Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata pelantikan Ahli Parlimen Pagoh itu merupakan kesinambungan tugas yang telah dimulakan ketika menjawat jawatan Perdana Menteri.
Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersesuaian dengan pengalamannya dalam menangani pandemik COVID-19.
Justeru, Abdul Hadi yang baru dilantik semula sebagai Duta Khas Ke Timur Tengah berharap gandingan Muhyiddin bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat melancarkan usaha dan perancangan memulihkan negara.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.
“Pelantikan ini sebagai suatu kesinambungan tugasan yang telah dimulakan oleh beliau, sesuai dengan pengalamannya dalam menangani pandemik COVID-19.
“Semoga gandingan beliau bersama YAB Perdana Menteri mengharapkan segala usaha dan perancangan memulihkan negara berjalan lancar, demi menjamin kelangsungan hidup dan kestabilan ekonomi rakyat,” kata Ahli Parlimen Marang itu dalam kenyataan di Facebook.
Media semalam melaporkan Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri.
Mohd Zuki dalam kenyataannya dipetik sebagai pelantikan Muhyiddin berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet pada 1 September lalu dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Muhyiddin dalam satu kenyataannya mengesahkan beliau sedia menjalankan tugas sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.
Muhyiddin juga menegaskan, kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan merupakan amanah untuk beliau meneruskan segala usaha dan perancangan yang dimulakan sebelum ini bagi memulihkan negara daripada kesan wabak COVID-19