Hubungan Islam dengan bumi Parsi yang kini dikenali dengan nama Iran terikat sejak zaman awal Islam.
Dahulu rajanya pernah menolak surat yang diutus oleh Rasulullah SAW.
Malah, ada dua orang sahabat Rasulullah SAW yang berasal dari Iran; iaitu Salman al-Farisi RA, sahabat terkenal yang menasihatkan strategi dalam Perang Ahzab, dan Bazan bin Sasan RA yang dilantik menjadi Wali (Gabenor) Yaman pertama oleh Baginda SAW.
Di samping itu, lahir ramai ulama dalam lapangan ilmu agama dan ilmu keduniaan yang mencipta Tamadun Islam juga berasal dari Iran.
Mereka terdiri daripada semua mazhab dalam Islam dan menguasai ilmu dunia dalam segala jurusan.
Islam berkuasa sepenuhnya di Iran sejak zaman Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA sehingga hari ini.
Sebelum ini, Shah Iran yang disokong oleh kuasa besar penjajah berusaha memisahkan Iran daripada dunia Islam dan bersekongkol dengan Zionis Israel, namun akhirnya gagal dan dijatuhkan oleh Revolusi Islam pada tahun 1979 yang kemudiannya mengisytiharkan nama Republik Islam Iran secara terbuka.
Usaha kalangan nasionalis sekular Arab untuk membatalkannya selepas itu dengan Perang Teluk yang dibantu oleh kuasa besar syaitan juga menemui kegagalan.
Bahkan, isu mazhab dan bangsa yang digunakan juga gagal mematikan hubungan persaudaraan Islam laksana satu jasad, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ، تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
“Bandingan orang-orang yang beriman dari segi berkasih sayang, bersimpati, dan bertimbang rasa sesama mereka laksana satu jasad; apabila satu anggotanya sakit, maka seluruhnya akan berjaga malam dan demam.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, no. 6011 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, no. 2586, daripada al-Nu‘man bin Bashir. Lafaz bagi Muslim]
Rakyat Iran bukan sahaja tidak putus-putus menunaikan haji di Makkah, malah mereka turut bertindak tegas terhadap ajaran sesat seperti Baha’i dan lain-lain yang cuba dimasukkan dalam masyarakatnya, sehingga Baha’i terpaksa memindahkan pusat pentadbirannya ke Haifa, Israel.
Ramai dalam kalangan pemimpin Iran terlibat dalam peperangan Palestin menentang Israel sejak awal, termasuk Perang Bosnia, serta setiap krisis yang dihadapi oleh umat Islam, seperti memberikan perlindungan kepada para pemimpin mujahidin Afghanistan pada masa pencerobohan Kesatuan Soviet (Soviet Union) dan Amerika Syarikat.
Pendiriannya juga tegas dan berani mengharamkan negara Zionis Israel selepas Revolusi Islam dan bersama perjuangan Palestin, khususnya kumpulan Islam untuk mengepalai perjuangan.
Sepatutnya keadaan ini memalukan mereka yang paling berjenama Arab dan Islam apabila Iran paling berani menentang Zionis Israel dan semua kuasa besar, sehingga mengorbankan para pemimpin, panglima tentera, dan harta negara mereka.
Bangsa Parsi dinyatakan menjadi benteng pertahanan Islam apabila bangsa Arab mengalami kelemahan yang dinyatakan secara nas oleh Rasulullah SAW ketika mentafsirkan firman Allah SWT:
هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ ٢ وَءَاخَرِينَ مِنۡهُمۡ لَمَّا يَلۡحَقُواْ بِهِمۡۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٣ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ ٤
“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul antara mereka yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka, dan mengajari mereka Kitab dan Hikmah (Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata. (2)
“Dan (juga) kepada kaum yang lain daripada mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (3)
“Demikianlah kurnia Allah, Dia memberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah mempunyai kurnia yang besar. (4)” [Surah al-Jumu‘ah: 2–4]
Abu Hurairah RA bertanya Rasulullah SAW dengan mengulangnya sebanyak tiga kali, “Siapakah kaum yang lain itu, wahai Rasulullah?”
