Saya terbaca satu artikel dalam media Malaysiakini yang merendahkan Melayu dengan merujuk kepada tulisan Abdullah Abdul Kadir Munshi (1796–1854) yang merupakan seorang penulis khadam kepada penjajah pada zaman kemuncaknya (sila baca riwayat hidupnya).
Bukunya yang diterbitkan pada zaman penjajah dahulu dalam tulisan Jawi, membawa fikrah yang sama dengan penulisan para orientalis Barat yang merendahkan Islam dan penganutnya, termasuk bangsa Melayu kerana Islam yang dianutinya.
Mereka sengaja menutup sejarah keemasan atau menafikan kehebatan rumpun Melayu Nusantara yang mempunyai tamadun sendiri ketika bersama Islam selama beberapa abad, sehingga perjuangan mereka melahirkan tokoh-tokoh ulama’ dan raja yang alim, raja yang adil, serta para mujahid (pejuang) yang menentang penjajah.
Penjajah Barat telah melupai jasa tamadun Islam yang mengeluarkan mereka daripada era kegelapan ilmu.
Dipilihnya model Kelantan dan Terengganu, negeri terakhir dan benteng terakhir yang dijajah sebagai sasaran tekanan, sehingga diteruskan selepas mencapai kemerdekaan oleh anak-anak penjajah pula.
Terkini, sebabnya adalah kerana Perikatan Nasional (PN) mengalahkan Pakatan Harapan (PH) yang tersungkur rebah bersama ideologi warisan penjajah yang menjadi perjuangan mereka.
Sekalipun mereka banyak menggunakan senjata fitnah dan pembohongan yang menjadi sebab rakyat menolak mereka.
Penulis itu tidak menyebut langsung betapa bangsa Melayu Islam dibuli oleh penjajah pada zamannya yang membawa masuk pendatang asing dan menyusun masyarakat dengan sengaja meminggirkan bangsa Melayu dan Bumiputera berada di luar bandar.
Mereka dinafikan segala kemudahan walaupun Melayu yang berpegang dengan Islam melayani warga asing atas sifat kemanusiaan.
Islam telah berjaya memperkasakan bangsa Melayu bersama konsep yang adil kepada semua, menyebabkan keseluruhan bangsa Melayu memeluk Islam dan meninggalkan agama syirik yang dianuti sebelumnya sejak berabad-abad lamanya.
Adakah kerana bodohnya bangsa Melayu ini memeluk Islam atau tidak berakalnya mereka, tidak mampu berfikir sehingga memilih Islam menjadi agamanya?
Agama Islam yang diterima oleh bangsa Melayu ialah Islam yang sempurna, sehingga raja dan rakyatnya memeluk Islam bersama dan menegakkan negara yang berdaulat.
Adanya catatan sejarah, ditemui duit syiling bertulisan Arab ‘al-Julus Kelantan’ (الجلوس كلنتن) yang dijumpai di Kelantan, menandakan adanya kegiatan ekonomi dan kewangan sehingga Kelantan memiliki mata wangnya sendiri.
Demikian juga, Batu Bersurat Terengganu yang merakamkan undang-undang muamalat sehinggalah undang-undang jenayah, menandakan adanya kegiatan ekonomi, politik, dan pentadbiran serta pendidikan dan pelajaran.
Di samping itu, masih ada undang-undang bertulis Kerajaan Islam Melaka (Hukum Kanun Melaka), Undang-Undang Pahang (Hukum Kanun Pahang), dan lain-lain.
Adanya sultan yang bertaraf ulama’ berwibawa di Perak, Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, dan lain-lain negeri.
Mereka semua bukannya bodoh seperti yang digambarkan oleh penulisan Abdullah Munshi yang menjadi alat penjajah itu dan mereka yang sama mazhabnya.
Banyak penulisan dalam bahasa Melayu yang bertulisan Jawi (huruf Arab dan Farsi) dalam bidang ilmu agama dan segala cabangnya, termasuk ilmu perubatan, falak, pelayaran, dan lain-lain.
Sehinggakan, munculnya nakhoda-nakhoda Melayu yang melayarkan kapal layarnya ke seluruh Nusantara, negara Arab, dan wilayah Islam melalui ilmu bintang pada zaman tidak ada kompas dan sistem kedudukan global (GPS), selain mampu membina kapal-kapal yang besar pada zaman masing-masing.
