Surat Rayuan Buat YAB TPM ( Ismail Sabri Yaakob )

Surat Rayuan Buat YAB TPM ( Ismail Sabri Yaakob )

Saya mendoakan YAB berada di dalam keadaan baik, bersemangat di dalam menempuh pelbagai halangan dan rintangan.

Izinkan saya memberi pandangan atas kedudukan YAB apabila mendapat amaran dari Presiden Umno, hari ini, membayangkan YAB akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin.

Percayalah, jika YAB terus kekal dengan kerajaan, YAB merupakan seorang insan dan pemimpin bertanggungjawab.

Tanggungjawab YAB sebagai TPM dan Menteri Pertahanan, adalah satu amanah besar yang diletakkan di bahu YAB.

Tunaikanlah tanggungjawab tersebut.

Rakyat Malaysia (termasuk Ahli Umno) mengharapkan YAB dapat terus menunaikan kewajiban ini, yang sudah YAB pikul sejak mula-mula Pandemik Covid-19 ini menyerang negara ini.

Menjunjung titah Seri Paduka Baginda YDPA supaya semua pemimpin memberikan fokus dan menumpukan kes Covid, adalah satu ingatan supaya semua pihak tidak bermain politik ketika negara memerlukan barisan hadapan yang bersungguh-sungguh melawan pandemik ini.

YAB Dato’ Sri,

Saya tidak pernah mengenali YAB dan YAB tidak pernah mengenali saya.

Tetapi, sejak sekian lama, saya memang mengharapkan ada kebijaksanaan YAB Perdana Menteri untuk memberi peluang kepada YAB untuk dilantik menjadi TPM, bagi tujuan membantu negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia memerangi Covid-19.

Alhamdulilah, harapan saya dan doa dari ramai orang untuk melihat YAB menjadi TPM berjaya dan dimakbulkan oleh Allah SWT. Syukur.

Ugutan dari Presiden Umno kepada YAB kerana YAB berdiri bersama-sama beberapa pemimpin lain ketika YAB PM menyampaikan perutusan, pada Rabu 4 Ogos lalu, rupa-rupanya menjadi satu masalah besar kepada mereka yang tidak dapat membezakan yang mana hendak diutamakan, kepentingan parti atau negara.

Negara boleh ada, tanpa parti tetapi parti tidak mungkin ada kalau tidak ada negara.

Umno sendiri ditubuhkan bersesuaian dengan Perlembagaannya, setiap ahli adalah bertanggungjawab untuk membantu rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Jadi, sebagai TPM, YAB sepatutnya tidak mudah terlibat dengan permainan politik cetek oleh beberapa orang yang ada masalah kes di mahkamah.

Saya merayu sangat-sangat supaya YAB tetapkan pendirian untuk terus kekal berada di dalam kerajaan dan hadapilah peperangan dengan Covid-19 ini sehingga selesai.

Jawatan TPM yang YAB dapat sebenarnya adalah “atas kehendak Allah” jua.

Janganlah sesekali ia dipersia-siakan.

Gunakan semaksimum yang boleh untuk membantu rakyat yang terkesan akibat Pandemik Covid-19.

Negara kita, seperti juga negara-negara lain di dunia yang ditimpa musibah ini, tidak mempunyai pengalaman seumpama ini sebelumnya.

Pemimpin macam YABlah yang diharapkan dapat memberi semangat dan keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius berusaha bagi menjamin keselamatan dan kesihatan mereka.

Selain itu, mengimbau kembali Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti yang dumumkan oleh YAB Perdana Menteri, tidak akan berjaya dicapai seandainya pemimpin di atas asyik berpolitik.

Akhir kalam, saya dengan penuh hormat takzim merayu kepada YAB supaya tidak takut dengan ugutan kerana saya yakin YAB tidak pernah terlintas untuk mengkhianati perjuangan Umno, parti yang YAB menjadi salah seorang pemimpin kanannya.

Kepada Allah saya berserah, semoga YAB diberi kekuatan untuk bersedia meneruskan perkhidmatan demi negara, rakyat dan agama kita.

Sekian dari saya

Haji Daud Haji Ibrahim
Bekas Ahli Umno No Ahli : 00358459

Kolumnis