Kini, berlalu satu abad setelah berlakunya sejarah hitam kejatuhan kuasa besar Islam Khilafah ‘Uthmaniyyah disebabkan oleh langkah sumbang dan dosa besar umat Islam sendiri, akibat kejahilan agama dari sudut fardu kifayah sehinggalah fardu ain dalam kalangan umat.
Begitu juga, dengan kelemahan ulama’ serta kelalaian pemimpin, sehingga dijadikan proksi oleh musuh apabila umat Islam berpecah.
Malah, dilagakan agar berperang dalam satu umat sesama sendiri dan negara dengan bantuan musuh.
Semua ini berlaku akibat tidak peduli kepada amaran Allah SWT yang berfirman:
وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَٱخۡتَلَفُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ لَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ ١٠٥
“Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat.” [Surah Ali ‘Imran: 105]
Rasulullah SAW dalam khutbah Haji Wada‘ (haji selamat tinggal) bersabda:
لَا تَرْجِعُوْا بَعْدِي كُفَّارًا، يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ
“Jangan kamu kembali semula kepada jahiliah (menyeleweng) setelah aku (wafat), sehingga sebahagian dalam kalangan kamu, kamu bunuh membunuh sesama sendiri.” [Muttafaq ‘Alayh: Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, No. 121, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, No. 65, daripada Jarir]
Sebenarnya semua perkara ini berlaku selepas umat Islam tidak kuat berpegang dengan tali Allah (agama Islam yang sempurna).
Berlaku kejahilan umat, kelemahan para ulama’ yang tidak tafaqquh fi al-din serta kelalaian para pemimpin yang leka dengan takhta dan harta.
Sehinggakan, mereka meninggalkan Islam, mundur dalam ilmu agama dan dunia, lalu boleh diadudombakan oleh musuh melalui perbezaan kaum, masalah kekhilafan mazhab dalam perkara furu‘ (cabang) termasuk perebutan kuasa dan harta dalam kalangan pemimpin.
Lalu mencetuskan perang saudara dengan dibantu oleh musuh dan membantu musuh untuk menjatuhkan kedaulatan Islam dalam memimpin dunia.
Para pemimpin yang membantu kalangan musuh pula, setelah itu, dihadiahkan dengan menjadi ketua negara yang dibahagi-bahagikan di bawah jajahan takluk musuh, dan diadakan pangkalan tentera musuh bagi mengawalnya.
Kini, bala tentera Ahzab digerakkan semula bagi memadamkan kebangkitan Islam di Palestin melalui Jemaah Islam Sunni (Hamas dan Tanzim Jihad) yang disertai bersama kumpulan Syiah dan Sunni seperti Hizbullah di Lubnan, Ansarullah di Yaman dan kumpulan al-Muqawamah al-Islamiyyah di Iraq yang dibantu oleh Republik Islam Iran termasuk Imarah Islamiyyah Afghanistan dan lain-lain.
Akhirnya, semua kumpulan Islam dan negara Islam yang bersamanya menjadi sasaran serangan bala tentera Ahzab (tentera bersekutu Israel bersama blok Amerika Syarikat), maka diizinkan dan diberikan kemudahan kepada bala tentera itu untuk membina pangkalan di beberapa buah negara Arab dan Islam.
Bala tentera Ahzab gabungan Zionis dan Amerika Syarikat tidak mendapat sokongan daripada semua negara bukan Islam, khususnya daripada negara Amerika Latin, Afrika, beberapa negara Asia serta beberapa negara Eropah kerana telah melanggar undang-undang antarabangsa.
Malangnya, negara-negara Arab dan Islam yang membenarkan dibina pangkalan tentera itu mengecewakan, apabila tentera asing diizinkan menyerang Republik Islam Iran dan kumpulan Islam bersamanya.
Keizinan Malaysia membenarkan ruang perairannya menjadi persinggahan kapal Amerika Syarikat yang terlibat dalam peperangan yang sedang berlaku juga adalah kemungkaran yang wajib dicegah demi maruah negara umat Islam.
Apabila Iran terpaksa membalas serangan daripada pangkalan tentera tersebut, maka Iran dan kumpulan Islam pula dituduh menyerang negara-negara jiran Arab dan Islam.
Walaupun yang menjadi sasarannya hanyalah pangkalan tentera musuh dan anggota pasukannya daripada kalangan bukan Islam, bukannya warga negara Arab.
Namun, diputar belit dengan pembohongan sehingga menjadi fitnah.
