Semalam tentera regim zionis Israel telah mengebom Semenanjung Gaza buat hari kedua berturut-turut.
Gencatan senjata yang dipersetujui antara Hamas dan regim zionis Israel hampir sebulan yang lalu nampaknya seperti telah sewenang-wenangnya dicabuli oleh regim zionis Israel.
Pertukaran kerajaan negara haram Israel tidak memberikan apa-apa kesan positif buat gencatan senjata yang telah dipersetujui mahupun konflik Palestin-Israel sendiri.
Sehari selepas perlantikan Naftali Bennett sebagai Perdana Menteri negara haram Israel, tentera regim zionis Israel sudah mula menyerang Semenanjung Gaza kembali.
Kerajaan baharu negara haram zionis Israel juga telah meluluskan perarakan “Flag March” yang dianjurkan kumpulan berhaluan kanan ultra zionis Israel dan ia telah dibantah sekeras-kerasnya oleh penduduk Palestin samada di Tebing Barat mahupun Semenanjung Gaza.
Natijahnya, sesiapa sahaja yang mentadbir negara haram Israel sama sahaja niatnya iaitu untuk menjajah Palestin seluruhnya dan selama-lamanya namun mungkin pendekatan dan cara yang digunakan sahaja berbeza.
Namun dengan perlantikan Naftali Bennett, seorang ultra nasionalis dan ekstrimis zionis sebagai Perdana Menteri negara haram Israel, kita sudah lihat bagaimana bermulanya pentadbiran beliau iaitu dengan menyerang Semenanjung Gaza pada hari pertama pentadbirannya.
Perjanjian – Perjanjian Antara Negara Asia Barat, Palestin Dengan Regim Zionis Israel
Janji atau perjanjian dengan regim zionis Israel sememangnya tidak boleh dipercayai dan tidak akan ditepati oleh mereka.
Sebelum perjanjian gencatan senjata terbaharu kali ini di antara Hamas dan regim zionis Israel, telah banyak perjanjian damai mahupun gencatan senjata yang dipersetujui namun acap kali regim zionis Israel yang mencabulinya.
Bukan sahaja dengan Palestin, tetapi regim zionis Israel juga turut menandatangani perjanjian dengan negara-negara lain seperti Mesir, Jordan, Lubnan dan Syria namun seperti lazimnya, regim zionis Israel akan memungkiri semua perjanjian tersebut.
Untuk mengetahui berapa banyak perjanjian atau sidang damai yang telah ditandatangani atau dipersetujui oleh regim zionis Israel samada dengan Palestin atau negara-negara lain di Asia Barat, disini disenaraikan perjanjian-perjanjian utama yang ditandatangani atau sidang damai yang telah dihadiri atau dipersetujui oleh regim zionis Israel.
1. Perjanjian Gencatan Senjata 1949
Ia adalah perjanjian gencatan senjata antara regim zionis Israel dengan Mesir, Lubnan, Jordan dan Syria susulan perang Arab-Israel pada tahun 1948 akibat penubuhan negara haram Israel setelah diserahkan Palestin kepada mereka.
Perjanjian ini juga telah menetapkan garis sempadan sementara yang dikenali sebagai “Green Lane” di antara negara haram Israel dengan Jordan, Lubnan dan Mesir termasuk juga Palestin yang ketika itu dikenali sebagai “Mandatory Palestine” kerana berada dibawah pemerintahan British.
2. Persidangan Geneva 1973
Persidangan ini diadakan di Geneva, Switzerland untuk mencari penyelesaian dan menamatkan konflik Arab-Zionis Israel berikutan resolusi 338 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 22 Oktober 1973 yang meminta diadakan gencatan senjata berikutan peperangan Yom Kippur.
Mesir dan regim zionis Israel menerima resolusi tersebut tetapi ditolak oleh Syria, Lubnan dan Iraq termasuk juga PLO.
Ketika perjanjian ini jugalah Soviet Union (Rusia) kali terakhir memainkan peranan utama bersama Amerika Syarikat dalam misi damai Arab-Palestin berikutan perseteruan antara Soviet Union-Amerika Syarikat dalam “Cold War”.
