Hukum Ucapan Selamat Hari Raya

Hukum Ucapan Selamat Hari Raya

SOALAN:

Bila sahaja tiba hari raya akan timbul persoalan tentang lafaz ucapan hari raya.

Ada setengah yang kata tidak boleh dan bidaah ucapan maaf zahir dan batin dan ucapan minal faizin dan seumpamanya.

Mohon penjelasan dari ustaz mana satu ucapan raya yang boleh dan mana satu yang dilarang.

JAWAPAN:

Apabila tibanya hari raya maka umat Islam saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain.

Hukumnya adalah sunat dan dianjurkan kerana ia adalah amalan yang menambah eratkan hubungan sesama saudara mara dan sahabat handai.

Terdapat bermacam lafaz ucapan hari raya yang kita dapat dengar diucapkan oleh pelbagai lapisan masyarakat Islam di negara kita.

Antara ucapan-ucapan yang selalu diucapkan pada hari perayaan Islam apabila bertemu ialah:

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

Artinya: “Semuga Allah menerima kebaikan dari kami dan dari kamu sekelian.”

atau

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكَ

Artinya : “Semuga Allah menerima kebaikkan dari kami dan dari kamu.”

atau

عِيدٌ مُبَارَكٌ

Artinya: “Hari raya yang diberkati.”

atau

اَحَالَ اللهُ عَلَيْكَ

Artinya: “Semuga Allah mengelokkan atas kamu.”

atau

كُلُّ عَامٍ وَانْتُمْ بِخَيْرٍ

Artinya: “Semuga kamu dalam kebaikkan sepanjang masa.”

atau

مِنَ الْفَائِزِيْنَ وَالْمَقْبُوْلِيْنَ

Artinya: “Semuga kita termasuk dikalangan orang yang berjaya dan diterima.”

Dan yang paling banyak kita dengar diucapkan dalam masyarakat melayu ialah ucapan: Selamat Hari Raya Maaf Zahir & Batin atau ucapan-ucapan lain yang semuanya elok diucap kerana mengandungi makna yang baik dan mendekatkan hati dan mengeratkan hubungan sesama kita.

DALIL-DALIL

Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar:

قَالَ وَاثِلَةُ : لَقِيتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عِيدٍ , فَقُلْتُ : تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ , فَقَالَ : ” نَعَمْ تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

Artinya: “Berkata Wasilah bins Asqa’ r.a.: Aku telah berjumpa dengan Rasulullah saw pada hari raya maka aku berkata:

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ .

Lalu baginda berkata: Ya.

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

(Kitab Fathul Baari)

Dan diriwayatkan dari Adham bekas budak bagi Umar bin Abdul Aziz berkata:

كنا نقول لعمر بن عبد العزيز ( في الـعيدين ) تقبل الله منا ومنك يا أمير المؤمنين فيرد علينا ولا ينكر ذلك علينا

Artinya: “Kami dahulu mengucapkan kepada Umar bin Abdul Aziz pada dua hari raya

تقبل الله منا ومنك

wahai pemimpin orang mukmin.

Maka membalas ia atas ucapan kami dan tidak ia mengingkarkan yang demikian itu atas kami.”

(Sunan Kubra Al-Baihaqi)

Berkata Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqallani:

ورينا في المحامليات بإسناد حسن عن جبير بن نفير قال: كان أصحاب رسول الله إذا التقوا يوم العيد يقول بعضهم لبعض:تقبل الله مناومنك

Artinya: “Kami telah meriwayatkan pada Mahamiliyah dengan sanad yang hasan dari Jubair bin Nufair berkata ia: Adalah sahabat-sahabat Rasulullah saw apabila berjumpa pada hari raya akan berkata setengah mereka bagi setengahnya:

تقبل الله منا ومنك.”

(Kitab Fathul Baari)

Tersebut pada Kitab Ad-Durr Al-Mukhtar:

إِنَّ التَّهْنِئَةَ بِالْعِيدِ بِلَفْظِ يَتَقَبَّل اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ لاَ تُنْكَرُ

Artinya: “Sungguhnya ucapan tahniah hari raya dengan lafaz

يَتَقَبَّل اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

tidak diingkari orang.”

Maksudnya tiada ulamak yang melarang ucapan tahniah hari raya tersebut.

Berkata Harb:

سُئِل أَحْمَدُ عَنْ قَوْل النَّاسِ فِي الْعِيدَيْنِ: تَقَبَّل اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ قَال: لاَ بَأْسَ بِهِ

Artinya: “Telah disoal akan Imam Ahmad tentang ucapan orang-orang pada dua hari raya:

تَقَبَّل اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

Lalu jawab Imam Ahmad: Tiada mengapa dengan ucapan tersebut.”

Dan dalil bagi harus mengucapkan

عِيدٌ مُبَارَكٌ

atau

اَحَالَ اللهُ عَلَيْكَ

atau

كُلُّ عَامٍ وَانْتُمْ بِخَيْرٍ

atau

مِنَ الْفَائِزِيْنَ وَالْمَقْبُوْلِيْنَ

atau Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin atau ucapan-ucapan yang lain ialah semua ucapan ini mengandungi pengertian yang baik.

Syarak tidak pernah melarang mengucapkan perkataan-perkataan yang baik samada ia dari Rasulullah saw atau dari sahabat atau dari tabiin atau dari salafussolih atau dari siapa sahaja kerana masuk dalam perintah yang umum menyuruh berkata yang baik-baik dan insyaAllah siapa yang mengucapkan perkataan yang baik maka pasti akan mendapat balasan pahala di sisi Allah.

