Watak Pak Lawak, sudah biasa kita dengar iaitu merujuk kepada seorang lelaki yang sering membuat lawak atau kelakar bagi menghiburkan orang ramai.
Tidak mudah bagi seseorang untuk memaksa orang ketawa kecuali dia sememangnya mempunyai bakat yang sangat baik dalam membuat lucu secara spontan.
Manakala Mak Lawak, secara mudahnya merujuk kepada seorang wanita yang berbakat atau berusaha bersungguh-sungguh untuk membuat lawak.
Bagi kes Azalina, saya tidak berani memberikan gelaran Pak kepada beliau, takut nanti disamannya.
Jadi gelaran Mak dilihat tepat, walaupun beliau belum mempunyai anak.
Dan juga kerana umurnya sudah umur emak-emak.
Gesa Azalina kepada MB Terengganu, letak jawatan dan bertanding dengan cara yang adil, satu lawan satu.
Bertanding atas nama MB dikira sebagai tidak amanah dan ikhlas kepada rakyat katanya.
Tambah beliau lagi, ini menunjukkan yang PAS tiada orang lain yang mahu ditawarkan kepada rakyat.
Menurutnya lagi, jika benar-benar PAS merasa kuat, bertandinglah menurut cadangan beliau itu, seru Azalina sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan, selepas beliau membuat perjumpaan dengan jentera Penerangan dan Wanita Umno di Kemaman.
Begitulah lucunya drama yang cuba Azalina lakukan bagi menarik perhatian rakyat, dikala rakyat tidak lagi membincangkan siapa yang menang, tetapi berapa penambahan majoriti yang PAS akan berikan dalam PRK Kemaman ini.
Ia menjadi semakin kuat kepercayaan itu setelah MB Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diisytiharkan menjadi calon dengan tema membawa perubahan di peringkat Pusat.
Sehingga ada yang tertanya-tanya, adakah ini bermakna beliau akan menjadi PM tidak lama lagi?
Tetapi malangnya Azalina masih terkial-kial dengan kempen yang lucu ini.
Tukar MB Selangor, jutaan wang rakyat habis
Suka saya mengimbau satu kejadian di Selangor tahun 1997.
Ia berkenaan dengan pertukaran MB di negeri itu.
Setelah MB Selangor, Tan Sri Muhammad Taib atau gelarannya Mike Tyson ditangkap di Australia kerana gagal mengisytiharkan wang tunai jutaan dolar yang beliau bawa waktu itu.
Lalu isu itu membawa kepada beliau dihadapkan di mahkamah Australia.
Mat Sabu ketika itu cukup galak bermain dengan isu itu dalam ceramah-ceramah beliau.
Tetapi akhirnya Mike Tyson dibebaskan oleh mahkamah kerana beberapa isu teknikal.
Kemudiannya bagi mengisi kekosongan jawatan MB itu, Umno Selangor telah membuat keputusan untuk memanggil pulang Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Abu Hassan Omar yang menduduki kerusi Parlimen Kuala Selangor.
Bagi tujuan itu, kerusi Dun Permatang dan dipegang oleh Jamaluddin Adnan, sengaja dikosongkan bagi memberi laluan kepada Abu Hassan bertanding dan dilantik menjadi MB.
Kerusi Kuala Selangor juga terpaksa diadakan PRK kerana Abu Hassan melepaskannya atas arahan BN.
Sekali lagi jutaan ringgit duit rakyat hangus.
Hal in juga bermaksud Umno Selangor ketandusan calon MB.
Bermakna, sebelum Anwar yang suka mengosongkan kerusi kerana dikatakan mahu memenuhi nafsu politiknya, Umno terlebih dahulu telah melakukan ajaran sesat ini.
Oleh kerana Azalina sudah berada dalam Umno, maka satu soalan, tiada orang lainkah di Dun Selangor ketika itu untuk dilantik menggantikan Tan Sri Muhammad, sehingga terpaksa membelanjakan jutaan wang rakyat bagi membuat satu PRK yang tidak berguna itu?
Siapa yang tidak amanah dan ikhlas?
Tidak lupa juga disebutkan Dato’ Seri Mustafa Mohamad, Kelantan dan Datuk Budiman Zohdi di Selangor yang pernah mewakili Parlimen dan Dun serentak.
Negeri Sembilan, Selangor dan juga Pulau Pinang yang dikuasai oleh kekasih hati BN sekarang juga mempunyai MB yang juga seorang Ahli Parlimen.
Kenapa tidak mereka dahulu di negeri-negeri itu, MBnya meletakkan jawatan masing-masing?
Mohon Azalina tidak payahlah menyindir Dr Sam atas isu ini.
Azalina boleh memerli PM dari Umno semasa mahu menurunkan Ismail Sabri dahulu, itu budaya Umno yang kurang ajar.
Perlian Azalina berkenaan lantikan Peguam Negara, begitu memalukan Ismail Sabri, tetapi ada ahli Umno kisah?
Namun jangan ingat orang PAS akan berdiam diri jika pimpinan PAS diperlekehkan Azalina.
Ahli PAS bukan sebacul ahli Umno, diam bila bos mereka dihina.
Mohd Nasir Abdullah