Alhamdulillah, marilah kita sama-sama menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kurniaan taufiq dan hidayah-Nya yang mengizinkan kita menyempurnakan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan.
Mudah-mudahan segala amalan yang dilakukan diterima oleh Allah SWT dan menjadikan kita dalam kalangan hamba-Nya yang bertaqwa.
Sesungguhnya, Ramadan merupakan madrasah yang mentarbiah roh, jasad dan akal kita agar tunduk patuh kepada perintah Allah SWT.
Natijah daripada tarbiah ini ialah melahirkan insan yang mempunyai kekuatan iman, memperkukuh hubungan dengan Allah serta membina akhlak yang mulia dalam kehidupan bermasyarakat.
Bulan Ramadan juga mengajar kita erti keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan melalui amalan infaq, sedekah dan zakat fitrah.
Ia menjadi asas dalam membina masyarakat yang bersatu padu, saling membantu dan memperkukuh ukhuwah Islamiah tanpa mengira latar belakang.
Dalam suasana umat Islam pada hari ini yang berhadapan dengan pelbagai cabaran, sama ada dari sudut pemikiran, ekonomi mahupun geopolitik, maka menjadi kewajipan kepada kita untuk terus berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sempurna.
Sesungguhnya, kemenangan yang sebenar bukan hanya di dunia, tetapi apabila kita berjaya mempertahankan iman dan istiqamah dalam ketaatan kepada Allah SWT.
Oleh itu, marilah kita menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kesyukuran, memperbanyakkan takbir membesarkan Allah SWT, serta mengeratkan silaturahim dengan saling bermaafan antara satu sama lain.
Jadikanlah hari kemenangan ini sebagai titik permulaan untuk terus istiqamah dalam melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.
Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya dengan penuh rasa kesyukuran ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di mana jua berada.
Mudah-mudahan kita semua dikurniakan keampunan, rahmat dan keberkatan, serta terus istiqamah dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT.
تقبل الله منا ومنكم، كل عام وأنتم بخير.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