Perkara ini sebenarnya amat luas hukumnya maka mempersempitkannya tanpa hujah yang sahih adalah perbuatan yang salah dan dilarang.

Perkataan yang menuduh ucapan-ucapan yang tidak ada dalil diucapkan oleh Nabi saw maka hukumnya adalah dilarang maka perkataan ini adalah batil.

Ulamak-ulamak yang muktabar tidak berdalil dengan kaedah seperti ini.

Antara dalil tidak salah ucapan selamat hari raya maaf zahir dan batin itu apa yang telah disebut olih Syeikh Shalih al-Balihi:

لا بأس بتهنئة الناس بعضهم بعضا بما هو مستفيض بينهم من الكلام الذي لا محذور فيه

artinya: “Tidak salah dengan ucapan tahniah setengah manusia akan setengahnya dengan ucapan yang membaikkan antara mereka dari ucapan-ucapan yang tidak dilarang padanya.”

(Kitab Salsabil fi Ma’rifati Dalil)

Berkata Imam Al-Hafiz Al-Maqdisi:

أَنَّ النَّاسَ لَمْ يَزَالُوا مُخْتَلِفِينَ فِيهِ، وَاَلَّذِي أَرَاهُ أَنَّهُ مُبَاحٌ لاَ سُنَّةَ فِيهِ وَلاَ بِدْعَةَ

Artinya: “Sungguhnya manusia sentiasa bersalahan pada perkara ini dan yang aku lihat ialah harus hukumnya bukan sunnah padanya dan bukan bida’ah.”

Telah dinaqal pada kitab Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyah daripada Al-Muhaqqiq Ibnu Amir Haj katanya:

الْأَشْبَهُ أَنَّهَا -يَعْنِي التَّهْنِئَةَ بِاْلعِيْدِ- جَائِزَةٌ مُسْتَحَبَّةٌ فِي الْجُمْلَةِ ثُمَّ سَاقَ آثَاراً عَنِ الصَّحَابَةِ… إِلَى أَنْ قَالَ: وَالْمُتَعَامَلُ فِي الْبِلَادِ الشَّامِيَةِ وَالْمِصْرِيَّةِ عِيْدٌ مُبَارَكٌ عَلَيْكَ وَنَحْوُهُ.

Artinya: “Pendapat yang kuat bahawa ucapan tahniah dengan hari raya adalah harus dan elok pada keseluruhannya.”

Kemudian beliau mengutip beberapa perkataan para sahabat.

Dan berlaku di Syam dan Mesir ucapan Eid Mubarak atas kamu dan seumpamanya.

Kemudian beliau berkata:

وَعَلَى هَذَا، فَلَا مَانِعَ مِنَ التَّهْنِئَةِ عِنْدَ سَبَبِهَا بِمَا يَدُلُّ عَلَى الْمُرَادِ بِأَيِّ لَفْظٍ مِنَ الْأَلْفَاظِ الْوَارِدَةِ فِي السُّؤَالِ وَغَيْرِهَا مِنَ الْأَلْفَاظِ الْمُشَابِهَةِ، سَوَاءٌ قِيْلَ كُلَّ سَنَةٍ وَأَنْتَ بِخَيْرٍ، أَوْ كُلَّ عَامٍ وَأَنْتَ طَيِّبٌ، لَا فَرْقَ بَيْنَ هَذَيْنِ اللَّفْظَيْنِ

Artinya: “Dan atas ini maka tiada larangan dari mengucap tahniah disisi sebabnya dengan ucapan yang menunjuk atas maksud dengan apa sahaja ucapan dari lafaz-lafaz yang datang pada soalan dan lainnya dari ucapan-ucapan yang searti samada diucapkan

كُلَّ سَنَةٍ وَأَنْتَ بِخَيْرٍ atau كُلَّ عَامٍ وَأَنْتَ طَيِّبٌ

maka tiada beza antara kedua lafaz ini.”

(Al-Mausu’atul Fiqhiyyah)

Berkata Imam Al-Bulqini: Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar:

أَنَّ التَّهْنِئَةَ بِالأْعْيَادِ وَالشُّهُورِ وَالأْعْوَامِ مَنْدُوبَةٌ. قَال الْبَيْجُورِيُّ: وَهُوَ الْمُعْتَمَدُ

Artinya: “Sungguhnya ucapan tahniah pada segala hari perayaan dan hari kebesaran yang itu sunat.

Berkata Syeikh Al-Bajuri: Dan ialah pendapat yang muktamad.”

(Al-Mausu’atul Fiqhiyyah)

Kesimpulan

Ucapan tahniah sempena menyambut hari raya ini adalah sunat dan yang paling afdhal ialah ucapan yang sabit dalam hadith diucapkan olih Nabi saw dan para sahabat r.a.

Semua ucapan hari raya yang bukan daripada hadith yang selalu diucapkan oleh umat Islam di negara kita seperti Selamat Hari Raya Maaf Zahir & Batin dan lainnya semuanya adalah elok belaka dan tidak dilarang mengucapkannya.

Melarang ucapan yang baik yang tidak ada kemudaratan pada agama dan masyarakat adalah tanda sempitnya aqal dan sedikitnya ilmu pengetahuan.

Wallahua’lam

Ustaz Azhar Idrus

Soal Jawab