Peserta baju hitam himpunan haram seakan kebal daripada pandemik Covid-19 hari ini berhimpun di ibu kota Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan kepada idola mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang geli-geli bakal ditabal perdana menteri baharu.
Untuk rekod, Kuala Lumpur dan Selangor merupakan dua negeri yang mencatatkan kes jangkitan Covid-19 tertinggi hampir setiap hari, malah kapasiti di hospital ketika ini juga semakin kritikal dengan jumlah pesakit yang terlalu ramai.
Himpunan pada Sabtu disertai sekumpulan individu dengan membawa sepanduk mengkritik dan mengecam kerajaan Perikatan Nasional (PN), mereka juga membawa sepanduk yang senada dengan ucapan Ketua Pembangkang di Parlimen baru-baru ini.
Pelbagai perkataan yang dilaungkan seperti ‘Hidup Rakyat’, ‘Bangkit Anak Muda dan ‘Kerajaan Gagal’, dengan kebanyakannya mengecam kerajaan.
Mereka mula berkumpul sejak 10 pagi tadi di hadapan stesen LRT Masjid Jamek, dengan berpakaian serba hitam.
Sebaik sahaja pukul 11 pagi, mereka mula berarak ke arah Dataran Merdeka.
Tinjauan mendapati rata-rata memakai pelitup muka, bagaimanapun tiada penjarakan sosial semasa berarak menuju ke Dataran Merdeka.
Kelihatan beberapa anggota polis berada di Dataran Merdeka bagi memantau keadaan dan mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan padang berhampiran, terdapat juga yang duduk di atas jalan raya sambil menjerit-jerit laungan menghentam kerajaan.
Tiada sebarang tangkapan setakat ini oleh pihak berkuasa terhadap peserta himpunan tersebut.