Ketika itu, Salman al-Farisi RA berada di sisi Rasulullah SAW, lalu Baginda pun bersabda sambil memegang jasad Salman:
لَوْ كَانَ الدِّينُ عِنْدَ الثُّرَيَّا لَذَهَبَ بِهِ رَجُلٌ مِنْ فَارِسَ – أَوْ قَالَ: مِنْ أَبْنَاءِ فَارِسَ – حَتَّى يَتَنَاوَلَهُ
“Sekiranya al-din (Islam) berada di bintang Thurayya, nescaya ia dicapai oleh seorang atau beberapa orang daripada kalangan bangsa Parsi.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Qur’an, no. 4897, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab Fada’il al-Sahabah, no. 2546, daripada Abu Hurairah]
Di sini ditunjukkan kelebihan kurniaan Allah kepada bangsa Parsi setelah mereka menganut Islam.
Kita sedang menyaksikan kebenaran Rasulullah SAW ketika umat Islam dalam keadaan yang sangat lemah sehingga Bait al-Maqdis, salah satu tanah suci umat Islam, kiblatnya yang pertama, serta tempat berlakunya Isra’ dan bermulanya Mi‘raj (ketika Rasulullah SAW menjadi tetamu Allah), kini dijajah oleh Yahudi Zionis yang sedang melakukan pencerobohan di tempat yang mulia itu.
Rasulullah SAW menegaskan bahawa akan muncul kumpulan yang tidak menyerah kalah di kawasan itu melalui sabdanya:
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّينِ ظَاهِرِينَ، لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ: بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ، وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ
“Masih ada satu kumpulan daripada kalangan umatku yang berani secara terbuka menegakkan Islam dengan gagah perkasa menghadapi musuh mereka tanpa peduli terhadap kalangan yang mengecewakan, melainkan mereka menghadapi kesusahan, sehingga datangnya keputusan Allah (memberikan kemenangan), mereka tetap dalam keadaan demikian.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, siapakah mereka?” Rasulullah menjawab, “Mereka itu penduduk Bait al-Maqdis dan di kelilingnya.” [Hadis riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, no. 22320, daripada Abu Umamah al-Bahili]
Republik Islam Iran tampil paling hadapan yang tidak mengecewakan kota suci umat Islam itu dan menjadi negara pertama yang menyahut seruan Allah SWT melalui firman-Nya:
وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا ٧٥ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱلطَّـٰغُوتِ فَقَٰتِلُوٓاْ أَوۡلِيَآءَ ٱلشَّيۡطَٰنِۖ إِنَّ كَيۡدَ ٱلشَّيۡطَٰنِ كَانَ ضَعِيفًا ٧٦
“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki-lelaki, wanita-wanita, mahupun anak-anak yang semuanya berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Makkah) yang zalim penduduknya, serta berilah kami pelindung dari sisi Engkau dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!’ (75)
“Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, manakala orang-orang yang kafir berperang di jalan taghut. Oleh sebab itu, perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah. (76)” [Surah al-Nisa’: 75–76]
Penderitaan yang dialami menyentuh perasaan kemanusiaan di seluruh dunia.
Namun, ada kalangan negara-negara Islam dan Arab yang sangat mengecewakan sehingga tidak menggerakkan hati mereka, sekurang-kurangnya bersimpati terhadap saudara seagama yang dibelasah dengan kejam tanpa rasa kemanusiaan oleh Yahudi Zionis yang meledakkan permusuhan mereka terhadap umat Islam.
Hal ini membenarkan firman Allah SWT:
۞لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقۡرَبَهُم مَّوَدَّةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ قَالُوٓاْ إِنَّا نَصَٰرَىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنۡهُمۡ قِسِّيسِينَ وَرُهۡبَانٗا وَأَنَّهُمۡ لَا يَسۡتَكۡبِرُونَ ٨٢
“Sesungguhnya, kamu mendapati orang-orang yang paling keras permusuhan mereka terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik. Dan sesungguhnya, kamu mendapati yang paling dekat persahabatan mereka dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata, ‘Sesungguhnya kami ini orang Nasrani.’ Yang demikian itu disebabkan antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri.” [Surah al-Ma’idah: 82]
Dalam kalangan penganut Kristian ada golongan yang bersimpati di seluruh dunia.