Isu perbezaan bangsa dan mazhab dihidupkan semula, fitnah yang sama pernah dinyalakan pada abad yang lalu bagi mencetuskan perang adu domba dan menjadi proksi kepada musuh Islam bagi menjatuhkan Daulah ‘Uthmaniyyah.
Majoriti umat Islam bersama-sama menyokong jihad menentang bala tentera Ahzab (bersekutu musuh Islam dan kumpulan munafiq), kerana sudah menjadi perang Islam menentang musuhnya.
Namun, mereka dikelirukan oleh para ulama’ yang tidak bertafaqquh dalam urusan al-din yang bertindak menyokong kerajaan yang sudah menyeleweng daripada Islam.
Hal ini disebabkan kerajaan itu berwala’ kepada musuh Islam yang telah dinyatakan haram kerana larangan Allah yang berulang kali dalam al-Quran. Antaranya, firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلنَّصَٰرَىٰٓ أَوۡلِيَآءَۘ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُۥ مِنۡهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٥١
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin (kamu); sebahagian daripada mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Sesiapa antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya, Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” [Surah al-Ma’idah: 51]
Para ulama’ yang bersamanya pula, dinyatakan Allah telah dipergunakan oleh syaitan. Firman Allah SWT:
وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا ۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦
“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175)
“Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikannya (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dijulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menjulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176)” [Surah al-A‘raf: 175-176]
Allah menamakan golongan munafiq terhadap para pemimpin yang berselindung di sebalik musuh Islam bagi menyelamatkan diri, sebagaimana firman-Nya:
بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩ وَقَدۡ نَزَّلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أَنۡ إِذَا سَمِعۡتُمۡ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ يُكۡفَرُ بِهَا وَيُسۡتَهۡزَأُ بِهَا فَلَا تَقۡعُدُواْ مَعَهُمۡ حَتَّىٰ يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيۡرِهِۦٓ إِنَّكُمۡ إِذٗا مِّثۡلُهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ جَامِعُ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱلۡكَٰفِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا ١٤٠
“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. (138)
“(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya semua kekuatan itu kepunyaan Allah. (139)
“Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam al-Quran, bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk berserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa sahaja dengan mereka. Sesungguhnya, Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafiq dan orang-orang kafir di dalam Jahannam. (140)” [Surah al-Nisa’: 138-140]
Kini, berlaku kebenaran mukjizat ilmu al-Quran dalam semua ilmu termasuk ilmu politik antarabangsa, mengulangi berlakunya ujian yang telah memecahbelahkan umat Islam dalam peristiwa Perang Ahzab.
Telah disebutkan dalam surah bernama al-Ahzab, firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا ٩ إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠ ١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا ١٢ وَإِذۡ قَالَت طَّآئِفَةٞ مِّنۡهُمۡ يَـٰٓأَهۡلَ يَثۡرِبَ لَا مُقَامَ لَكُمۡ فَٱرۡجِعُواْۚ وَيَسۡتَـْٔذِنُ فَرِيقٞ مِّنۡهُمُ ٱلنَّبِيَّ يَقُولُونَ إِنَّ بُيُوتَنَا عَوۡرَةٞ وَمَا هِيَ بِعَوۡرَةٍۖ إِن يُرِيدُونَ إِلَّا فِرَارٗا ١٣
“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan ni‘mat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya. Dan adalah Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. (9)
“(Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatanmu dan hatimu naik menyesak sampai ke tenggorokan dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam purbasangka. (10)
“Di situlah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hatinya) dengan goncangan yang sangat dahsyat. (11)
“Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.’ (12)
“Dan (ingatlah) ketika segolongan antara mereka berkata, ‘Wahai penduduk Yathrib (Madinah), tidak ada tempat bagimu, maka kembalilah kamu.’ Dan sebahagian daripada mereka minta izin kepada Nabi (untuk kembali pulang) dengan berkata, ‘Sesungguhnya, rumah-rumah kami terbuka (tidak ada penjaga).’ Dan rumah-rumah itu sekali-kali tidak terbuka, mereka tidak lain hanya hendak lari (daripada berjihad yang diwajibkan mempertahankan Islam). (13)” [Surah al-Ahzab: 9-13]
Pada zaman Rasulullah SAW, umat Islam gagal dipecahkan kerana perpaduan yang kuat dan mendapat pertolongan Allah untuk mencapai kemenangan.
