Sejak kuasa besar Islam Kerajaan ‘Uthmaniyyah berada dalam keadaan lemah dan berakhir dengan kejatuhannya, maka umat Islam pula dipecahbelahkan, tanah airnya dijajah oleh musuh dan dibahagikan laksana pusaka dalam kalangan kuasa besar penjajah bukan Islam yang silih berganti.
Mereka meletakkan negara haram Israel di Palestin secara rompakan, untuk dijadikan benteng dan pengawal bagi menghalang kebangkitan semula Islam yang berdaulat.
Para pemimpin kalangan umat Islam yang dijadikan abdi dan khadam bagi menjatuhkan kedaulatan Islam pula, kemudiannya dilantik menjadi ketua negara kepada negara-negara yang telah dipecahkan dan menjadi boneka yang boleh digerakkan mengikut agenda musuh itu.
Persidangan yang diadakan oleh Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak mampu membuat keputusan sendiri sebagai negara yang merdeka dan berdaulat.
Kini, Islam dipinggirkan oleh negara Arab yang mengaku Islam dan negara Islam bukan Arab yang menghalang Islam berdaulat dalam negara yang Islam tidak berkuasa, lalu mereka itu bekerjasama dengan musuh-musuh Islam. Firman Allah SWT:
أَفَمَن كَانَ عَلَىٰ بَيِّنَةٖ مِّن رَّبِّهِۦ وَيَتۡلُوهُ شَاهِدٞ مِّنۡهُ وَمِن قَبۡلِهِۦ كِتَٰبُ مُوسَىٰٓ إِمَامٗا وَرَحۡمَةًۚ أُوْلَـٰٓئِكَ يُؤۡمِنُونَ بِهِۦۚ وَمَن يَكۡفُرۡ بِهِۦ مِنَ ٱلۡأَحۡزَابِ فَٱلنَّارُ مَوۡعِدُهُۥۚ فَلَا تَكُ فِي مِرۡيَةٖ مِّنۡهُۚ إِنَّهُ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يُؤۡمِنُونَ ١٧ وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّنِ ٱفۡتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًاۚ أُوْلَـٰٓئِكَ يُعۡرَضُونَ عَلَىٰ رَبِّهِمۡ وَيَقُولُ ٱلۡأَشۡهَٰدُ هَـٰٓؤُلَآءِ ٱلَّذِينَ كَذَبُواْ عَلَىٰ رَبِّهِمۡۚ أَلَا لَعۡنَةُ ٱللَّهِ عَلَى ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٨ ٱلَّذِينَ يَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَيَبۡغُونَهَا عِوَجٗا وَهُم بِٱلۡأٓخِرَةِ هُمۡ كَٰفِرُونَ ١٩
“Apakah (orang-orang kafir itu sama dengan) orang-orang yang ada mempunyai bukti yang nyata (al-Quran) daripada Tuhannya, dan diikuti pula oleh seorang saksi (Muhammad) daripada Allah dan sebelum al-Quran itu telah ada Kitab Musa yang menjadi pedoman dan rahmat? Mereka itu beriman kepada al-Quran. Dan sesiapa antara mereka (orang-orang Quraisy) dan sekutu-sekutunya yang kafir kepada al-Quran, maka nerakalah tempat yang diancamkan baginya, kerana itu janganlah kamu ragu-ragu terhadap al-Quran itu. Sesungguhnya, (al-Quran) itu benar-benar daripada Tuhanmu, tetapi kebanyakan manusia tidak beriman. (17)
“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah? Mereka itu akan dihadapkan kepada Tuhan mereka, dan para saksi akan berkata, ‘Orang-orang inilah yang telah berdusta terhadap Tuhan mereka.’ Ingatlah, kutukan Allah (ditimpakan) atas orang-orang yang zalim. (18)
“(Iaitu) orang-orang yang menghalangi (manusia) dari jalan Allah dan menghendaki (supaya) jalan itu bengkok. Dan mereka itulah orang-orang yang tidak percaya akan adanya Hari Akhirat. (19)” [Surah Hud: 17-19]
Para ulama’ membahagikan perkara maslahah mengikut maqasid syar‘iyyah dan siasah syar‘iyyah kepada tiga pendekatan maslahah iaitu wajib, haram dan harus; dipilih yang terbaik mengikut tertib daruriyyat didahului menjaga agama, nyawa, akal, maruah, zuriat dan harta.
