Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) telah menyerang lebih daripada 100 sasaran di bandar Tel Aviv sebagai tindak balas terhadap kesyahidan Dr. Ali Larijani, bekas pegawai keselamatan tertinggi Iran, yang terbunuh dalam serangan pencerobohan Amerika Syarikat dan Israel terhadap negara itu.
Dalam satu kenyataan pada hari Rabu, IRGC mengumumkan bahawa sasaran-sasaran tersebut telah diserang dalam gelombang ke-61 Operasi True Promise 4 yang sedang berlangsung sebagai tindak balas terhadap pencerobohan tersebut.
Menurut kenyataan itu, sasaran-sasaran tersebut diserang menggunakan peluru berpandu Khorramshahr-4 dan Qadr yang mempunyai kepala peledak berbilang (multi-warhead), selain peluru berpandu Emad dan Kheibar Shekan, sebagai usaha membalas kesyahidan Dr. Larijani yang merupakan bekas Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran (SNSC).
“Dalam serangan kilat yang intensif ini, peluru berpandu Khorramshahr-4 dan Qadr telah mengenai lebih daripada 100 sasaran ketenteraan dan keselamatan di tengah-tengah wilayah yang dijajah tanpa menghadapi sebarang halangan,” menurut kenyataan tersebut.
IRGC menyatakan bahawa kejayaan tahap serangan balas ini adalah hasil daripada perpecahan dan kegagalan sistem pertahanan udara berlapis-lapis rejim Zionis yang sangat maju.
Menurut maklumat di lapangan, serangan balas itu turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik separa (partial blackout) di Tel Aviv.
Keadaan tersebut juga menyukarkan pasukan keselamatan rejim itu untuk mengawal situasi serta menjalankan operasi menyelamat mangsa yang terjejas.
Kor tersebut turut menyatakan bahawa setakat ini Operasi True Promise 4 telah menyebabkan lebih 230 orang Zionis terbunuh atau cedera.
Serangan balas tersebut bermula selepas Washington dan Tel Aviv melancarkan pusingan terbaru pencerobohan yang dianggap tidak sah terhadap Republik Islam Iran.
Selain Tel Aviv, operasi tersebut juga menyasarkan beberapa lokasi sensitif dan strategik pihak musuh, termasuk di kota suci al-Quds yang diduduki, pelabuhan Haifa yang diduduki, Be’er Sheva yang menjadi pusat teknologi rejim tersebut, serta kawasan Gurun Negev.
Pangkalan-pangkalan Amerika di seluruh rantau ini, termasuk yang berada di Qatar, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait dan Arab Saudi, turut berdepan serangan balas yang intensif.