Pada zaman mutakhir pula, umat Islam berpecah-belah sehingga dapat dikalahkan dan diseksa di alam dunia apabila berada di bawah taklukan penjajah. Firman Allah SWT:
وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَٱخۡتَلَفُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ لَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ ١٠٥
“Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat.” [Surah Ali ‘Imran: 105]
Apa yang berlaku hari ini mengulangi bencana yang pernah menimpa Bani Isra’il, apabila mereka meninggalkan kitab Taurat (petunjuk Allah).
Sekalipun dalam kalangan mereka terdapat orang yang berilmu dan kaya-raya, tetapi bodoh akalnya kerana tidak mendapat hidayah Allah dan tidak diberikan pertolongan. Firman Allah SWT:
إِن يَنصُرۡكُمُ ٱللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمۡۖ وَإِن يَخۡذُلۡكُمۡ فَمَن ذَا ٱلَّذِي يَنصُرُكُم مِّنۢ بَعۡدِهِۦۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡيَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ١٦٠
“Jika Allah menolong kamu, maka tiada orang yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberikan pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) daripada Allah sesudah itu? Oleh sebab itu, hendaklah kepada Allah saja orang-orang Mukmin itu bertawakkal.” [Surah Ali ‘Imran: 160]
Sekiranya mereka meninggalkan Islam, maka mereka menjadi kalangan yang paling bodoh sehingga berpecah-belah kerana perbezaan bangsa dan mazhab.
Kemudian dapat diadu domba oleh musuh agar berperang saudara dengan senjata yang dibeli daripada musuh, sehingga mengorbankan diri saudara seagama dan harta sendiri.
Umat Islam pada generasi awal tidak berpecah belah, walaupun mereka berbeza pendapat dalam perkara cabang agama (bukan rukun dan dasar). Allah SWT berfirman:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, dan ulu al-amri antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [Surah al-Nisa’: 59]
Kita berada pada zaman yang pernah dinyatakan oleh Abdullah bin Mas‘ud RA:
إِذَا كَثُرَتْ قُرَّاؤُكُمْ، وَقَلَّتْ فُقَهَاؤُكُمْ، وَكَثُرَتْ أُمَرَاؤُكُمْ، وَقَلَّتْ أُمَنَاؤُكُمْ، وَالْتُمِسَتِ الدُّنْيَا بِعَمَلِ الْآخِرَةِ
“Apabila antara kalian ramai pembaca al-Quran, sedangkan para fuqaha’ itu sedikit, dan munculnya ramai pemimpin, sedangkan orang yang mempunyai sifat amanah sedikit, serta ketika dunia dicari dengan jalan akhirat.” [Riwayat al-Darimi, Musnad al-Darimi, al-Muqaddimah, no. 191, dan al-Hakim, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, Kitab al-Fitan wa al-Malahim, no. 8570, dan lain-lain]
Firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢
“Tidak sepatutnya bagi Mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan antara mereka beberapa orang untuk bertafaqquh (memperdalam pengetahuan mereka tentang agama) dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.” [Surah al-Tawbah: 122]
Para ulama’ yang bertafaqquh ialah waris para anbiya’ dan golongan yang menyambung perjuangannya.
Mereka tetap ada dalam setiap generasi kerana Allah sentiasa memelihara Islam yang tidak boleh dipadamkan cahayanya.
Pada zaman mutakhir, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pernah menganjurkan persidangan para fuqaha’ di Makkah dan Jordan, kemudian mengesahkan Resolusi Majma‘ al-Buhuth al-Islamiyyah di bawah al-Azhar di Mesir dan Majma‘ al-Taqrib Bayna al-Mazahib di Iran bahawa terdapat lapan mazhab yang mewarisi karangan para ulama’ muktabar daripada kalangan semua mazhab Ahli Kiblat yang masih menjadi rujukan Fiqh al-Muqaran (Fiqh Perbandingan Mazhab).
Mazhab itu terdiri daripada Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab Syafi‘i, Mazhab Hanbali dan Mazhab Zahiri (daripada kalangan Sunni), Mazhab Imamiyyah Isna ‘Asyariyah dan Mazhab Zaidiyyah (daripada kalangan Syiah) termasuk mazhab Ibadi.
Semua dalam kalangan mereka adalah penganut Islam yang dinamakan Ahli Kiblat yang sama kerana persamaan rukun iman dan Islamnya, walaupun berbeza dalam perkara cabang.
Mereka itulah ulu al-amri yang wajib dihormati kerana mewarisi ilmu dan perjuangan para anbiya’.
Semua tulisan para ulama’ mazhab Ahli Kiblat tersebut, masih dirakam dalam kitab-kitab muktabar dan ada kitab yang dikarang bersama serta masih menjadi rujukan.