3. Perjanjian Camp David 1978
Perjanjian ini boleh dikatakan usaha awal regim zionis Israel mahupun Amerika Syarikat dalam usaha menormalisasikan hubungan antara negara-negara Arab dengan negara haram Israel.
Perjanjian ini ditandatangani oleh Presiden Mesir, Anwar Sadat dan Perdana Menteri negara haram Israel Menachem Begin setelah berlangsung rundingan sulit selama 12 hari di Rumah Putih (White House) dengan disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter.
Namun tindakan Mesir mengadakan rundingan terus dengan Amerika Syarikat tidak dipersetujui oleh negara-negara Arab lain seperti Syria, Lubnan dan Libya malah negara-negara Eropah seperti Hungry, Czechoslovakia, Bulgaria dan Albania yang dikenali sebagai Pakatan Warsaw mengecam peranan Mesir.
Kumpulan pejuang Palestin juga tidak berpuas hati dengan tindakan Mesir malah mengancam untuk menyerang Mesir.
Akibatnya, NATO mengarahkan tentera dibawahnya untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Hungry, Yugoslavia dan Jerman Timur turut mengancam akan menyerang Mesir jika diteruskan perjanjian damai dengan regim zionis Israel.
Soviet Union, Finland, Poland dan Romania mengancam akan menyerang NATO jika cuba menunjukkan kuasa di Asia Barat dan negara-negara Arab lain melabelkan Mesir sebagai pengkhianat kepada Islam dan negara-negara Arab.
Namun perjanjian tersebut tetap diterus dimana akhirnya Anwar Sadat menjadi pemimpin Asia Barat pertama yang melawat negara haram Israel dan turut berucap di Knesset Israel.
Sebagaimana Donald Trump ketika mula menjadi Presiden Amerika Syarikat mengusahakan kempen normalisasi hubungan negara-negara Arab dengan negara haram Israel, ia sebenarnya telah dimulakan Jimmy Carter kerana ketika perjanjian Kem David ditandatangani, beliau baru sahaja menjadi Presiden Amerika Syarikat dan normalisasi menjadi salah satu agenda utama kempennya ketika bertanding pilihanraya Amerika Syarikat sebelum itu, sama seperti Donald Trump.
4. Perjanjian Oslo 1993
Perjanjian ini adalah perjanjian yang ditandatangani di antara regim zionis Israel dan PLO serta terdapat dua perjanjian, satu ditandatangani di Washington DC dan satu lagi ditandatangani di Taba, Mesir.
Perjanjian Olso adalah usaha damai antara Palesin-Israel yang diusahakan Amerika Syarikat sebagaimana resolusi 242 dan 338 Majlis Keselamatan PBB.
Perjanjian Oslo mewujudkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang diberikan sedikit kuasa untuk mentadbir Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dan juga mengesahkan PLO sebagai rakan runding regim zionis Israel dalam proses damai.
Ia juga sebagai perjanjian permulaan proses rundingan sempadan Palestin-Israel, kedudukan penempatan haram Yahudi, status Baitul Maqdis, keabsahan tentera regim zionis Israel dalam kawasan yang ditadbir Pihak Berkuasa Palestin setelah diberi autonomi dan juga hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka namun dalam perjanjian tersebut langsung tidak dimasukkan rundingan untuk mewujudkan sebuah negara Palestin.
5. Perjanjian Damai Jordan – Israel
Perjanjian ini ditandatangani pada 26 Oktober 1994 di Arabah, Jordan.
Ia adalah perjanjian damai antara Jordan dan regim zionis Israel yang mengakhiri persengketaan kedua-dua negara sejak berakhirnya perang Arab-Israel 1948.
Perjanjian ini juga menjadikan Jordan negara kedua dari Asia Barat menandatangani perjanjian damai dengan negara haram Israel selepas Mesir serta mengakhiri konflik kedua-dua negara tersebut berkenaan sempadan dan hak milik tanah disamping mewujudkan pelbagai kerjasama antara kedua-dua negara.
