Dalam politik, kadangkala satu perkataan lebih berbahaya daripada satu manifesto.
Itulah yang berlaku apabila Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memilih untuk menggunakan istilah “melalak” bagi merujuk kepada rakyat Malaysia yang mengecam tindakan biadab memijak al-Quran.
Di bulan Ramadan, ketika naratif moral dan empati sepatutnya lebih halus dan berhikmah, bahasa yang dipilih kelihatan keras, sinis dan pada pandangan ramai anak muda sangat angkuh.
Entahlah, syaitan mana yang terlepas dapat menghasut menggunakan perkataan ‘melalak’ itu atau ia memang suara hati sebenar Perdana Menteri.
Reaksi yang tercetus bukanlah sekadar bunyi bising politik.
Di platform Threads, ribuan pengguna majoritinya belia dalam lingkungan 20 hingga 30-an tampil mengecam istilah tersebut.
Ini bukan gerombolan “sibertrooper upahan” sebagaimana ceplos (istilah oleh Rafizi) atau pasukan propaganda parti lawan.
Malah ramai yang secara terbuka menegaskan mereka tidak berparti.
Mereka adalah generasi digital yang membesar dengan budaya wacana terbuka dan sensitif terhadap nada elitisme politik.
Apabila suara moral mereka dilabel sebagai “melalak”, ia ditafsir bukan sebagai teguran, tetapi sebagai penghinaan.
Di sinilah kegagalan komunikasi strategik terserlah.
Kerajaan Madani sering mempromosikan kejayaan makro seperti pengukuhan ringgit dan peningkatan pelaburan.
Namun bagi anak muda bandar yang bergelut dengan kos sara hidup, gaji stagnan dan ketidaktentuan pekerjaan, angka-angka makro itu terasa jauh daripada realiti harian.
Apabila bahasa pemimpin pula kedengaran merendahkan suara rakyat, ia menambah jurang persepsi antara Putrajaya dan generasi muda.
Ditambah pula sikap rebellious yang mudah terbakar; ia mudah memarakkan kebakaran dalam kalangan ramai anak muda.
Lebih menarik, fenomena ini berlaku ketika pembangkang yang sebelum ini dilihat kucar-kacir mula menyusun semula naratif.
Pelantikan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional memberi nafas baharu kepada kem tersebut.
Dengan latar akademik luar negara dan imej bersih daripada sabitan kes jenayah, beliau dipasarkan sebagai alternatif teknokrat yang lebih “tenang” berbanding politikus lama yang sarat kontroversi.
Dalam perbandingan yang sering diulang di media sosial, rekod pemenjaraan lampau Anwar dan episod mahkamah melibatkan Ahmad Zahid Hamidi dijadikan peluru persepsi untuk melemahkan moral autoriti kerajaan.
Hakikatnya, politik persepsi hari ini banyak ditentukan oleh emosi digital.
Satu frasa boleh mencetuskan gelombang.
“Melalak” menjadi simbol kepada sentimen lebih besar iaitu anak muda rasa tidak didengar, anak muda rasa dipandang rendah, dan anak muda rasa elit politik semakin jauh daripada denyut nadi rakyat.
Walaupun kerajaan mempunyai jentera komunikasi seperti Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) dan rangkaian penyokong maya, arus organik kemarahan sukar dibendung apabila ia lahir secara spontan daripada pengguna sebenar.
Desakan agar PRU16 dipercepatkan mungkin retorik, tetapi ia mencerminkan keresahan.
Tambahan pula, dengan spekulasi pilihan raya umum akan diadakan serentak dengan PRN Melaka dan Johor, setiap sentimen digital kini diperhati sebagai petunjuk awal arah angin.
Jika benar pola penolakan di media sosial mencerminkan realiti di peti undi seperti yang didakwa berlaku dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini, maka PH tidak boleh lagi bersandar kepada statistik makro semata-mata.
Lihat sahaja keputusan PRN Sabah bagaimana PH kalah teruk, maka tidak mustahil skrip yang sama akan diulangi di PRN dan PRU16 nanti.
Akhirnya, isu ini bukan sekadar tentang satu perkataan.
Ia tentang sensitiviti kepimpinan.
Dalam era media sosial, pemimpin bukan hanya dinilai melalui dasar, tetapi melalui diksi.
Satu istilah yang dianggap remeh boleh menjadi katalis perubahan persepsi.
Dan dalam politik Malaysia yang sentiasa berayun, persepsi sering kali lebih berkuasa daripada fakta.
Jika mesej yang ingin disampaikan adalah menyeru ketenangan dan rasionaliti, bahasa yang dipilih sepatutnya mencerminkan kebijaksanaan seorang negarawan.
Kerana apabila rakyat, khususnya anak muda, merasakan suara mereka dipanggil “melalak”, yang terhakis bukan sekadar sokongan, tetapi juga rasa hormat.
Dan dalam politik, kehilangan hormat adalah permulaan kepada kehilangan kuasa.
Melalaklah lagi, kelak di akhirnya siapa sebenarnya yang akan melalak.
KHALID HAMKA
Penganalisa Politik