Serangan tentera Ahzab (Israel dan Amerika Syarikat) bersama sekutunya tidak mendapat sokongan daripada banyak negara bukan Islam kerana telah melanggar undang-undang antarabangsa.
Maka, sangatlah malang dan memalukan bagi negara-negara Islam dan Arab yang membantu musuh Islam yang nyata secara langsung atau tidak langsung.
Apa yang lebih membimbangkan adalah negara Ahzab yang mula menunjukkan tanda-tanda kekalahannya kerana sudah tidak ada sokongan daripada kalangan bukan Islam sendiri.
Seterusnya, akan mengheret negara-negara Arab dan Islam itu untuk meneruskan peperangan secara adu domba beralasan perbezaan bangsa dan mazhab, sehingga dilaknat Allah kerana sangat besar dosanya terhadap Islam dan umatnya.
Firman Allah SWT memberi peringatan:
وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ٤٦
“Dan taatilah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu saling berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu. Dan bersabarlah, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.” [Surah al-Anfal: 46]
Peperangan yang berlaku kini adalah ujian Allah sebagaimana yang telah dijanjikan-Nya melalui firman-Nya:
الٓمٓ ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٣
“Alif lam mim. (1)
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan (saja) mengatakan, ‘Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi? (2)
“Dan sesungguhnya, kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (3) [Surah al-‘Ankabut: 1-3]
Apa yang berlaku hari ini bukanlah drama lakonan, bahkan menyatakan kesediaan meletakkan Islam kurniaan Allah mengikut tertib senarai maqasid al-syari‘ah.
Maka, memelihara agama (al-din) adalah perkara yang pertama dan paling didahulukan daripada menjaga nyawa (diri), akal, dan lain-lain.
Ibn Khaldun RH menegaskan betapa mudahnya umat yang dijajah itu terikut dengan penjajahnya, sehingga boleh diperhamba dan diadudombakan termasuk umat Islam.
Walaupun dinamakan sudah merdeka, akalnya masih dijajah kerana jahilnya terhadap agama dan lemahnya iman.
Sabda Rasulullah SAW:
يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا، فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزِعَنَّ اللهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ، فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَمَا الْوَهْنَ؟ قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ.
“Tiba masanya beberapa umat (daripada musuh Islam) mengelilingi kalian laksana mereka yang pelahap mengelilingi hidangan makanan yang lazat.”
Salah seorang sahabat bertanya, “Adakah jumlah kita (umat Islam) pada masa itu terlalu sedikit?”
Baginda menjawab, “Bahkan, terlalu ramai, tetapi kalian laksana sampah sarap dan buih yang dihanyutkan banjir. Allah akan mencabut rasa kehebatan kalian dari hati musuh-musuh kalian dan mencampakkan dalam hati kalian penyakit al-wahan (kehinaan).”
Salah seorang sahabat meminta penjelasan, “Wahai Rasulullah, apakah maksud penyakit al-wahan itu?”
Baginda menjawab, “Terlalu cinta akan dunia dan takut akan kematian.” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Malahim, no. 4297 dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, no. 22397, daripada Thauban bin Bujdud]
Rasulullah SAW bersabda kepada pemimpin Bani Syaiban apabila mereka mengaku benarnya Islam, tetapi masih teragak-agak untuk berbaiah kerana takut kepada kuasa besar yang menentang Islam:
إِنَّهُ لَا يَقُومُ بِدِينِ اللَّهِ إلَّا مَنْ حَاطَهُ مِنْ جَمِيعِ جَوَانِبِهِ
“Sesungguhnya, agama ini (Islam) tidak boleh ditegakkan, melainkan oleh sesiapa yang bersedia dikepung oleh musuh dari segenap penjuru.” [Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, jld. 4, hlm. 359 dan al-Asbahani dalam Dala’il al-Nubuwwah, hlm. 282]
Sekarang Islam sedang dikepung tanpa mengira mazhab dan bangsa, umat Islam pula berpecah mengikut mazhab dan bangsa.
Sedangkan, musuh pula bersatu daripada semua agama dan ideologi.
Sekaligus menjadikan setiap yang berjenama beriman (Islam) adalah musuhnya. Firman Allah SWT:
وَمَا نَقَمُواْ مِنۡهُمۡ إِلَّآ أَن يُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَمِيدِ ٨
“Dan mereka tidak menyeksa orang-orang Mukmin itu melainkan kerana orang Mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.” [Surah al-Buruj: 8]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
