Lihat Kepada Manfaat, Bukan Politik Kepartian

Lihat Kepada Manfaat, Bukan Politik Kepartian

Seorang tokoh korporat, Dato’ Talahah tampil menjelaskan pendiriannya berhubung sokongan terhadap cadangan yang dibawa oleh Dr. Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu yang baru-baru ini mengemukakan idea pembaharuan berkaitan kuasa Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Dato’ Talahah, cadangan itu seharusnya dinilai berdasarkan manfaat kepada negara dan rakyat, bukannya diadili semata-mata berdasarkan latar belakang parti politik pembawanya.

Beliau menegaskan bahawa tujuan utama sokongannya adalah kerana melihat cadangan tersebut berpotensi besar memberi kebaikan jangka panjang, tanpa niat untuk menyerang mana-mana pihak.

“Saya hanya mengangkat satu perkara yang saya nampak sangat baik untuk negara.

Di saat pemimpin DAP dan UMNO rancak bergaduh, manakala PKR pula sibuk berbalas ugutan dalaman parti, Dr. Sam hadir membawa solusi yang berguna untuk masa depan negara.

Kalau pemimpin lain pun membawa idea yang sama, saya juga akan menyokong 100%,” ujarnya.

Namun, sokongan beliau terhadap cadangan itu telah mengundang reaksi negatif daripada segelintir pihak, yang menurutnya lebih bersifat politik daripada berasaskan fakta.

Antara sindiran yang diterima termasuklah saranan supaya Terengganu melaksanakan cadangan tersebut terlebih dahulu, sambil merendahkan pencapaian negeri dengan menyatakan kononnya kerajaan negeri hanya sibuk dengan isu nikah kahwin.

Dato’ Talahah menolak dakwaan itu dengan tegas, sambil menjelaskan bahawa cadangan Dr. Sam berkaitan secara langsung dengan kuasa Perlembagaan Persekutuan, yang terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, bukan negeri.

Katanya, sesuatu perubahan besar seperti ini hanya boleh dilaksanakan di peringkat Persekutuan sebelum negeri-negeri boleh mengadaptasinya.

Beliau turut menegaskan bahawa Terengganu tidak hanya menumpukan isu-isu sosial seperti yang diperkatakan, sebaliknya telah menunjukkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan.

Antara contoh jelas, katanya, adalah pelancaran T-NEXT, gabungan pelan ekonomi dan pendapatan baharu negeri yang diumumkan beberapa minggu lalu, suatu inisiatif yang belum pernah diwujudkan sebelum ini.

Hasilnya, pada tahun 2024, Terengganu berjaya merekodkan pendapatan baharu bukan cukai berjumlah RM77 juta.

Setakat pertengahan tahun 2025, jumlah tersebut telah mencecah RM62 juta, dan diyakini mampu menembusi sasaran RM100 juta menjelang hujung tahun.

“Ini pendapatan baharu bukan cukai sahaja, bukan keseluruhan pendapatan negeri.

Fakta-fakta seperti ini seharusnya dikongsi kepada rakyat, tanpa mengira fahaman politik.

Jangan hanya kerana cadangan datang dari pemimpin parti lain, kita menutup mata terhadap kebenaran,” tambah beliau.

Dato’ Talahah mengakhiri kenyataannya dengan menyeru agar masyarakat lebih rasional dan terbuka dalam menilai sesuatu cadangan, berpandukan kepada manfaatnya kepada negara, bukan sekadar warna bendera politik yang membawanya.

Ekonomi