Perasaan yang berbelah bahagi, keliru dan bercampur baur, itulah yang dapat digambarkan oleh beberapa pemimpin UMNO yang berada dalam kabinet kerajaan.
Mereka bukannya tidak sayangkan parti keramat tetapi kondisi sekarang seperti diluah mati emak, ditelan mati bapa.
Tekanan parti yang tidak sabar-sabar untuk menumbangkan kerajaan sedangkan kerajaan ini direstui dan dipersembahkan kepada KDYMM Tuanku Yang Dipertuan Agong.
Keadaan ini menjadi lebih sulit apabila Presiden Parti YB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi gagal memberikan haluan sebenar parti sekiranya menarik sokongan kepada kerajaan.
Bilangan Ahli Parlimen UMNO-BN tidak boleh membentuk kerajaan melainkan terpaksa bergabung dengan PKR dan DAP.
Apa yang difikirkan oleh PARTI?
Dalam situasi sekarang, rakyat menampakkan bahawa presiden UMNO terdesak berbuat sedemikian kerana nyawa politiknya bagai telur di hujung tanduk dengan memikul banyak kes di mahkamah.
Kerajaan PN telah memegang prinsip bahawa setiap perbicaraan mahkamah tidak boleh di campur oleh kerajaan.
Oleh itu, Zahid perlu bertindak cepat untuk menyelamatkan dirinya sendiri menggunakan nama parti.
Adakah hanya saya sahaja yang nampak peristiwa ini?
Gesaan dan paksaan untuk ahli parlimen UMNO menarik sokongan dan meletak jawatan dalam kerajaan sebenarnya menunjukkan UMNO pentingkan diri sendiri daripada rakyat.
Dalam keadaan sekarang mereka lebih sayangkan parti daripada rakyat.
Omong-omong yang menyatakan mereka sayangkan rakyat nampak jelas seperti palsu semata-mata.
Jika benar mereka sayangkan rakyat, pemimpin UMNO sepatutnya bersama memerangi Covid-19 bukannya bertelagah mencari kuasa.
Jika hendak kuasa pun ia sudah diberikan kepada pemimpin UMNO sehingga dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Barangkali pelantikan ini tidak direstui kerana tidak melantik Presiden Parti UMNO sebagai TPM yang sedang bergelut dengan banyak kes mahkamah.
Tindakan beberapa pemimpin UMNO yang meletak jawatan semasa peperangan sebenarnya boleh dikatakan bahawa mereka lebih sayangkan parti daripada rakyat atau lebih sesuai sayangkan nyawa presiden parti daripada nyawa rakyat.
Menteri Pengajian Tinggi yang meletak jawatan dan membiarkan mahasiswa terpinga-pinga dengan sistem pendidikan di fasa Pandemik menjelaskan bahawa YB Dato Seri Dr Noraini lari daripada tanggungjawab dan lari daripada medan peperangan.
Nyawa Presiden lebih penting daripada nyawa Mahasiswa.
Dalam keadaan ini, UMNO sepatutnya mengambil peluang untuk memulihkan imej dan kembali mendapat sokongan rakyat.
Tindakan jalang seperti ini akan merosakkan kepercayaan rakyat kepada UMNO sendiri yang pernah berkudis sebelum ini.
Mereka tidak merawat luka bahkan mencari penyakit yang lain sedangkan luka itu masih merebak hampir ke seluruh badan.
Saya sebenarnya bingung dengan tindakan UMNO.
Semasa di persandingan, UMNO merestui tetapi selepas majlis selesai UMNO tidak bersetuju dengan perkahwinan ini.
Alasannya besan tidak melayan dengan baik semasa di dalam majlis.
UMNO hendak dilayan seperti pengantin bukan seperti tetamu…
Apa ni?
Kesimpulannya, jika UMNO memilih untuk menarik sokongan kepada kerajaan, apa pula pilihan UMNO untuk bentuk kerajaan?
UMNO hendak pilih PKR atau DAP.
RAKYAT PILIH YANG MANA?
Wan Mahussin Wan Zain
Ketua PEMUDA UMNO PDM Ayer Chanal