Antara maslahah agama pertama yang diwajibkan oleh Islam ialah maslahah mempertahankan Islam, umat dan negaranya dengan perintah wajib daripada Allah SWT melalui firman-Nya:
وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa-apa saja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahui mereka; sedang Allah mengetahui mereka. Apa-apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]
Antara perintah yang wajib ditunaikan ialah membela umat Islam yang dizalimi, di mana sahaja ia berlaku dengan persediaan yang sesuai pada setiap zaman masing-masing.
Terkini, peristiwa Palestin dan Masjid al-Aqsa ditawan oleh musuh dan ancaman Zionis untuk mendirikan negara Israel Agung secara terbuka.
Gaza yang kecil wilayahnya pula dikuasai dan diganyang dengan cara yang paling ganas, keadaan yang disaksikan oleh umat Islam, masyarakat antarabangsa dan negara Arab paling berjiran yang sangat mengecewakan.
Negara Arab yang paling kaya dengan hasil kurniaan Allah pula hanya menjaga maslahah harta dan takhta, apabila mengundang bahaya berwala’ kepada musuh atas nama maslahah yang diharamkan secara nas oleh Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلنَّصَٰرَىٰٓ أَوۡلِيَآءَۘ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُۥ مِنۡهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٥١
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin (kamu)! Sebahagian daripada mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Sesiapa antara kamu yang mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya, Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” [Surah al-Ma’idah: 51]
Firman Allah SWT:
بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩
“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. (138)
“(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah. (139)” [Surah al-Nisa’: 138-139]
Maslahah yang diutamakan tidak mengikut tertib maqasid syar‘iyyah; apabila dipertahankan maslahah takhta dan harta, telaga minyak dan gas melalui pangkalan musuh tidak dimanfaatkan untuk membantu saudara seagama, sebaliknya menyerang negara sahabat yang bersedia untuk berjihad melaksanakan perintah Allah.
Firman Allah SWT:
وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا ٧٥ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱلطَّـٰغُوتِ كَانَ ضَعِيفًا ٧٦
“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik para lelaki, wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Makkah) yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!’ (75)
“Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, manakala orang-orang yang kafir berperang di jalan taghut. Oleh sebab itu, perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah. (76)” [Surah al-Nisa’: 75-76]
Tiba-tiba, negara-negara itu memberi kemudahan kepada syaitan besar Amerika Syarikat (Donald Trump) dan Zionis Israel yang mengganyang Republik Islam Iran yang bersama Palestin (Hamas dan Hizbullah), Muqawamah Islamiyyah di Lubnan, Yaman, Iraq dan lain-lain.
Mereka semua bertopengkan mazhab, bangsa dan negara yang dihadiahkan melalui Perjanjian Sykes-Picot.
Peperangan yang berlaku bukan kerana mazhab, tetapi kerana agamanya Islam tanpa mengira mazhab dan bangsa.
Firman Allah SWT:
وَمَا نَقَمُواْ مِنۡهُمۡ إِلَّآ أَن يُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَمِيدِ ٨
“Dan mereka tidak menyeksa orang-orang Mukmin itu melainkan kerana orang-orang Mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.” [Surah al-Buruj: 8]
Langkah sesat yang nyata menentang maslahah yang diwajibkan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dengan meninggalkan Islam yang sempurna, namun mengikuti contoh Yahudi yang memisahkan urusan agama dan dunia.
Malah, juga meninggalkan firman Allah SWT:
… ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ … ٣
“…Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu ni‘mat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu jadi agama bagimu…” [Surah al-Ma’idah: 3]
Firman Allah SWT terhadap kaum Yahudi:
… أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ ٨٥
“…Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada Hari Kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lengah daripada apa yang kamu lakukan.” [Surah al-Baqarah: 85]
Mereka itu disamakan dengan keldai yang boleh ditunggang, apabila tidak beramal dengan kitab Allah (Taurat). Firman Allah SWT:
مَثَلُ ٱلَّذِينَ حُمِّلُواْ ٱلتَّوۡرَىٰةَ ثُمَّ لَمۡ يَحۡمِلُوهَا كَمَثَلِ ٱلۡحِمَارِ يَحۡمِلُ أَسۡفَارَۢاۚ بِئۡسَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٥
“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepada mereka Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.” [Surah al-Jumu‘ah: 5]
Setelah memikul al-Quran, kini ditunggang oleh musuh yang paling dilaknat oleh Allah SWT. Firman-Nya:
۞لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْۖ … ٨٢
“Sesungguhnya, kamu mendapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik…” [Surah al-Ma’idah: 82]
Tiba-tiba, kini mereka berwala’ kepada Yahudi dan Musyrikin penyembah harta kekayaan dan hawa nafsu yang paling bermusuh terhadap Islam.