Malangnya, dalam kalangan yang mengaku Islam pula ada yang mengecewakan seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW tersebut.
Di manakah mereka meletakkan sabda Rasulullah SAW:
الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ، لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ، وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللهُ فِي حَاجَتِهِ، وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Seseorang Islam itu saudara kepada seseorang Islam yang lain; dia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya kepada musuh. Sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, nescaya Allah menunaikan hajatnya. Sesiapa yang melepaskan kesusahan saudaranya di dunia, nescaya Allah melepaskan kesusahannya pada Hari Akhirat. Dan sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, nescaya Allah menutup keaibannya pada Hari Akhirat.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Mazalim, no. 2442 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, no. 2580, daripada ‘Abdullah bin ‘Umar]
Demikianlah kewajipan persaudaraan dalam Islam.
Kezaliman yang dilakukan oleh Yahudi Zionis terhadap saudara Muslim di Palestin adalah di luar batas kemanusiaan.
Di manakah letaknya perasaan keimanan dan kemanusiaan mereka yang mengecewakan rakyat Palestin?
Kita sedang menghadapi zaman umat Islam yang ramai, tetapi menjadi mangsa musuh mereka kerana kelemahan yang disifatkan oleh Rasulullah SAW:
يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا، فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزِعَنَّ اللهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ، فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَمَا الْوَهْنَ؟ قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ.
“Umat Islam ditimpa bencana, dikepung oleh musuh mereka di segenap penjuru, laksana mereka yang mengelilingi hidangan yang lazat dengan rakus memakannya.” Salah seorang sahabat bertanya, “Adakah bilangan kita pada masa itu sedikit?” Rasulullah SAW menjawab, “Bahkan, jumlah kamu ramai, tetapi laksana sampah sarap dan buih yang dihanyutkan oleh air banjir. Allah menghilangkan rasa gerun musuh terhadap kehebatan kamu dan Allah mencampakkan dalam hati kamu perasaan hina (al-wahn).” Salah seorang sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah sebab berlakunya perasaan hina itu?” Sabda Rasulullah SAW, “Terlalu kasih akan keduniaan dan takut akan kematian.” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Malahim, no. 4297 dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, no. 22397, daripada Thauban bin Bujdud]
Kita menyaksikan negara yang paling kaya hasilnya adalah paling pengecut dan tunduk kepada musuh, sehingga diperhambakan dan melakukan normalisasi terhadap negara haram Israel.
Para ulama’ semua mazhab Ahli Kiblat (Sunni, Syiah, Ibadi, dan lain-lain) bersepakat mencatatkan wajib bagi setiap umat Islam berjihad dan menjadi fardu ain apabila musuh menceroboh mana-mana negara umat Islam.
Sekarang Palestin sudah dirompak begitu lama dan Iran yang bersamanya akan menjadi mangsa semua kuasa besar yang bergabung dalam pasukan Ahzab untuk menyerang Iran.
Maka, umat Islam diuji sebagaimana pada zaman Rasulullah SAW yang disebut dalam firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا ٩ إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠ ١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا ١٢
“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan ni‘mat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya. Dan Allah adalah Maha Melihat akan apa-apa yang kamu kerjakan. (9)
“(Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatanmu dan hatimu naik menyesak sampai di tenggorokan, serta kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam purbasangka. (10)
“Di situlah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hati mereka) dengan goncangan yang sangat. (11)
“Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hati mereka berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.’ (12)” [Surah al-Ahzab: 9–12]
Al-Quran ialah petunjuk Allah yang kekal hingga Hari Kiamat.
Di sinilah kewajipan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang sebenar, bukan sekadar bercakap di forum sesama sendiri mahupun pada peringkat antarabangsa.
Negara Islam wajib bersedia dan bergabung bersama menyahut seruan Allah SWT:
وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa-apa saja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu serta orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahui mereka; sedangkan Allah mengetahui mereka. Apa-apa saja yang kamu nafkahkan di jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]
Wajib melakukan persiapan mengikut keadaan semasa dan sesuai dengan peredaran zamannya.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
