Deru ombak dan angin pantai Port Dickson menampar-nampar lembut wajah, aroma wangian pagi penghujung Rabiul Awwal sebagaimana segarnya ukhuwwah dan persahabatan dalam jamaah Islam ini.
Dengan langkah dan derapan bergaya pimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia mengiringi langkah Timbalan Presiden PAS Dato Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk merasmikan Muktamar Kali ke 62 dan para muktamirin dengan bilangan yang terhad di Hotel Corus paradise kelihatan teruja mengikuti ucapan tema dan ucapan perasmian.
Segalanya nampak berbeda dengan tradisi muktamar pemuda PAS sebelum ini, namun pandemik telah merubah segalanya.
Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat jika menurut norma yang biasa turut dihadiri tetamu-tetamu jemputan daripada dalam dan luar negara, contohnya wakil HAMAS, Ikhwanul Muslimin, Partai Keadilan Sejahtera, pernah ada wakil daripada Afghanistan dan Turki serta pelbagai gerakan Islam yang lain.
Rakan rakan parti bersama dalam pemuafakatan politik serta pelbagai NGO.
Muktamar Pemuda PAS Pusat pernah mengundang pemuda UMNO, termasuk pada tahun 2018 ramai khalayak mencuri perhatian kepada Dr Asraf Wajdi, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang turut menjadi tetamu.
PAS sebagai sebuah harakatul ummah yang sentiasa berjiwa besar dan mendepangkan tangan kepada apa sahaja usaha memartabatkan Islam di tanah leluhur ini.
Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat semenjak tiga tahun lepas, keberadaannya di medan siasah dan dakwah negara ini sentiasa membuncah energi, merubah lanskap politik dalaman PAS dan menjadi penanda aras akan keberhasilan PAS dimedan operasional.
Dewan Pemuda bermula dengan namanya Dewan Pemuda Islam ditubuhkan pada tahun 1953, dipimpin oleh Ustaz Ahmad Badawi.
Ramai kalangan aktivisnya pada dekad 50an ialah para penggerak sekolah agama rakyat seperti Ustaz Hasan Adli, Ustaz Yunus Yatimi dan lain-lain nama besar dalam perjuangan.
Tidak pelik jika Muktamar Pemuda PAS Pusat diadakan di sekolah agama rakyat sebagai simbolik pasak kekuatan “parti lebai” ini.
Sejujurnya, Dewan Pemuda PAS Pusat adalah entiti parti yang paling dinamik, memicu pesona serta menelurkan pelbagai idea penting kepada badan induk jamaah ini.
Sebagai sayap penting, jauh daripada sikap mengampu dan merasa selesa dengan kondisi yang ada.
Dewan Pemuda PAS adalah kilang tajnid serta melahirkan generasi pimpinan PAS disepanjang zaman.
Dewan Pemuda antara yang mengusahakan supaya PAS dipimpin oleh seorang sosok besar perjuangan dan maestro politik iaitu Dr Burhanudin al Helmi. Ustaz Hasan Adli pada tahun 1956, mengusahakan agar Dr Burhanudin menjadi tonggak utama PAS.
Tokoh besar yang berdoktorat daripada Universiti Aligagh India ini bukan kepalang jasanya kepada perjuangan ummah, pernah mendekam dalam penjara British pada pada tahun 1935, 1937 dan pada tahun 1950.
Malah dizaman pemerintahan PERIKATAN, almarhum ditahan dibawah ISA.
Dewan Pemuda dalam dekad 1970an menjadi rakan kongsi strategik dalam pemuafakatan politik, dimana terlantiknya Ketua Dewan pemuda PAS Pusat saat itu, Dato Mustapha Ali sebagai Timbalan Menteri.
ABIM dalam dekad itu sebagai rakan simbiosis yang akrab dengan Dewan Pemuda PAS, mencetak kader-kader dakwah dikalangan anak-anak muda.
Muktamar Dewan Pemuda PAS yang telah berlangsung di Madrasah Masriyyah Bukit Mertajam pada tahun 1982 telah meluluskan usul kepimpinan ulama.
Usul penting inilah yang membentuk orientasi perjuangan PAS sehingga kini.
Pemuda PAS telah melangkah gagah dipelbagai sektor, mereka memulakan rangkaian jaringan pendidikan PAS.
Bermula dengan pendidikan pra-sekolah PASTI, merambah kepada SRITI dan SMITI, menjadikan PAS sebagai satu-satunya gerakan Islam didunia ini yang mempunyai kitaran lengkap tarbiah nizomi, daripada pra-sekolah sehinggalah kolej Universiti.
Gerakerja kebajikan dan kemasyarakatan secara munazzomah dicetuskan oleh Dewan Pemuda dengan munculnya Unit Amal yang kemudiannya dijenamakan sebagai Jabatan Amal.
Pelbagai jaringan sivil, gerakan swadaya masyarakat digerakkan oleh Dewan Pemuda, yang akhirnya PAS dilihat mesra rakyat pada kacamata masyarakat awam.
Dimana ada bencana dan tragedi dalam dan luar negara, maka entiti PAS terus berada di barisan paling hadapan sehingga diyakini publik.
NGO, jaringan sivil yang dibidani oleh Dewan Pemuda PAS Pusat terus menyebar kebaikan dan kepedulian ummat dipelbagai peta luka umat Islam.
Dewan Pemuda PAS terus menjaring dan merengkuh pelbagai sektor masyarakat untuk menyertai PAS.
Antaranya dengan ARC, menjadikan kelompok anak-anak muda yang minat dalam bidang pemotoran terasa disantuni oleh harakatul ummah ini.
Akademi Kepimpinan Pemuda terus mencetak kepimpinan yang kompeten dan berdaya saing, malah jentera tajnid Dewan pemuda terus mengilang kader-kader dakwah yang istiqomah memperjuangkan Islam.
Pemuda PAS juga menerokai ruang intelektual dengan mengadakan wacana, dialog, seminar untuk menguasai pasaran kelas menengah masyarakat pengundi.
Dewan Pemuda PAS yang menghampiri tujuh dekad perjuangan ini telah meninta perjuangan ini dengan catatan emas.
Merekalah paling ramai mendekam dalam tahanan ISA, dibunuh, dibuang daerah serta dikucilkan oleh jentera regim penguasa.
Maka jangan dirosakkan kegemilangan sejarah emas Dewan Pemuda ini dengan pemuda yang berwatak selesa, dingin intelek serta suram idea-idea baru.
Pemuda “berkain batik” yang memualkan, jauh daripada idea besar, pengampu nombor wahid (pemuda peringkat cawangan dan kawasan), terikut dengan arus budaya popular yang menyesakkan dada!
Muktamar Pemuda PAS Pusat Kali ke 62 ini adanya ruang memilih saf Kepimpinan, maka pilihlah saf qiadah pemuda yang mempunyai pakej lengkap kompetensi, mempunyai tampang pemuda haraki dan Sufi, memadukan antara kemapanan ilmu dan keberanian dilapangan Amal.
Teruskan era pengukuhan jamaah ini serta usaha menarik seluruh sektor masyarakat untuk belayar dalam bahtera ini.
Pemuda adalah benteng paling ampuh, dada mereka adalah perisai jamaah.
Tulang belulang mereka adalah segenggam kekuatan untuk kayuhan bahtera ini menggapai kemenangan dan mardhotillah.
Terjemahkan dilapangan Amal Ucapan Tema Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, YB senator Ir Khairil Nizam “MEMACU PERPADUAN”, moga Allah merahmati kalian wahai anak muda.
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Mantan Ketua Penerangan DPP Malaysia)