6. Sidang Kemuncak Kem David 2000
Sidang Kemuncak Kem David pada tahun 2000 ini yang diadakan di Kem David, Amerika Syarikat dihadiri oleh Yasser Arafat dan Perdana Menteri regim zionis Israel Ehud Barak termasuk Presiden Amerika Syarikat Bill Clinton.
Sidang Kemuncak ini adalah lanjutan daripada Perjanjian Oslo pada tahun 1993 dimana segala yang dipersetujui dalam Perjanjian Oslo perlu dilaksana oleh Pihak Berkuasa Palestin mahupun regim zionis Israel untuk dibincangkan, dinilai seterusnya agar dapat dilakukan perjanjian damai yang kekal untuk Palestin-Israel.
Persidangan ini gagal mencapai kata sepakat dan tiada satu pun perjanjian atau persefahaman ditandatangani.
Perjanjian Oslo dan juga Sidang Kemuncak Kem David ini juga menimbulkan kemarahan majoriti rakyat Palestin kerana seolah-olah menyerahkan maruah dan kedaulatan tanah air mereka kepada regim zionis Israel.
Akibatnya, rakyat Palestin bangkit dan berlakulah Intifada Kedua iaitu kebangkitan rakyat Palestin menentang regim zionis Israel disamping peristiwa rempuhan masuk Ariel Sharon bersama lebih kurang 1,000 orang tentera dan polis regim zionis Israel ke perkarangan Masjidil Aqsa yang membangkitkan kemarahan rakyat Palestin.
Jika dilihat dari jumlah perjanjian damai dan sidang kemuncak yang telah dilalui atau dipersetujui regim zionis Israel termasuk tempoh yang diambil memakan masa berpuluh tahun, adalah mustahil untuk tidak dipersetujui walau satu agenda sekalipun oleh kedua-dua belah pihak terutamanya regim zionis Israel.
Sebenarnya terdapat beberapa lagi perjanjian namun jika perjanjian utama tidak dituruti, dihormati dan dipersetujui oleh regim zionis Israel, maka walau dengan apa cara sekalipun dilakukan ia tetap tidak akan berhasil dan regim zionis Israel adalah dalang utama yang mencabuli segala perjanjian.
Tujuan utama regim zionis Israel adalah untuk menjajah keseluruhan wilayah Palestin sebelum melebarkannnya ke Semenanjung Arab.
Jika dilihat dari mula ditubuhkan negara haram Israel hingga ke hari ini, dari sedikit wilayah Palestin yang dijajah, hari ini boleh dikatakan hampir 70-80 peratus wilayah Palestin dikuasai regim zionis Israel samada secara langsung mahupun tidak langsung.
Ini sudah cukup membuktikan bahawa regim zionis Israel menggunakan segala helah dan tipu daya hanya untuk mengelakkan segala bentuk tindakan ke atas mereka disamping terus meluaskan kawasan jajahan mereka.
Akhirnya kelak, Palestin hanya tinggal nama kemudiannya lenyap dari peta dunia.
Serangan tentera regim zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza semalam adalah perilaku kebiasaan mereka.
Kita seharusnya atau wajib tidak mempercayai mereka lagi mahupun memberikan mereka peluang untuk terus menipu umat dan negara Dunia Islam.
Untuk menangani isu Palestin, umat dan Dunia Islam harus bersatu memperjuangkan isu Palestin kerana ia adalah isu sejagat umat dan Dunia Islam.
Sudah tiba masanya umat dan Dunia Islam sendiri mendokong perjuangan sebuah negara Palestin yang merdeka, bukan lagi mengharapkan mana-mana negara lain untuk membebaskan Palestin dan rakyatnya.
Jika kita semua terus istiqamah dan bersatu-padu menyokong perjuangan rakyat Palestin dan berdoa kepada Allah SWT, insyallah apabila masanya tiba kelak, Palestin dan rakyatnya akan bebas dari cengkaman regim zionis Israel serta menjadi sebuah negara merdeka.
Islam Memperkukuh Perpaduan.
YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.