Malangnya, ada kalangan yang berjenama ulama’ masih ragu terhadap mereka yang sedia berjihad dan melaksanakan kewajipan jihad menentang musuh nombor wahid.
Sehinggakan, ada kalangan yang masih ragu terhadap mereka yang berjihad itu sama ada gugur syahid atau tidak, walaupun dalam keadaan darurat jihad itu menjadi fardu ain bukan lagi fardu kifayah dengan nas al-Quran, Sunnah dan Ijmak para ulama’ Ahli Kiblat yang satu.
Inilah ujian Allah terhadap mereka yang mengaku beriman. Firman Allah SWT:
الٓمٓ ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٣
“Alif lam mim. (1)
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan (saja) mengatakan, ‘Kami telah beriman’, sedangkan mereka tidak diuji lagi? (2)
“Dan sesungguhnya, kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta. (3)” [Surah al-‘Ankabut: 1-3]
Persidangan tergempar OIC hanyalah mengikut langkah strategi Israel dan Amerika Syarikat yang mengkeldaikan negara Islam dan Arab ke arah perang saudara yang membantu musuh kerana maslahah mereka hanyalah ingin menghancurkan Islam melalui Perang Ahzab Baharu terhadap kumpulan Islam Palestin dan lain-lain.
Hal ini termasuklah serangan ke atas Republik Islam Iran yang telah berubah daripada mazhab Syiah sekular yang paling sesat pada zaman Shah Iran kepada islah dan tajdid terhadap Islam selepas berlakunya Revolusi Islam pada tahun 1979, sangat rapat pada zaman Shah Iran dan bermusuh pada zaman perubahan kepada Islam.
Israel dengan sokongan Amerika Syarikat mula melancarkan serangan dari segenap penjuru, termasuk menggunakan pangkalannya di negara-negara Arab dan Islam.
Apabila dibalas serangan terhadap pangkalan yang digunakan, lalu difitnah Iran pula yang menceroboh negara jiran dan sahabat.
Seluruh masyarakat antarabangsa di timur dan barat menyatakan bahawa pencerobohan Israel dan Amerika Syarikat adalah kesalahan undang-undang antarabangsa dan percanggahan terhadap nilai kemanusiaan, satu kezaliman yang nyata tidak boleh dikelirukan.
Firman Allah SWT yang mewajibkan perang dan persediaannya ditukar menjadi fitnah:
كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡقِتَالُ وَهُوَ كُرۡهٞ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔا وَهُوَ خَيۡرٞ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡـًٔا وَهُوَ شَرّٞ لَّكُمۡۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ٢١٦ يَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلشَّهۡرِ ٱلۡحَرَامِ قِتَالٖ فِيهِۖ قُلۡ قِتَالٞ فِيهِ كَبِيرٞۚ وَصَدٌّ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَكُفۡرُۢ بِهِۦ وَٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ وَإِخۡرَاجُ أَهۡلِهِۦ مِنۡهُ أَكۡبَرُ عِندَ ٱللَّهِۚ وَٱلۡفِتۡنَةُ أَكۡبَرُ مِنَ ٱلۡقَتۡلِۗ وَلَا يَزَالُونَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمۡ عَن دِينِكُمۡ إِنِ ٱسۡتَطَٰعُواْۚ وَمَن يَرۡتَدِدۡ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَيَمُتۡ وَهُوَ كَافِرٞ فَأُوْلَـٰٓئِكَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ ٢١٧
“Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu pula tidak mengetahui. (216)
“Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah, ‘Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjid al-Haram dan mengusir penduduknya dari kawasan sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah. Dan berbuat fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak henti-henti memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu daripada agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Sesiapa yang murtad antara kamu daripada agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. (217)” [Surah al-Baqarah: 216-217]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
