Pada 26 Jun 2021 Tok Mat telah memuatnaik video pendek yang berisi di dalamnya nasihat ringkas “Jangan Racun Punca Air Yang Kita Minum Sebab Kalau Kita Racun, Kita Juga Akan Mati Akhirnya.”
Sayang Tok Mat pada UMNO.
Tatkala UMNO sudah hampir tiada masa depan, Tok Matlah yang berusaha gigih menghidupkannya.
Tok Mat, atau nama penuhnya, Datuk Seri Mohamad Hasan, merupakan timbalan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seusai Pemilihan Agung UMNO 2018 [1].
Buat pertama kali dalam sejarah UMNO, Presidennya berucap di dewan Parlimen sebagai Ketua Pembangkang [2].
Jika gagal menarik balik sokongan rakyat, maka hujung terowong UMNO akan terus malap tanpa cahaya [3].
Kepimpinan Zahid di dalam UMNO mula teruji apabila beliau terbabit dengan kes pendakwaan terhadap salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi [4].
Tengku Razaleigh yang juga ahli Parlimen Gua Musang berkata, UMNO perlu mengadakan semula pemilihan jawatan Presiden parti itu jika Ahmad Zahid terpaksa melepaskan jawatannya [5].
Manakala Pemuda UMNO menggesa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempertimbang supaya bercuti dan berehat buat seketika daripada menjalankan tugas sebagai Presiden parti sehingga kesnya selesai di mahkamah [6].
Sebagai reaksi terhadap Ketua Pemuda, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mencabar pula Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meletak jawatan [7].
Kemuncaknya apabila beberapa orang Ahli Parlimen UMNO bertindak keluar parti dan mendesak Zahid meletakkan jawatan.
Kata mereka “Kami berpendapat Ahmad Zahid gagal menetapkan hala tuju parti dalam keadaan sekarang dan wajar bagi beliau melepaskan jawatan.
“Ia juga berkaitan dengan kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh Ahmad Zahid menyebabkan ahli dan rakyat khususnya Melayu tidak yakin dengan kepemimpinan beliau untuk membawa UMNO menghadapi pilihan raya umum akan datang” [8]
Zahid kemudiannya bersetuju menyerahkan tugasnya kepada Mohamad selaku timbalannya demi keutuhan parti serta demi kepentingan pimpinan di semua peringkat terutama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan UMNO Bahagian [9].
Mohamad kini memiliki kuasa penuh Presiden untuk bersama dengan Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi (MT) dan ketua sayap serta pimpinan di semua peringkat untuk memulihkan UMNO sebagai parti politik terbesar orang Melayu.[10]
UMNO akan lebih menumpukan usaha menjadi wadah gerakan politik, amal dan bakti untuk bangsa Melayu, kata Mohamad.[11]
“Saya dan rakan akan membersihkan parti sebersih-bersihnya.
“Sesiapa tidak ingin bersama-sama dalam perang ini, berpindahlah ke parti seberang sana atau pihak yang boleh memberi habuan diharapkan.” [11]
“UMNO baharu hanya untuk mereka yang bersih, berjuang dan mengasihi bangsanya.
“Kita akan menghentikan politik wang sebelum ia menghentikan UMNO.” [11]
Berhubung dengan isu pemberian wang RM90 Juta kepada PAS, Mohamad menegaskan beliau tidak mengetahui dakwaan bahawa PAS menerima wang daripada UMNO.
“Saya memang tidak pernah setuju dengan politik wang ini, saya memang tak bersetuju.
“Berkenaan PAS tu, saya tak tahulah. Setahu saya, UMNO tidak pernah beri… kalau ada orang lain beri tak tahulah saya,” [12]
Mohamad memberi kuasa kepada negeri menyusun strategi menang PRU-15.
“Dengan autonomi penuh kepada UMNO Sabah, mereka akan ada kuasa untuk susun semula dan UMNO Sabah akan bangkit semula.” [13]
Mohamad seterusnya mula memimpin BN untuk memenangi pilihanraya kecil.
Dalam pilihanraya Parlimen Cameron Highlands, BN memperoleh kemenangan dengan 3,238 undi majoriti.[14]
Dalam pilihanraya DUN Semenyih, BN memperoleh kemenangan dengan majoriti 1,914 undi.[15]
Dalam pilihanraya DUN Rantau, BN memperoleh kemenangan dengan majoriti 4,510 undi.[16]
Setelah bekerjasama dalam enam pilihan raya kecil, Umno dan PAS mengumumkan kerjasama rasmi antara dua parti itu 5 Mac 2019.[17]
Besar jasa Tok Mat menghidupkan UMNO.
UMNO sudah bernafas kembali.
Pada 30 Jun 2019, Zahid mengumumkan beliau mahu kembali bertugas sebagai Presiden UMNO [18].
“Saya ingin mengumumkan bahawa saya menamatkan cuti rehat sebagai Presiden UMNO mulai hari ini, bererti bahawa mulai hari ini saya akan terus menyambung tugas saya sebagai Presiden UMNO Malaysia.” [18]
“Biarpun 80 pertuduhan dikenakan kepada saya, biarpun yang akan datang mungkin 800 pertuduhan.” [18]
Ye, lah. Tok Mat dah cuci bersih UMNO.
Hari ini, janganlah ada yang mahu racun pula.
Mungkin itulah agaknya rungutan Tok Mat.
DrPalatao
Sumber Rujukan:
[1] https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/06/443548/zahid-presiden-baharu-umno-tok-mat-timbalan
[2] https://api.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/450900/ahmad-zahid-berucap-sebagai-ketua-pembangkang
[3] https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2018/07/444365/jalan-berliku-menanti-umno-zahid-hamidi
[4] https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kronologi-kes-rasuah-zahid-hamidi-melibatkan-dana-yayasan-akalbudi-188698
[5] https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/10/488377/perlu-ada-pemilihan-semula-tengku-razaleigh
[6] https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/10/490353/pemuda-umno-nasihat-ahmad-zahid-bercuti
[7] https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/10/490568/berpada-pada-kritik-pemimpin
[8] https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/12/509023/10-hari-tempoh-untuk-zahid-letak-jawatan
[9] https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/12/511307/mohamad-pangku-tugas-zahid-ismail-sabri-laksana-tugas-timbalan
[10] https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/12/510756/mohamad-diberi-kepercayaan-jalankan-tugas-presiden-umno
[11] https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/12/514692/umno-perlu-lupakan-hasrat-berkuasa-semula-masa-ini-tok-mat
[12] https://www.bharian.com.my/berita/politik/2019/02/528420/saya-tidak-tahu-pas-terima-wang-daripada-umno-mohamad
[13] https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/12/511785/umno-beri-kuasa-kepada-negeri-susun-strategi-menang-pru-15
[14] https://www.bharian.com.my/berita/politik/2019/01/524416/prk-cameron-highlands-bn-tambah-majoriti-undi-ph-berkurangan
[15] https://www.bharian.com.my/berita/politik/2019/03/536745/bn-tawan-semula-dun-semenyih
[16] https://www.bharian.com.my/berita/politik/2019/04/552669/bn-kekal-kuasai-dun-rantau
[17] https://www.beritaharian.sg/dunia/kerjasama-umno-pas-kini-rasmi-jawatankuasa-teknikal-dua-parti-dibentuk
[18] https://www.bharian.com.my/berita/politik/2019/06/579547/zahid-umum-kembali-bertugas-sebagai-presiden-umno
