Ahli PAS Kekal Tenang

Ahli PAS Kekal Tenang

Tempoh 17 bulan memberi peluang kepada PAS untuk menimba pengalaman sama ada sebagai menteri atau bekerja di kementerian.

Pengalaman itu sangat baik, berharga dan bernilai sebagai bekalan kekuatan PAS pada masa-masa yang mendatang.

Kita sangat beruntung dengan pengalaman itu.

Menteri, timbalan menteri dan pegawai-pegawai lantikan politik PAS sekurang-kurangnya telah menonjolkan dan memperkenalkan PAS kepada pegawai-pegawai tertinggi kementerian, kerajaan dan rakyat.

Ia membuka mata rakyat bahawa PAS bukan sahaja boleh memerintah negeri, tetapi juga boleh dan mampu berperanan di peringkat kerajaan persekutuan.

Pengalaman dalam kerjasama politik dan kerajaan persekutuan untuk kali kedua selepas tahun 1972 ini pastinya lebih mematangkan PAS dalam mengenali dan menghadapi kawan dan lawan.

Penerokaan demi penerokaan strategik dan pendekatan kerjasama bermula dengan bersama Parti Negara dalam PRU 1959, bersama Perikatan 1972, BN 1974, Angkatan Perpaduan Ummah 1990, Barisan Alternatif 2000, Pakatan Rakyat 2008, Gagasan Sejahtera, Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional akan mengkayakan lagi pengalaman PAS untuk melangkah ke depan.

Kerja-kerja PAS akan terus berjalan.

Sama ada semasa jadi pembangkang mahu pun kerajaan.

Kerana kewajipan memperjuangkan Islam ini kekal sehingga hari kiamat.

Semasa ruang sangat terbuka sebagai sebahagian dari kerajaan, PAS manfaatkan sepenuhnya untuk buat perubahan setakat termampu, sampaikan dan bawa mesej Islam.

Seandai sebaliknya, PAS sudah biasa sebagai pembangkang.

Sementelah pula apa yang sedang dan akan berlaku sehari dua ini belum dapat ditentukan.

Jentera PAS akan terus memperkasakan tarbiyah membina jatidiri sebagai pejuang Islam.

Kerja-kerja kebajikan dan dakwah akan terus berjalan lantaran itulah kerja PAS.

Usaha meramaikan ahli terus berjalan mengikut target yang ditetapkan.

Mudah-mudahan rakyat juga membuka mata mereka melihat bagaimana kepimpinan PAS disibukkan dengan khidmat bakti kepada rakyat semasa dalam kerajaan mahu pun sebelumnya.

Sehingga ke saat ini, belum nampak mana parti atau individu yang mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik sebagai PM.

Sudah pasti dalam tempoh masa yang ada ini akan berlaku perbincangan antara semua parti ke arah tersebut.

Kita ahli PAS kekallah terus berdoa dengan doa yang telah disebarkan.

اللهم ول أمورنا خيارنا ولا تول أمورنا شرارنا

“Ya Allah lantikan untuk urusan kami (dalam pemerintahan) orang yang terbaik daripada kalangan kami. Dan janganlah Engkau lantik untuk kami orang yang terburuk dari kalangan kami.”

Ahli hendaklah bersatu hati terus memberi kepercayaan kepada pucuk pimpinan untuk mengambil langkah yang difikirkan terbaik dalam situasi ini selagi tidak bercanggah dengan kaedah-kaedah agama.

Kekuatan kita ialah kekuatan kesatuan dan disiplin.

Ketepikan sebarang bisikan syaitan yang akan mengambil peluang menghasut dan merosakkan jamaah dalam situasi seumpama ini.

Manfaatkan masa yang ada untuk terus mendekati anak muda yang akan menjadi penentu dan pemimpin masa depan.

Dekatilah mereka.

Sedarkan mereka.

Bimbing mereka dan didiklah mereka.

Janganlah suasana wabak pandemik dan pergolakan politik yang berpanjangan, menjadikan mereka terabai.

Merekalah pencorak dan pemimpin masa depan.

Kewajipan ini juga adalah keutamaan.

Terus mengikut strategik dan halatuju yang telah diputuskan oleh jemaah.

Agenda penyatuan ummah tetap menjadi keutamaan.

Untuk menyatukan ummah memerlukan pejuang yang berjiwa besar dan berlapang dada.

Jangan mudah melatah dan berakal pendek.

Ingatlah bahawa sunnah perjuangan ini jaraknya jauh, panjang dan penuh dengan duri.

Teruskan usaha membimbing masyarakat dan rakyat dengan Islam.

Penguasaan politik mesti terus diseimbangkan dengan kuantiti penyokong dan kuantiti para pendokong.

Usah keterlaluan bernostalgia.

Kita usahakan yang terbaik saat sesuatu belum berlaku.

Apabila ia telah berlaku, maka kembali segera kepada qadha’ dan qadar Allah SWT.

Pasti ada hikmahnya.

Gerakkerja dakwah, kebajikan, tarbiyah, perkaderan, politik dan persiapan pilihanraya mesti terus berjalan.

Kita mesti optimis terhadap masa depan Islam.

Ayuh, kafilah.. teruskan perjalanan ke gerbang jasa!

Kalah menang bukan alasannya..

Ustaz Hazmi Dibok

Kolumnis