Jangan Kutuk Ulama Kalau Tidak Berilmu

Jangan Kutuk Ulama Kalau Tidak Berilmu

Orang alim yang memahami politik berada beberapa langkah dihadapan orang alim yang tidak faham politik.

Manakala Ahli Politik yang memahami agama berada beratus langkah dihadapan ahli politik yang tidak memahami agama.

Kemudian ahli rohani pula berada beribu langkah dihadapan orang yang bukan ahli rohani.

Dengan itu jika kita dapat bersama dengan Ahli rohani yang alim dan memahami politik, maka kita akan selamat.

Cuba kita pelajari….

Sebab itu saya syorkan kepada Orang alim yang lemah dalam memahami politik jangan terlalu cepat mengulas sebelum memahaminya dengan benar.

Orang Politik yang lemah agama pula jangan gelojoh mengulas dan komen perkara agama sebelum meminta nasihat ulamak.

Manakala orang awam jangan cepat menidakkan pandangan ahli-ahli rohani.

Kerana mereka melihat suatu dengan sorotan hati bukan sorotan mata.

Ketika Sayyidina Umar menjadi Amirul Mukminin beliau telah melarang mana-mana Sahabat Rasulullah berhijrah keluar Madinah.

Jika ditanya kepada orang ALIM mengenai larangan itu, sudah tentu mereka akan menyalahkan Umar.

Kerana tiada hadis yang melarang hijrah keluar dari Madinah.

Tidak ada sebarang ayat Al-Quran yang menegahnya.

Tiada mana-mana ijmak ulamak yang menghalangnya.

Namun selaku ULAMAK dan sekaligus AHLI POLITIK maka Umar berijtihad dengan ilmunya dan kemahiranya dalam politik dan Umar mengemukakan larangan itu.

Tiada siapa yang memahami tindakan Umar.

Selepas kewafatan Umar dan kemudiannya kepimpinan ummat diganti dengan Sayyidina Uthman barulah umum memahami hikmah larangan Umar.

Di zaman pemerintahan Uthman, beliau telah memberikan kebebasan kepada sahabat-sahabat Rasulullah untuk berhijrah ke mana sahaja dengan meninggalkan Madinah.

Sahabat Rasulullah sepeninggalan baginda adalah sosok tubuh yang sangat dimuliakan oleh para Taabi’n waktu itu.

Maka kemana sahaja mereka menetap mereka akan dihormati sehingga membentuk kelompok-kelompok anak murid dan pengikut mereka sendiri.

Sehingga muncullah kelompok pengikut sahabat-sahabat tersebut di Thaif, di syam, di Mesir, di kufah dan sebagainya.

Maka ummat Islam mula berpecah dan taksub kepada kelompok mereka masing-masing.

Waktu itu fahamlah mereka mengapa di zaman Umar, beliau melarang sahabat-sahabat Rasulullah keluar dari madinah.

Iaitu untuk menguatkan kerajaan Islam agar tidak diganggu dengan perpecahan rakyat.

Sebab itu perlu difahami, ijtihad ulamak yang bertindak sebagai sebahagian dari Ulul Amri adalah lebih aula didengar berbanding Ulamak yang hidup bersendiri walaupun alim.

Sekadar sebuah peringatan.

Ustaz Mokhtar Senik.

Isu Semasa