Kerajaan Negeri Terengganu mengambil pendirian yang jelas dan strategik dalam pengurusan Unsur Nadir Bumi (Rare Earth Elements – REE), dengan menolak pendekatan tergesa-gesa mengeksploitasi hasil bumi semata-mata untuk keuntungan jangka pendek.
Menurut YB Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, negeri ini sememangnya dianugerahkan Allah SWT dengan deposit REE yang besar dan signifikan, antara yang tertinggi di Malaysia.
Namun kelebihan tersebut tidak dilihat sebagai lesen untuk menjual kekayaan alam secara mentah tanpa perancangan menyeluruh dan berpandangan jauh.
Sebaliknya, kata beliau, kerajaan negeri memilih pendekatan berhati-hati, berfasa dan berasaskan ilmu, selari dengan prinsip tadbir urus sumber yang bertanggungjawab.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini turut menegaskan prinsip tersebut dengan kenyataan yang jelas dan berprinsip:
“Kalaulah kita tidak dapat proses peringkat pertengahan (midstream), biarkan REE itu kekal dalam perut bumi Terengganu.”
Kenyataan ini mencerminkan falsafah pengurusan sumber yang matang, bahawa kekayaan bumi bukan sekadar untuk dijual, tetapi mesti diurus dengan hikmah agar manfaatnya kembali kepada rakyat secara berpanjangan.
Nilai Sebenar REE Bukan Pada Bahan Mentah
Mohd Nurkhuzaini menjelaskan bahawa satu hakikat penting yang sering terlepas pandang ialah nilai sebenar REE tidak terletak pada fasa bahan mentah (upstream), sebaliknya pada rantaian proses seterusnya.
Secara anggaran industri global, hasil jualan bahan mentah REE hanyalah kurang daripada satu peratus daripada keseluruhan nilai rantaian industri REE.
Sebahagian besar nilai ekonomi sebenar terhasil pada peringkat midstream (pemprosesan, penulenan dan pengasingan unsur) serta downstream (pembuatan komponen teknologi tinggi).
Jika Terengganu sekadar mengeksport REE dalam bentuk mentah, negeri bukan sahaja kehilangan peluang pendapatan berlipat kali ganda, malah berisiko terperangkap dalam kitaran ekonomi ekstraktif yang lebih menguntungkan pihak luar berbanding rakyat tempatan.
Persiapan Rapi Sejak Dua Tahun Lalu
Menurut beliau, pendekatan strategik ini bukan bersifat reaktif, sebaliknya telah dirancang secara sistematik sejak lebih dua tahun lalu.
Antara langkah utama yang telah diambil ialah pembentukan struktur tadbir urus REE negeri yang kukuh, termasuk penubuhan Majlis REE Negeri Terengganu dan Jawatankuasa Khas REE Negeri, yang diletakkan di bawah naungan serta nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu.
Struktur ini diwujudkan bagi memastikan keputusan berkaitan REE dibuat secara telus, berintegriti dan berpaksikan kepentingan negeri serta rakyat, tanpa dipengaruhi tekanan jangka pendek atau kepentingan sempit.
TATI Sebagai Living Lab REE Terengganu
Dalam aspek teknikal dan saintifik, kerajaan negeri turut menjadikan TATI University College (TATIUC) sebagai Living Lab REE Terengganu.
Melalui inisiatif ini, Terengganu membangunkan makmal REE sendiri bagi mengesahkan kaedah pengekstrakan terbaik, sama ada melalui In-situ Leaching (ISL) atau kaedah lain, dengan objektif memaksimumkan hasil secara efisien dan lestari.
Langkah ini penting bagi memastikan pembangunan REE di Terengganu selari dengan prinsip kelestarian alam sekitar, pematuhan ESG, serta pemilikan ilmu dan kepakaran tempatan.
Pembahagian Jelas: Upstream, Midstream dan Downstream
Bagi memastikan pengurusan yang lebih strategik, kerajaan negeri membahagikan industri REE kepada tiga segmen utama iaitu upstream, midstream dan downstream, dengan SOP yang jelas bagi setiap peringkat.
Pendekatan ini membolehkan setiap pelabur dan rakan strategik bergerak selari dengan hala tuju negeri, sekali gus memastikan rantaian nilai REE memberi pulangan maksimum kepada Terengganu.
Hasil Bumi Kembali Kepada Rakyat
Mengakhiri penjelasan, Mohd Nurkhuzaini menegaskan bahawa keseluruhan pendekatan ini bertujuan memastikan hasil bumi Terengganu kembali kepada rakyat dalam bentuk kemakmuran ekonomi jangka panjang, bukan sekadar pendapatan sementara.
REE, tegas beliau, adalah aset strategik masa depan yang mesti diurus dengan amanah sebagai khalifah di muka bumi dan sebagai warisan untuk generasi akan datang.
