Bani Isra’il yang beriman dalam perkara ibadat sahaja, dan sekadar membaca dalam perkara dunia, khususnya urusan politik dan pemerintahan negara.
Mereka mengikut ajaran sekularisme yang memisahkan urusan dunia, terutamanya urusan politik daripada agama.
Allah melabelkan mereka laksana binatang keldai yang bodoh, membawa kitab di atas belakangnya. Firman Allah SWT:
مَثَلُ ٱلَّذِينَ حُمِّلُواْ ٱلتَّوۡرَىٰةَ ثُمَّ لَمۡ يَحۡمِلُوهَا كَمَثَلِ ٱلۡحِمَارِ يَحۡمِلُ أَسۡفَارَۢاۚ بِئۡسَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بَِٔايَٰتِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٥
“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya (beramal dengan semuanya) adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.” [Surah al-Jumu‘ah: 5]
Allah menghapuskan sebahagian besar daripada mereka setelah merayau sesat selama 40 tahun, sehingga ramai yang mati pada usia tua dalam kesesatan.
Hanya tinggal segelintir sahaja yang masih terpengaruh dengan tipu daya syaitan dan keduniaan.
Kemudian, Allah melahirkan generasi baharu yang bangkit untuk berjuang menunaikan perintah-Nya.
Begitulah segelintir pengundi saluran satu yang terus tergoda dengan politik wang yang sekian lama menjadi alat sogokan dan rasuah.
Namun, Allah melahirkan golongan muda yang sedar dan insaf, meninggalkan golongan tua yang masih tergoda dengan tipu daya syaitan dan bala tentera hantunya.
Allah menafsirkan sifat Bani Isra’il dalam ayat yang lain dan masa yang lain:
أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلۡمَلَإِ مِنۢ بَنِيٓ إِسۡرَآءِيلَ مِنۢ بَعۡدِ مُوسَىٰٓ إِذۡ قَالُواْ لِنَبِيّٖ لَّهُمُ ٱبۡعَثۡ لَنَا مَلِكٗا نُّقَٰتِلۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ قَالَ هَلۡ عَسَيۡتُمۡ إِن كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡقِتَالُ أَلَّا تُقَٰتِلُواْۖ قَالُواْ وَمَا لَنَآ أَلَّا نُقَٰتِلَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَقَدۡ أُخۡرِجۡنَا مِن دِيَٰرِنَا وَأَبۡنَآئِنَاۖ فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيۡهِمُ ٱلۡقِتَالُ تَوَلَّوۡاْ إِلَّا قَلِيلٗا مِّنۡهُمۡۚ وَٱللَّهُ عَلِيمُۢ بِٱلظَّـٰلِمِينَ ٢٤٦ وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ ٢٤٧ وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ءَايَةَ مُلۡكِهِۦٓ أَن يَأۡتِيَكُمُ ٱلتَّابُوتُ فِيهِ سَكِينَةٞ مِّن رَّبِّكُمۡ وَبَقِيَّةٞ مِّمَّا تَرَكَ ءَالُ مُوسَىٰ وَءَالُ هَٰرُونَ تَحۡمِلُهُ ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَةٗ لَّكُمۡ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ ٢٤٨
“Apakah kamu tidak memperhatikan pemuka-pemuka Bani Isra’il sesudah wafatnya Nabi Musa, iaitu ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka, ‘Lantiklah untuk kami seorang raja supaya kami berperang (di bawah pimpinannya) di jalan Allah.’ Nabi mereka menjawab, ‘Mungkin sekali jika kamu nanti diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang.’ Mereka menjawab, ‘Mengapa kami tidak mahu berperang di jalan Allah, padahal sesungguhnya kami telah diusir dari kampung halaman kami dan (dari) anak-anak kami?’ Maka, tatkala perang itu diwajibkan atas mereka, mereka pun berpaling, kecuali sebahagian kecil antara mereka sahaja. Dan Allah Maha Mengetahui siapa orang-orang yang zalim. (246)
“Nabi mereka mengatakan kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Allah telah mengangkat (melantik) Talut menjadi rajamu.’ Mereka menjawab, ‘Bagaimana Talut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedangkan dia pun tidak diberikan kekayaan yang cukup banyak?’ Nabi (mereka) berkata, ‘Sesungguhnya, Allah telah memilih (Talut) menjadi rajamu dan menganugerahkan kepadanya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.’ Allah memberikan pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas Pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui. (247)
“Dan Nabi mereka mengatakan kepada mereka, ‘Sesungguhnya, tandanya (Talut) akan menjadi raja, ialah kembalinya Tabut kepadamu, di dalamnya terdapat ketenangan daripada Tuhanmu dan sisa daripada peninggalan keluarga Musa dan Harun; Tabut itu dibawa malaikat. Sesungguhnya, pada yang demikian itu terdapat tanda bagimu, jika kamu benar-benar orang yang beriman. [248]” [Surah al-Baqarah: 246-248]
Mereka itu berkonsepkan harta kekayaan, bukan iman, ilmu dan akhlak yang mulia.
