Jangan Sibuk Bergaduh Nak Tukar Juruterbang

Jangan Sibuk Bergaduh Nak Tukar Juruterbang



Kita umpama berada dalam sebuah pesawat udara dan tiba-tiba berlaku kebakaran dalam penerbangan.

Pada saat kritikal di mana semua anak kapal sepatutnya berikhtiar memadam api, sebaliknya mereka sibuk bergaduh untuk menukar juruterbang.

Mungkin tidak ramai menjangka kata-kata itu diungkap seorang menteri Kewangan.

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz rupa-rupanya bukan sahaja bijak menghitung wang, sebaliknya pintar beradab.

Di akhir cetusannya di sebuah akhbar Rabu lepas, Menteri Kewangan itu mencatat lagi. “Saya mendoakan agar kewarasan mengatasi kegilaan berpolitik.”

Nah dalam sungguh ungkapannya.

Biarpun nampak lembut dan gemar bermain dengan nombor, namun falsafah politiknya tinggi.

Menghayutkan jauh jagoan politik berusia emas.

Tengku Zafrul memecah kebejatan politik yang melanda sekarang.

Setidak-tidaknya pemimpin politik yang ada cita-cita peribadi merenung seketika.

Ketika kapalterbang terbakar apakah waras petugas mahu tukar pilot.

Setidak-tidaknya petugas dan penumpang sama-sama membantu memadam kebakaran.

Biarlah pilot mendarat pesawat dengan selamat.

Jangan pula ada kegilaan menukar pilot.

Biarlah semua penumpang selamat.

Begitu juga kondisi yang menimpa negara sekarang.

Ketika negara dilanda wabak yang menakutkan, masih ada pemimpin yang tidak pernah padam cita-cita politik.

Satu pihak mahu menjejaki semula impian lama.

Impian itu terbantut sejak 1998.

Ketika itu selangkah lagi Anwar Ibrahim akan bergelar perdana menteri.

Namun punah akibat konflik dengan Dr Mahathir Mohamad.

Kali kedua rezeki berulang semula.

Hanya sepurnama lagi Anwar akan bergelar perdana menteri.

Namun akibat keghairahan penyokongnya impian itu ranap begitu sahaja.

Bukan sahaja impian jawatan perdana menteri berkecai, sebaliknya mahligai dibina juga jatuh berkecai.

Dan hari ini Pakatan Harapan (PH) mengintai ruang untuk episod membalas dendam.

Tiba-tiba muncul keretakan yang dijelmakan sekumpulan kecil kerabat PN.

Seorang demi seorang menteri diajak menarik sokongan.

Malangnya ia berlaku ketika wabak masih mencanak.

Pada Selasa lepas Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan 11 ahli parlimen Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin.

Dan hari ini media melaporkan seorang lagi menteri meletak jawatan.

Sebaliknya hari ini juga Naib Presiden Umno Ismail Sabri menyebut 31 anggota parlimen BN kekal sokong kerajaan PN.

“Pendirian kami ahli parlimen junjung kasih dan junjung titah Yang di-Pertuan Agong iaitu perkenankan supaya kerajaan meneruskan pentadbiran dan akan menentukan keabsahan di parlimen,” katanya.

Seramai 18 ahli parlimen BN hadir pada sidang media itu, termasuk juga Presiden MCA Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Timbalan Presiden MIC M Saravanan (Tapah).

Manakala 10 lagi ahli parlimen tidak hadir kerana ada tugasan lain.

Mereka termasuk Khairy Jamaluddin (Rembau), Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas), Dr Adham Baba (Tenggara), Arthur Joseph Kurup (PBRS-Pensiangan).

Selain itu Hishammuddin Hussein (Sembrong), Mohamad Alamin (Kimanis), Zahidi Zainul (Padang Besar), Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya), Wee Jeck Seng (MCA- Tanjung Piai) dan Ahmad Hamzah (Jasin).

Biarpun Dr Noraini mengumumkan meletak jawatan hari ini, namun senarai namanya difahamkan bersama team Zahid sejak Selasa lepas.

Ketika krisis melanda rumahtangga Umno, muncul pula isu lain.

Hari ini juga muncul surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

RoS menyatakan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tetinggi (MKT) Umno mengenai penangguhan pemilihan parti itu tidak sah.

Kemelut bertimpa-timpa menimpa Umno.

Seputar politik yang berlaku sekarang membolehkan PH rehat seketika.

Begitu juga pembangkang lain.

Nampaknya Zahid seperti sukar untuk meredakan suasana.

Isu yang berligar itu sebenarnya seperti program realiti mencari siapa jaguh.

Namun sehingga sekarang nampaknya tiada parti yang mempunyai majoriti jelas.

Sebuah portal menganalisis PN memiliki 99 ahli parlimen, PH (89), pembangkang lain (29) dan Bebas (3).

Persoalannya siapa ‘king maker’ dalam situasi sekarang.

Parlimen akan bersidang penuh mulai 6 September ini dengan pembukaan dijadual dirasmikan Yang di-Pertuan Agong.

Selepas perbahasan usul menjunjung kasih dijangka usul undi percaya akan dibentang.

Ia bagi menentukan keabsahan kerajaan PN.

Namun dalam tempoh sebulan lagi pelbagai kemungkinan akan berlaku.

Umno bukan sekadar berdepan presiden hilang sokongan, sebaliknya surat RoS membuatkan luka lama berdarah kembali.

Mampukah pula PH menumpang semangkuk kemelut Umno.

Isyaratnya samar kerana Perhimpunan Agung Umno meletak syarat jelas tolak Anwar, ketepi DAP.

M FAQIH

Kolumnis