Adapun perkataan ‘Melaka’ sebenarnya daripada perkataan ‘mulaqa’ (tempat pertemuan) para pedagang, nama yang sama dengan bandar Malaga di Sepanyol, bukan asalnya pokok Melaka yang disebut dalam buku sekolah pada zaman penjajah dahulu.
Masih ada pengusaha kapal layar di Kampung Duyung, Terengganu sehingga sekarang menjadi kunjungan warga asing menempah kapal layar yang cantik.
Begitu juga barang pakaian dan perhiasan dari Kelantan, alat-alat pertanian di Kedah, dan lain-lain.
Penulis upahan penjajah itu sengaja mengorek cerita negatif yang tidak boleh dihapuskan adanya di mana-mana tempat dalam jumlah yang kecil, tetapi ia dibesar-besarkan.
Hal ini demikian kerana, di semua penjuru dunia pasti adanya syaitan, termasuk juga di Makkah yang mempunyai Abu Jahal dan Abu Lahab serta di Mesir yang mempunyai Firaun.
Mengapa cerita yang baik dan banyak bersama Islam ditutup?
Bahkan, Islam juga diputar belitnya bagi mengelirukan masyarakat.
Sehinggakan, ada yang sesat fikirannya apabila menafikan hak ketuanan bangsa Melayu kepada tanah air ini.
Sedangkan bangsa Cina dan India memiliki tanah air masing-masing, seolah-olah Melayu ini tidak ada tanah airnya sendiri.
Mereka menafikan bahawa Melayu juga bertamadun, sedangkan Melayu bukanlah jakun di rimba yang tidak pernah bertamadun.
Bahkan, ada hikayat secara melampau dan sesat yang ditulisnya bahawa raja-raja berasal daripada pokok buluh betong, bukan daripada anak keturunan Nabi Adam AS.
Perkara-perkara negatif yang dialami terkini ialah kesan zaman penjajahan yang membuli umat Islam di seluruh pelosok dunia.
Maka, bangsa Melayu juga dibuli kerana Islamnya.
Para raja dan rakyat sama-sama dibuli supaya tidak bangkit khususnya bersama Islam.
Namun, penjajah itu gagal menghapuskan cahaya Islam dalam diri bangsa Melayu.
Walaupun dalam keadaan lemah, mereka tetap tidak menyerah kalah.
Terpentingnya ialah Melayu gagal dimurtadkan, termasuk Melayu di Melaka yang paling ramai penjajahnya sehingga silih berganti.
Raja-raja dikepung dengan sistem sekularisme apabila mereka sekadar menjadi ketua agama yang tidak berkuasa.
Manakala pentadbiran pula dikongkong oleh pegawai-pegawai penjajah.
Masyarakat disusun dengan meletakkan Melayu di kawasan luar bandar yang terus menjadi petani dan nelayan, sedangkan kegiatan ekonomi, perdagangan, perniagaan, dan pendidikan yang tersusun berada di kawasan bandar.
Maka, Melayu terpaksa bergerak sendiri tanpa kemudahan.
Penjajah merancang sistem pelajaran dan pendidikan yang membodohkan dan merosakkan jati diri.
Mereka menonjolkan sejarah pada zaman sebelum kedatangan Islam, sebaliknya peranan Islam ditutupkan.
Mereka menerapkan pelajaran yang melemahkan bahasa Melayu dengan penghapusan penggunaan huruf Jawi yang lengkap kepada huruf Rumi yang tidak lengkap dan merosakkan makna asalnya; satu usaha supaya masyarakat buta al-Quran.
Bahkan, penjajah juga membekalkan buku cerita dongeng yang menjadi hiburan dan cerita yang membodohkan para raja dan rakyat, seperti rekaan cerita khalifah yang ditipu oleh Abu Nawas yang tidak ada dalam cerita Arab, cerita Pak Pandir, dan sebagainya.
Adapun sekolah bahasa Cina dan Tamil terus dihidupkan.
Banyak buku yang tinggi sifat keilmuannya dicuri dan masih ada yang tersimpan di negara Barat sehingga hari ini.
Perkara ini menandakan adanya kemajuan ilmu yang telah dicapai oleh umat Islam termasuk daripada bangsa Melayu di Nusantara.
