Mengapa Iran Masih Belum Bertindak Balas Terhadap Israel?

Mengapa Iran Masih Belum Bertindak Balas Terhadap Israel?

“Orang Parsi boleh membunuh musuhnya dengan kapas.”

Ungkapan ini adalah pepatah masyhur yang dikaitkan dengan sejarah orang Parsi dalam menghadapi musuh mereka sejak zaman berzaman.

Ketelitian, kesabaran dan tidak tergesa-gesa dalam satu-satu tindakan menjadi “trade mark” kepada mereka.

Ungkapan ini juga disebut oleh pemimpin utama Hizbullah, Syed Hassan Nasrullah dalam ucapan terbaharunya baru-baru ini.

Selepas serangan bacul yang membunuh As-syahid Ismail Haniyeh di Tehran, Iran pada akhir Julai lalu, Iran tanpa berlengah masa dengan segera menuding jari terhadap regim Zionis Israel kerana merekalah yang paling mendapat faedah daripada pembunuhan ini walaupun tiada pengakuan secara jelas dari regim pengganas tersebut sehingga ke hari ini.

Tindakan provokasi regim Zionis Israel ini bertujuan mengheret Amerika Syarikat dan kuasa Barat yang menjadi pelindungnya terlibat secara langsung dalam konflik ini bagi menyelamatkan mereka daripada kancah kehancuran selepas operasi Taufan al-Aqsa 7 oktober yang lalu.

Pembunuhan As-syahid Ismail Haniyeh di saat majlis angkat sumpah presiden baharu Iran adalah strategi “serampang dua mata”.

Pertama, untuk menjatuhkan kredibiliti Iran di kacamata dunia dan yang kedua, mengumpan Iran agar turut sama sekali dalam peperangan yang sedang berlangsung di Semenanjung Gaza sekaligus bakal merealisasikan impian Barat selama ini untuk menghapuskan Iran.

Itulah sebabnya begitu besar aset ketenteraan Barat dikerahkan ke Timur Tengah, bukan sahaja untuk melindungi negara haram Israel tetapi niat utamanya adalah untuk menghancurkan Iran sekaligus melancarkan “regime change” di Iran.

Dengan ranapnya Iran, sekaligus ia meranapkan proksi-proksinya dari kalangan kumpulan pejuang Palestin.

Dengan itu selamatlah negara haram Israel, lancarlah perjalanan peluasan jajahan “The Greater Israel” apatah lagi Donald Trump dijangka bakal memenangi pilihanraya Presiden Amerika Syarikat tidak lama lagi kerana beliau adalah arkitek “Abraham Accord”, iaitu normalisasi hubungan dengan negara haram Israel dan dalam kempennya baru-baru ini, beliau menyatakan komitmennya untuk mempertahan dan menperkuatkan negara haram Israel di Timur Tengah.

Kini, rata-rata masyarakat dunia khususnya pendokong perjuangan rakyat Palestin menunggu apakah tindakan yang bakal dilakukan Iran terhadap regim Zionis Israel.

Pemimpin agung Iran, Ayatullah Ali Khamanei telah mengeluarkan arahan untuk bertindak balas kerana ia diizinkan oleh undang-undang antarabangsa walaupun menerima tekanan daripada pelbagai pihak khususnya negara-negara Barat.

Tidak hanya menerima tekanan, Iran turut diancam dengan pelbagai sekatan dan ugutan malah regim Zionis Israel turut menyatakan akan melakukan serangan awal dalam usaha untuk mengelak dari dimusnahkan Iran.

Pada tanggal 12 Ogos yang lalu, Canselor Jerman Olaf Scholz, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Britain Keir Starmer mengeluarkan kenyataan bersama menggesa Iran supaya tidak bertindak balas ke atas regim Zionis Israel.

Peliknya, tidak ada satu ayat yang mengecam regim Zionis Israel, walhal negara haram inilah yang menjadi penyebab utama kepada permasalahan yang sedang berlaku di Timur Tengah sejak puluhan tahun lalu.

Amerika Syarikat yang menjadi pendokong utama regim Zionis Israel telah mengerahkan sepertiga dari aset tentera lautnya ke Timur Tengah yang terdiri dari armada kapal perang, kapal pengangkut pesawat dan pesawat pejuang bagi melindungi negara haram Israel, gerakan tentera laut yang terbesar Amerika Syarikat sejak perang dunia kedua.

Begitu juga Britain dan Perancis yang turut mengerah armada tentera laut mereka di samping menempatkan puluhan pesawat pejuang canggih di Cyprus dan negara-negara Teluk bagi menghalang Iran daripada menyerang negara haram Israel.

Ketumbukan besar pergerakan tentera Barat ke Timur Tengah ini jelas menggambarkan betapa gerunnya Barat akan tindakbalas Iran ke atas negara haram Israel.