Tidak dinafikan bahawa harta juga merupakan rukun hidup di alam dunia, tetapi tanpa iman, ilmu dan akhlak, maka nafsu syaitanlah yang menjadi pemandunya.
Harta yang berkat boleh dicapai dengan ilmu, iman dan akhlak yang mulia.
Sebaliknya, harta tanpa petunjuk dan mengikut nafsu akan merosakkan kehidupan dunia dan akhirat.
Inilah iktibar yang dapat diambil oleh PAS yang tidak bersedia memasuki Rumah Bangsa yang ditawarkan oleh UMNO yang bernaung di bawah bumbung yang nyata tidak selamat, laksana berada di bawah payung buruk yang sudah mengalami banyak kerosakan sehingga tidak mampu menahan simbahan hujan yang lebat.
Kain peneduhnya sudah tiada dan masih terdapat besi-besi tajam yang membahayakan.
Lebih berbahaya lagi kalau menjadi laksana rumah yang tidak beratap dan berdinding, yang dimasuki hantu yang menjadi penunggu sehingga membahayakan penghuninya.
Akibatnya, godaan yang menyebabkan seseorang itu beriman dengan sebahagian kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain, akan membawa kepada bahaya dan akibat yang lebih besar.
Mereka ditimpa seksaan di dunia sebelum menghadapi seksaan di akhirat kerana kemurkaan Allah.
Adapun seksaan dunia dinyatakan oleh firman Allah SWT:
ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١
“Telah zahir kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]
Manakala, seksaan dunia pula dengan hilangnya keberkatan dan berlakunya kemelesetan moral yang membawa kepada kelemahan kuasa politik, kemelesetan ekonomi, keruntuhan moral dan lain-lain.
Banyak harta dan hasil buminya, namun hilang keberkatan menjadikannya tidak berfaedah.
Walaupun bersifat Madani, tetapi liberal tanpa sempadan.
Ada yang diambil secara haram dan zalim serta dibelanjakan secara haram juga.
Apabila hilang sifat takwa dalam beramal dengan agama, maka hilang keberkatannya. Firman Allah SWT:
وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦ أَفَأَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا بَيَٰتٗا وَهُمۡ نَآئِمُونَ ٩٧ أَوَ أَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا ضُحٗى وَهُمۡ يَلۡعَبُونَ ٩٨ أَفَأَمِنُواْ مَكۡرَ ٱللَّهِۚ فَلَا يَأۡمَنُ مَكۡرَ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ ٩٩
“Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka. (96)
“Maka, apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada malam hari pada waktu mereka sedang tidur? (97)
“Atau apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada waktu matahari sepenggalah naik ketika mereka sedang bermain? (98)
“Maka adakah mereka merasa aman daripada azab Allah (yang tidak terduga-duga)? Tiada yang merasa aman daripada azab Allah kecuali orang-orang yang merugi. (99) [Surah al-A‘raf: 96-99]
Demikianlah amaran Allah. Maka, PAS tidak bersedia berada dalam rumah besar yang tidak beratap dan tercabut dindingnya, sehingga dimasuki syaitan-syaitan yang menggoda dan melalaikan.
Allah mewajibkan perpaduan di bawah naungan Islam. Firman Allah SWT:
وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ ١٠٣ وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. (103)
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung. (104)” [Surah Ali ‘Imran: 103-104]
Menyatupadukan umat Islam bersama kitab Allah, dan mengajak masyarakat majmuk berbagai-bagai agama dan bangsa bernaung di bawah pemerintahan Islam yang adil kepada seluruh manusia dengan perintah Allah yang menjadi amanah besar:
إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak (layak) menerimanya (yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia), dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia, supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