Bandar yang menjadi pusat perdagangan dan pelabuhan yang menjadi nadinya diadakan di pantai barat.
Maka, pantai timur dan kaum Bumiputera di Malaysia Timur terus dipinggirkan.
Jangan lupa akan sejarah bahawa bangsa Melayu tidak pernah menyerah kalah kepada penjajah.
Mereka melawan sejak tahun 1511 semasa kedatangan Portugis sehingga kemerdekaan pada tahun 1957.
Adapun kaum lain yang juga ditindas terlibat di penghujung jalan sahaja.
Peranan para ulama’, raja, dan rakyat yang terlibat dalam perjuangan kemerdekaan jangan dinafikan sekali-kali.
Ada dalam kalangan mereka itu yang gugur syahid, ada yang dibuang ke negeri yang jauh, ada yang dipenjarakan, dan dikenakan banyak lagi hukuman lain yang zalim.
Malah, ada daripada kalangan mereka tokoh-tokoh besar, bukannya orang bodoh dan jahil.
Kita telah menerima kemerdekaan yang penuh dengan perancangan bagi merosakkan umat supaya Melayu Islam terus lemah tidak bermaya.
Namun, perjuangan kemerdekaan yang sempurna hendaklah diteruskan.
Walaupun kini kita dikatakan telah mencapai kemerdekaan, kesan penjajahan masih terpahat termasuk dalam benak beberapa orang penulis yang bergelar ilmuwan dan jalanan.
Kesedaran beragama sangat penting bagi umat Islam.
Hal ini diakui oleh para pemimpin penjajah dan orientalis yang tersohor bahawa kesedaran beragama yang hidup di pondok-pondok, sekolah-sekolah agama, dan masjid-masjid menjadi ancaman besar kepada mereka.
Inilah kawasan yang menjadi pangkalan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, dan utara Perak yang dikatakan kawasan Melayu bodoh oleh beberapa pihak.
Negeri-negeri inilah yang tidak boleh dirasuahi rakyatnya dengan mudah, termasuk ramai pegawai kerajaan, tentera, dan polis yang besar daripadanya.
Kepada mereka yang membodohkan Melayu, saya bacakan firman Allah SWT:
﴿وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤۡمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُۗ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَٰكِن لَّا يَعۡلَمُونَ١٣ وَإِذَا لَقُواْ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ إِلَىٰ شَيَٰطِينِهِمۡ قَالُوٓاْ إِنَّا مَعَكُمۡ إِنَّمَا نَحۡنُ مُسۡتَهۡزِءُونَ١٤ ٱللَّهُ يَسۡتَهۡزِئُ بِهِمۡ وَيَمُدُّهُمۡ فِي طُغۡيَٰنِهِمۡ يَعۡمَهُونَ١٥ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلضَّلَٰلَةَ بِٱلۡهُدَىٰ فَمَا رَبِحَت تِّجَٰرَتُهُمۡ وَمَا كَانُواْ مُهۡتَدِينَ١٦﴾
“Apabila dikatakan kepada mereka, ‘Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman.’ Mereka menjawab, ‘Adakah kami akan beriman sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman?’ Ingatlah, sesungguhnya, merekalah orang-orang yang bodoh; tetapi mereka tidak tahu. (13)
“Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan, ‘Kami telah beriman.’ Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan, ‘Sesungguhnya, kami berpendirian seperti kamu, kami hanyalah berolok-olok.’ (14)
“Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terumbang-ambing dalam kesesatan mereka. (15)
“Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk, maka tidaklah beruntung perniagaan mereka dan tidaklah mereka mendapat petunjuk. (16)”
[Surah al-Baqarah: 13–16]
Kumpulan yang membodohkan Islam telah wujud pada masa al-Quran mula diwahyukan.
Maka, pada zaman kini, lebih ramai lagi baka keturunannya yang berkeliaran menjadi bala tentera syaitan atau pencari upahannya.
Kepada mereka yang mempertahankan Islam pula, bacalah firman Allah SWT:
﴿وَعِبَادُ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنٗا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَٰمٗا٦٣ وَٱلَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمۡ سُجَّدٗا وَقِيَٰمٗا٦٤﴾
“Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati, dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan. (63)
“Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri ikhlas kerana Tuhan mereka. (64)”
[Surah al-Furqan: 63–64]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS