Perundingan fasa kedua antara Republik Islam Iran dan Amerika Syarikat baru sahaja berakhir di Geneve, Switzerland.
Sebelum perundingan bermula; Amerika Syarikat meletakkan tiga syarat utama ke atas Republik Islam Iran; menamatkan program nuklear, menghentikan teknologi roket dan memutuskan rangkaian proksi khususnya kumpulan yang mendokong perjuangan pembebasan Palestin.
Manakala Republik Islam Iran pula menegaskan bahawa mereka hanya akan berunding untuk mengurangkan proses pengkayaan urinium sahaja, adapun dua topik lagi tidak akan dibincang sama sekali.
Walaupun proses perundingan sedang berjalan, ia seolah-olah meletakkan ‘pisau di leher’.
Kesemua syarat-syarat yang diletakkan oleh Amerika Syarikat di atas adalah tali hayat Republik Islam Iran.
Justeru, agak mustahil Republik Islam Iran akan menerimanya.
Buat masa ini, pintu rundingan dijangka akan menemui jalan buntu.
Kedua-dua negara bersiap siaga dari sudut ketenteraan bagi menghadapi senario peperangan.
Ketika ini, Amerika Syarikat mengerahkan ketumbukan tentera yang terdiri daripada pelbagai jenis armada tentera laut dan berpuluh-puluh jet pejuang canggih seperti F-22, F-35, B-2, dan lain-lain lagi aset ketenteraan terkini.
Negara haram Israel juga meletakkan tenteranya dalam keadaan bersiap siaga dan akan menyertai serangan ke atas Republik Islam Iran jika Trump memutuskan untuk menyerangnya.
Republik Islam Iran belajar daripada pengalaman lepas apabila dikhianati oleh Amerika Syarikat ketika perundingan sedang berjalan.
Kali ini Republik Islam Iran berada dalam keadaan bersiap siaga ke tahap paling maksimum sama ada dari sudut politik, ekonomi, apatah lagi ketenteraan.
Dari sudut politik dalaman, Republik Islam Iran membentuk kabinet perang dengan meletakkan beberapa individu penting pada posisi strategis.
Ali Syamakhani dilantik sebagai penasihat pertahanan kepada Ayatollah Ali Khameni; beliau adalah tokoh penting di belakang tabir kejayaan Republik Islam Iran membina sistem pertahanan ke tahap sekarang ini.
Mengikut beberapa penganalisa politik; posisi terkini beliau adalah satu langkah bagi mengisi kekosongan sekiranya pemimpin utama Republik Islam Iran terbunuh.
Manakala Ali Larijini pula dilantik sebagai Setiausaha Majlis Keselamatan Tertinggi Republik Islam Iran yang berperanan sebagai penyelaras antara Tentera Republik Islam Iran dan Tentera Pengawal Revolusi Republik Islam Iran (IRGC).
Kedua-dua individu di atas menjadi sasaran utama serangan rejim penjajah Zionis Israel dalam serangannya ke atas Republik Islam Iran pada Jun 2025.
Dari sudut ketenteraan pula; Republik Islam Iran mengadakan latihan ketenteraan bersama Rusia dan China serta mengisytiharkan bahawa sebahagian daripada Teluk Parsi ditutup.
Ayatollah Ali Khamenei menegaskan dalam kenyataan balasnya ke atas Donald Trump; “Bukan armada tentera laut Amerika Syarikat yang perlu ditakuti, sebaliknya yang perlu dibimbangi ialah roket-roket Republik Islam Iran yang akan menenggelamkan kapal-kapal perang Amerika Syarikat di Laut Parsi”.
Sama ada berlaku peperangan ataupun tidak bergantung sejauh mana pengaruh lobi Zionis menekan Donald Trump bagi melancarkan perang ke atas Republik Islam Iran.
Begitulah sikap Yahudi yang telah didedahkan dalam al-Quran sejak 1400 tahun lalu; mereka adalah kaum pengecut dan sentiasa mencipta peperangan dengan menggunakan pihak lain bagi mencapai cita-cita mereka.
Dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua, gerakan Zionis mempergunakan Imprealisme Barat bagi mencapai cita-cita mereka sehingga berjaya merampas Palestin dan menubuhkan negara haram Israel di bumi Palestin.
Kali ini mereka mempergunakan Amerika Syarikat yang berada pada tahap yang kritikal, khususnya krisis kepimpinan yang melanda ekoran pendedahan file Jeffrey Epstein yang juga melibatkan Donald Trump.
Fasa berikutnya yang sedang berlangsung ialah meluaskan wilayah negara haram Israel selari dengan kenyataan Benjamin Netanyahu yang mengisytiharkan agenda Israel Raya.
Mudah-mudahan konflik yang berlangsung menjadi asbab penyatuan umat Islam tanpa mengira mazhab dan jalur pemikiran.
Marilah bersama-sama kita berdoa di bulan Ramadan yang mulia ini agar Allah menggagalkan perancangan musuh-musuh Islam.
Yakinlah bahawa Allah SWT pasti bersama dengan orang beriman dan akan memberikan kemenangan kepada mereka.
“Kembali Kepada Penyelesaian Islam“
YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat.
