Hishammuddin dan Zahid adalah dua nama yang sudah lama bergandingan dalam kepimpinan UMNO semenjak dari zaman pemuda.
Zahid mula memimpin sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang ke 11, pada Oktober 1996, selepas berjaya mengatasi pencabar yang lain iaitu Rahim Tamby Chik, Isa Samad, Syed Hamid Albar, Annuar Musa dan Abdul Rahman Salleh [1].
Sebulan selepas memenangi jawatan Ketua Pemuda, Zahid telah mengumumkan motto baru Pemuda UMNO pimpinannya – Pemuda Pemangkin Gerakan Reformasi [2].
Motto ini dengan jelas memperlihatkan kecenderungannya kepada Anwar Ibrahim.
Tidak hairanlah ketika Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan kemudian dari Timbalan Presiden UMNO serta keahlian dalam UMNO [3], Zahid dengan lantang bangun mempertahankannya.
Zahid ditahan di bawah ISA bersama empat pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 21 Sept 1998 [4].
Beliau kemudiannya meletakkan jawatan Ketua Pemuda UMNO pada 1 Oktober 1998.
Jawatannya telah dipangku oleh Hishammuddin yang ketika itu merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO [5].
Hishammuddin terpaksa melalui satu detik yang mencabar.
Dia diejek dalam tunjuk perasaan pembangkang dan foto yang berpotensi merosakkan reputasinya disebarkan dalam banyak laman web anti-kerajaan.
Tetapi beliau melihat masa depan yang lebih besar.
“Saya di sini untuk berkhidmat kepada parti ayah dan datuk saya” [6].
Hishammuddin berusaha menyatukan kembali Pemuda UMNO terutamanya ketika melalui saat getir apabila sebahagian bekas kepimpinannya menyertai PKR pada tahun 2003 [7].
Kepimpinan beliau terserlah apabila Hishammuddin menang jawatan Ketua Pemuda Umno pusat tanpa bertanding pada tahun 2004.
Manakala Zahid pula telah kembali ke dalam kepimpinan UMNO pada tahun 1999.
Secara terbuka beliau menjelaskan sudah meninggalkan kisah perjuangannya bersama Anwar [8].
Bukan setakat itu, di dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 1999, beliau turut mendakwa bahawa dirinya telah “diarah oleh Anwar untuk membangkitkan isu nepotisme dan kronisme dan tiada ketelusan dari segi pengagihan saham dan kontrak kerajaan pada tahun 1998” [9].
20 tahun sesudah tahun 1999, Zahid telah menjadi Presiden UMNO manakala Hishammuddin hanyalah sebagai Ketua UMNO Bahagian Sembrong dan Ahli Parlimen kawasan berkenaan.
Namun katanya, beliau “tetap setia kepada parti berkenaan walaupun tidak lagi menyandang sebarang jawatan di peringkat pusat” [10].
UMNO kembali melalui episod krisis keyakinan kepada kepimpinan parti apabila Nazri Aziz, Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas dan Ahli Parlimen Padang Rengas mengkritik Zahid secara terbuka dengan berkata Zahid ‘kurang sifat kepimpinan’ [11] susulan Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berlangsung pada 27-28 Mac 2021.
Nazri juga ada sejarah dalam Pergerakan Pemuda UMNO.
Beliau pernah menjadi Pemangku Ketua Pemuda UMNO dari tahun 1993-1996, sebelum jawatan itu dimenangi oleh Zahid.
Atas sejarah inilah, Nazri mungkin mempunyai neraca penilaian yang lebih berasas apabila membandingkan Zahid dan Hishammuddin, selaku Ketua dan Naib Ketua Pemuda UMNO sesudah zamannya.
Nazri dilihat semakin tidak senang dengan kepimpinan Zahid.
Pada 7 April 2021 beliau menggesa Zahid berundur [12].
Pada 20 Mei 2021, Nazri mengisytiharkan Hishammuddin “adalah calon terbaik untuk menjadi Presiden UMNO” [13].
“Kita bukan sahaja mahu mencari Presiden baharu dan boleh membawa perubahan kepada parti tetapi kita juga mahu Presiden yang dipilih adalah calon layak untuk dijadikan Perdana Menteri”, katanya.
Pada 20 Jun 2021, beliau mendakwa tindak-tanduk Zahid melanggar ketetapan parti kerana mengutus surat menyatakan sokongan kesemua Ahli Parlimen BN untuk memilih Ketua Pembangkang, Anwar sebagai Perdana Menteri baharu kepada Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2020, tanpa pengetahuan majoriti ahli Parlimen berkenaan dan menggesa Biro Disiplin dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menggantung jawatan Zahid [14].
Kemuncaknya pada 23 Jun 2021, Nazri mendakwa 25 Ahli Parlimen BN telah “hilang keyakinan terhadap Zahid” [15].
Apakah krisis keyakinan parti terhadap kepimpinan Zahid 20 tahun dahulu akan berulang kembali?
Adakah sekali lagi, Hishammuddin kembali menjadi penyelamat parti itu tatkala Zahid menimbulkan masalah?
Sama-sama kita nantikan episod seterusnya.
[1] https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2016/10/11/imbas-9-okt
[2] https://www.pemuda.com.my/seajarah-umno/
[3] https://ms.wikipedia.org/wiki/Anwar_Ibrahim
[5] https://www.sinarharian.com.my/politik/hishammuddin-atasi-persepsi-dikata-lembik-1.212872
[6] https://www.wsj.com/articles/SB943380758513034172
[7] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/04/548999/perjuangan-pkr-kerana-rakyat-tpm
[9] http://studentsrepo.um.edu.my/1735/9/BAB_7.pdf
[10] https://www.bharian.com.my/berita/politik/2019/07/587330/saya-masih-ahli-umno-hishammuddin
