Sayangnya Allah Kepada Muhyiddin Yassin

Sayangnya Allah Kepada Muhyiddin Yassin

Allah uji beliau dengan kanser yang parah, kemudian Allah sembuhkan.

Allah uji dengan putaran ganas politik, kemudian Allah jadikan Perdana Menteri.

Allah uji dengan pandemik dahsyat, kemudian diganti kejayaan vaksinasi.

Allah uji dengan hutang besar dalam keadaan pandemik, kemudian dengan kuasa Allah jua kerajaan Amerika, FBI, Goldman Sachs, Riza Aziz, dan Jho Low pulangkan semula wang rakyat.

Cubalah anda tanya kepada diri sendiri, kenapa para petani, nelayan, suri rumah, dan golongan rakyat susah hari ini sangat bersedih apabila Muhyiddin meletakkan jawatan?

Jawapannya kerana dalam keadaan pandemik yang mencengkam sejak lebih setahun lalu, beliau berusaha keras menyalurkan berbilion bantuan kepada setiap lapisan.

Demi Allah, Satu sen saya tidak dibayar mana-mana parti atau ahli politik.

Satu sen pun saya tidak rugi dengan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin.

Tapi Hati saya luluh, demi kebenaran saya gagahkan juga untuk tulis bukan hanya kepada penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin, tapi juga kepada penyokong Anwar Ibrahim, Najib Razak, Tun Mahathir, Tengku Razaleigh, dan semua yang membaca saat ini.

Demi Allah tidak sedikit ada rasa benci saya kepada Anwar, Najib, Ku Li, Zahid Hamidi, apatah lagi kepada Tun Mahathir.

Betapa banyak hutang peneroka FELDA dihapuskan di bawah Tan Sri Muhyiddin, berapa banyak bantuan diberi kepada pelbagai sektor, dalam keadaan terpaksa menyerap kos pembelian vaksin, disamping hutang baru dibuat demi suntikan fiskal dirancang?

Betul, beliau diamanah jawatan Perdana Menteri dengan sokongan ahli parlimen yang kontroversi.

Tapi anda tanyalah dalam lubuk hati anda, apa pilihan beliau ada?

Dalam keadaan PH sendiri yang letak jawatan tengah-tengah pandemik, dalam keadaan UMNO beri syarat sokongan ‘en bloc’, dengan PH yang bertindak potong berbilion-bilion bantuan rakyat malah siap beri amaran ‘rakyat jangan berharap bantuan kerajaan’, ‘rakyat jangan harap wang percuma’, ‘kerajaan nak bankrap tak boleh beri bantuan’, dan sebagainya?

Anda tanyalah sendiri apa perasaan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) bujang yang hanya 27 sen sehari di bawah PH.

Anda turun dan tanyalah nelayan yang dipotong Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) oleh PH sebanyak RM9 juta.

Anda tanyalah penanam padi yang PH potong Subsidi baja padi sebanyak RM233 juta dalam bajet 2019.

Tanyalah mereka juga tentang Insentif Pengeluaran Padi yang dipotong PH sebanyak RM282 juta.

Cubalah selami perasaan nelayan tentang Elaun Sara Hidup Nelayan dan Insentif Hasil Tangkapan Nelayan mereka yang dipotong PH sebanyak RM164 juta.

Anda turunlah ke lapangan dan tanyalah pengusaha padi bukit yang dipotong Subsidi Baja Padi Bukit/Huma dipotong 100% oleh PH sebanyak RM70 juta dalam bajet 2019.

Ringkasnya anda tanyalah diri sendiri apa kesannya kepada para petani dan nelayan kecil bila PH potong peruntukan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hampir RM1 bilion lebih dalam bajet 2019 dulu.

Itu belum lagi dikira kos U-turn projek infrastruktur rakyat seperti ECRL, HSR, MRT3.

Malah demi bantu kontraktor tempatan akibat pandemik, projek HSR dibatal PN, diganti projek 100% untuk kontraktor tempatan.

Itu belum lagi dikira bencana penghapusan GST berganti SST yang lonjakkan kos serta mengimpak kebergantungan kerajaan pada PETRONAS dengan negatif.

Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sempurna, memang tidak sempurna.

Tapi dalam keadaan pandemik beliau berusaha sehabis daya; moratorium yang dituntut, KWSP, bantuan PKS, usahawan mikro, dan sebagainya.

Apakah tidak boleh ditunggu sedikit saja lagi sehingga imuniti berkelompok dicapai barulah dibuat langkah politik menukar kerajaan dan pilihan raya?

Sungguh, Allah jualah yang berkuasa menjatuhkan seseorang pemimpin, Allah jualah yang berkuasa mengangkatnya kembali.

Sama-sama kita doakan, jika benar Tan Sri Muhyiddin Yassin seorang yang membuat kerosakan besar dan dahsyat, jika benar beliau menindas rakyat susah dengan sengaja, janganlah Allah mengembalikan beliau sebagai Perdana Menteri dan tamatlah riwayat politik beliau segera.

Moga Allah gantikan beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, atau Datuk Seri Ismail Sabri, atau Tengku Razaleigh, atau Datuk Seri Najib Razak, atau Datuk Seri Zahid Hamidi, atau sesiapa sahaja yang lebih baik, lebih sayangkan orang susah, lebih mampu mendapatkan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Namun, jika beliau sudah berikhtiar sehabis daya untuk orang susah dalam keadaan pandemik, tetapi berdepan tiada banyak pilihan rakan-rakan yang menyokong, moga Allah kembalikan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke kedudukan yang selayaknya untuk meneruskan proses pemulihan negara.

“Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki.

“Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki.

“Di tangan Engkaulah segala kebajikan.

“Sungguh, Engkau Mahakuasa atas segala sesuatu”.

Abdul Muein Abadi

Kolumnis