Namun begitu, apakah bentuk tindakbalas yang bakal dilakukan Iran terhadap negara haram Israel?

Pertama: Peningkatan serangan oleh proksi-proksi utamanya iaitu Hizbullah, Ansarullah dan kumpulan pejuang Iraq sebagaimana yang dilakukan ketika ini.

Serangan bertali arus Hizbullah di Selatan Lubnan telah menyebabkan hampir keseluruhan penempatan Yahudi di sempadan antara negara haram Israel dan Selatan Lubnan lengang.

Kedua: Menyasarkan individu dan sasaran tertentu dalam negara haram Israel.

Regim Zionis Israel menjangkakan serangan seperti ini bakal menyasarkan fasiliti penjanaan kuasa eletriknya yang dijangka mampu menghuruharakan negara haram Israel.

Serangan seperti ini juga dijangka bakal menyasarkan beberapa pengkalan tentera udaranya yang menempatkan ratusan aset yang menjadi nadi utama tentera regim Zionis Israel.

Jika lumpuh aset tentera udaranya, tentera regim Zionis Israel umpama badan tidak bernyawa.

Pemimpin-pemimpin regim Zionis Israel termasuk Benjamin Netanyahu juga dijangka menjadi sasaran apatah lagi baru-baru ini Hizbullah telah menyiarkan video dari dron peninjaunya yang telah menyelinap secara rahsia ke dalam negara haram Israel lalu memaparkan kediaman peribadi Benjamin Netanyahu di Caesarea, utara Tel Aviv.

Ia telah mencetuskan kegemparan dan ketakutan di negara haram Israel.

Ketiga: Serangan besar besaran. Senario ini tidak mustahil boleh berlaku namun ia akan memberi kesan yang besar ke atas Iran.

Pada jangkaan ramai penganalisa ketenteraan dunia, jika Iran melancarkan serangan ke atas negara haram Israel dalam skala yang besar, serangan tersebut bakal disertai sama proksinya yang lain.

Serangan ini mampu mengelirukan dan melumpuhkan sistem pertahanan udara regim Zionis Israel yang terdiri daripada ketumbukan sistem pertahanan udara Iron Dome, Arrow dan Patriot yang dibekalkan Amerika Syarikat.

Ini telah dibuktikan keberkesanannya apabila Iran menyerang negara haram Israel beberapa bulan lalu sebagai tindabalas terhadap serangan regim Zionis Israel ke atas kedutaan Iran di Damsyik, Syria.

Ratusan dron Iran berjaya mengelirukan sistem pertahanan udara Israel yang menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan peluru berpandu Iran berjaya mengenai sasarannya di dua fasiliti ketenteraan regim Zionis Israel.

Keberkesanan serangan seperti ini mampu disusuli oleh serangan seterusnya yang bakal melenyapkan negara haram Israel daripada peta dunia.

Namun akibat yang sangat berat bakal dipikul oleh Iran.

Sudah tentu ketumbukan armada tentera Barat yang telah tiba di Timur Tengah bagi melindungi negara haram Israel tidak akan berdiam diri.

Iran dijangka akan menerima serangan bertali arus khususnya serangan udara daripada tentera Barat.

Dengan limitasi pesawat pejuang Iran, ia hanya mampu bergantung kepada kekuatan sistem pertahanan udaranya yang canggih dan tidak mampu menangkis serangan pesawat pejuang Barat dalam skala yang besar.

Rentetan daripada itu, Iran sedang melakukan persiapan rapi dengan mengadakan latihan ketenteraan yang membabitkan sistem pertahanan udara dan peluru berpandu.

Iran juga sedang memindahkan aset-aset sistem pertahanan udara dan peluru berpandunya ke kawasan yang dijangka menjadi sasaran serangan.

Itulah sebabnya Iran mengambil masa untuk bertindakbalas, bukan kerana takut atau tunduk kepada desakan tetapi untuk memantapkan persediaan dan menilai segala senario yang bakal berlaku ke atasnya.

Perundingan gencatan senjata antara Hamas dan regim Zionis Israel turut memainkan peranan atas kelewatan ini walaupun Iran menegaskan ia adalah dua isu berbeza.

Jika sekiranya rundingan tersebut gagal mencapai kata sepakat akibat sikap dangkal regim Zionis Israel, ribut dijangka bakal tiba tidak lama lagi.

Sama-sama kita doakan yang terbaik untuk keamanan yang berterusan khususnya di Palestin dan Timur Tengah.

Doakan agar kota Al-Quds dan bumi Palestin bakal dibebaskan tidak lama lagi.

Semoga regim Zionis Israel dan sekutunya menyembah bumi dan kalah tidak lama lagi seterusnya memadamkan peta negara haram Israel dari muka bumi selama-lamanya Insya-Allah.

Bebaskan Al-Quds, Merdekakan Palestin.

Adil, Prihatin dan Berkebajikan.

YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat.

Dunia Islam