Petikan Kertas Kerja Prof. Dato’ Dr. Kasim HJ Md Mansur (UMS)

Petikan Kertas Kerja Prof. Dato’ Dr. Kasim HJ Md Mansur (UMS)

KERTAS KERJA EKONOMI DI DALAM KONVENSYEN “SETENGAH TAHUN PENTADBIRAN PN: PENCAPAIAN, HARAPAN DAN CABARAN ANJURAN PINTAR DI PAUM PADA 1 SEPTEMBER 2020

Pemerintahan PN yang baharu sahaja mengambil alih tampuk pemerintahan tidak berkesempatan meletakkan manifesto sebagaimana kebiasaan yang diamalkan setiap kali berlakunya pilihan raya.

Meskipun demikian Kerajaan PN yang telah mengambil alih tampuk pemerintahan pada Februari lepas telah cuba melakukan sesuatu yang positif kepada pemulihan ekonomi.

Kerajaan PN berdepan dengan situasi yang amat mencabar dan getir.

Semasa mengambil-alih pemerintahan jangkitan wabak Covid-19 telah mula memberi impak negatif kepada masyarakat umum serta perekonomian negara.

Tugas utama yang perlu ditangani segera ialah memerangi wabak Covid-19 daripada terus merebak.

Tidak dinafikan PN berdepan dengan kemelut ekonomi dan dalam masa yang sama keperluan untuk menyelamatkan nyawa penduduk daripada dijangkiti oleh Covid-19.

Perancangan dan strategi kerajaan dilihat amat berkesan dengan melaksanakan arahan PKP agar rantaian Covid-19 dapat diputuskan.

Dalam masa yang sama, pihak kerajaan telah menyediakan satu pakej ekonomi yang bersifat komprehensif.

Pakej ekonomi yang telah dilaksanakan ini bermatlamat untuk membendung dan mengekang kemelesetan ekonomi daripada terus berlaku.

Objektif utama pakej rangsangan ekonomi ini ialah untuk meringankan beban rakyat yang terkesan dengan PKP, khususnya golongan-golongan B40 dan M40 serta pemain-pemain dalam industri berskala kecil dan sederhana termasuk mereka yang bekerja sendiri.

Secara umumnya, pakej prihatin rakyat merupakan satu pakej yang bersifat holistik dan berfokus.

Komponen-komponen yang terkandung dalam pakej ini tidak dinafikan telah memberi impak yang positif kepada ekonomi secara umum dan dapat meredakan kesulitan dan kesempitan kehidupan masyarakat merentasi lapisan masyarakat secara khususnya.

Sepanjang tempoh enam bulan Kerajaan PN memegang tampuk pemerintahan, pelbagai krisis telah ditangani, beberapa strategi dan agenda telah dilaksanakan dengan berkesan.

Daripada strategi dan agenda tersebut, beberapa pencapaian yang memberangsangkan telah terlaksana atau telah menampakkan keberhasilan yang positif kepada perekonomian masyarakat dan negara.

Antaranya ialah:

  1. Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada golongan B40 dan M40.
  2. Generasi muda termasuk pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi diberikan bantuan dan perhatian.
  3. Elaun khas kepada wira dan wirawati di barisan hadapan.
  4. Pengiktirafan dunia kepada negara dalam pengurusan dan menangani wabak COVID-19.
  5. Pembuka peluang pekerjaan pada waktu krisis.
  6. Serta hubungan diplomatik antara negara dipulihkan.

Tentunya sebarang penilaian kepada pencapaian yang diperolehi biasanya disokong oleh pihak-pihak yang berkaitan dengan pengiktirafan dan diiktiraf di peringkat global.

Dalam hal ini S&P Global Ratings yang diketahui umum merupakan satu entiti bertaraf dunia memberi penarafan kepada Malaysia di tahap A-.

Penarafan ini secara langsung memberi isyarat yang positif kepada pemain-pemain industri dan pelabur luar dan domestik tentang urustadbir perekonomian negara.

Penilaian ini secara langsung mampu melonjakkan lagi penarafan ekonomi Malaysia kepada yang terbaik di rantau Asia Tenggara.

Inisiatif dan perancangan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara telah memperlihatkan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi walaupun pada kadar yang perlahan.

Dasar fiskal dan monetari yang dilaksanakan telah menampakkan kesan positif khususnya dalam pasaran pekerjaan dan secara umum merangsang ekonomi negara.

Tuntasnya pakej-pakej rangsangan yang telah dilaksanakan telah memberi suntikan semangat dan keyakinan kepada semua pemain utama perniagaan.

Agenda pemulihan ekonomi dan “memerangi” pandemik Covid-19 perlu disokong dan didokong bersama di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sokongan ini perlu kerana ianya merupakan aset penting dalam memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi yang lestari dan berdaya saing.

Kamarul Yusoff

Isu Semasa