Mengenali Figura PAS Yang Dipilih Oleh Perwakilan Muktamar Kali 67

Mengenali Figura PAS Yang Dipilih Oleh Perwakilan Muktamar Kali 67

Tujuh dekad perjuangan Islam yang dimotori oleh PAS sarat dengan pengalaman memilih pemimpin.

Uniknya PAS ini, pemimpin dalam jamaah boleh datang dan pergi namun kafilah tetap terus berjalan membawa panji perjuangan Islam.

Muktamar Kali ke 67 ini berlangsung dalam suasana pandemik namun tetap meriah dengan acara memilih pemimpin bagi dua tahun mendatang.

Perwakilan Muktamar telah memilih saf kepimpinan sesi 2021-2023, membariskan calon-calon pelbagai latarbelakang untuk menggerakkan bahtera kepimpinan PAS di zaman edan yang semakin mencabar ini.

PAS diratib namanya oleh kawan dan musuh atas apa jua alasan, menunjukkan harakatul ummah ini sangat relevan dan signifikan dalam iklim politik dan dakwah dalam negara ini.

Antara mereka yang dipilih oleh perwakilan ialah Ustaz Khalil Abdul Hadi, mantan Ketua Dewan Pemuda sesi 2017- 2019.

Anak butir Presiden PAS ini adalah ADUN Batu Buruk yang mendapat pendidikan di Pakistan, Yaman, United Kingdom dan sedang menyiapkan ijazah Kedoktoran dalam bidang Pengajian Islam.

Suami kepada Dr Farhana Hasbullah ini juga memiliki lima orang cahayamata.

Beliau mengikuti misi “Food Flotilla For Mynmar ” pada Februari 2017 serta aktif dalam penulisan.

DS Haji Sanusi Mohd Nor, Menteri Besar Kedah dipilih oleh perwakilan Muktamar adalah penggerak utama PasRelief.

Beliau merupakan ADUN Jeneri Kedah serta bekas SETPOL DS Ustaz Azizan Razak (Menteri Besar Kedah 2008-2013).

Ir Senator Haji Khairil Nizam, bapa kepada 11 orang anak ini merupakan mantan Ketua DPP Malaysia sesi lepas.

Calon ijazah PhD ini adalah anak kelahiran Perak yang menamatkan pengajian di UTP untuk S1 dan S2.

Ir Senator Haji Khairil Nizam merupakan jurutera Syarikat minyak sebelum dilantik menjadi anggota legislatif yang membawa suara anak-anak muda di Dewan Negara.

Mantan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat yang energetik, Hajjah Siti Zailah Yusuf.

Seorang tokoh muslimah yang semenjak muda bergulat dimedan jamaah.

Alumni UiTM dan juga mendapat pendidikan pondok, wanita besi ini terkenal kerana reputasinya membantu rakyat di Kelantan.

Kini sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita yang sangat energetik.

Exco kerajaan Kelantan potfolio Pendidikan Dan Pengajian Tinggi, Dr Fadzli Hassan bekas pensyarah UIAM lahir daripada rahim tarbiah PAS semenjak remaja dan mendapat doktorat daripada Universiti Birmingham United Kingdom dalam kajian Pengislaman undang-undang Perlembagaan.

Anakanda kepada Almarhum Ustaz Hasan Kaabah yang juga pemimpin PAS Kelantan.

Dato Ar. Iskandar Abdul Samad, alumni MCKK yang membesar di Lembah Klang.

Anak bekas pekerja Utusan Malaysia yang gigih belajar dan meneroka pengalaman.

Beliau belajar Senibina di Universiti Humberside United Kingdom.

Semenjak usia muda membangunkan kerja jamaah di kawasan Ampang dan Pandan.

Mantan Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan kerajaan Selangor selama dua penggal.

Dr Ali Akbar Ghulasan, mantan pensyarah UMS terpilih juga pada kali ini merupakan berdarah kacukan Pakistan.

Aktif dalam merencah program dakwah serta kebajikan di negeri bawah bayu.

ADUN Sabah ini adalah alumni Universiti Malaya, mendapat pendidikan tertiari di UKM Bangi.

Turut terpilih kali ini ialah Timbalan Menteri Agama, Dato’ Ahmad Marzuk Saari.

MP Pengkalan Chepa ini mendapat pendidikan tinggi di Jordan seterusnya MA di USM, beliau kini sedang menyiapkan ijazah PhD di Universiti Malaya.

Anak tuan guru pondok yang terkenal di Pasir Mas, Ustaz Dato’ Nasaruddin Daud “singa kelantan” yang menjadi tarikan pesona utama masyarakat ke ceramah dan kuliah anjuran PAS.

Anakanda Tuan Guru Haji Daud Meranti ini telah mencicip ilmu di Universiti al-Azhar.

Beliau merupakan Exco Kerajaan Kelantan dengan potfolio Penerangan, Agama dan Seranta.

Beliau menjadi anggota legislatif semenjak berusia 27 tahun.

Dato’ Ahmad Amzad Hashim antara muka baru yang dipilih oleh perwakilan Muktamar Kali ke 67.

MP Kuala Terengganu ini juga adalah Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi.

Beliau merupakan alumni SESMA Kuala Terengganu, sebuah sekolah berprestij dan mendapat pendidikan tinggi di UKM Bangi.

Sosok aktivis muslimat berdarah keturunan Cina serta aktivis tegar Yayasan Amal Malaysia, Dr Halimah Ali dilahirkan di Marudi Sarawak, mantan Ketua Urusan Muslimat Persatuan Mahasiswa Islam Tasmania, mendapat pendidikan di Elizabeth Matriculation College, Hobart Tasmania, seterusnya memperolehi Ijazah Perubatan daripada Universiti Tasmania.

Mantan Exco Selangor dan mantan ADUN Selat Klang ini juga mempunyai Diploma Tasawwur Islam ILHAM.

Exco Pertanian kerajaan Terengganu yang juga ADUN Jabi.

Dr Azman Ibrahim adalah anak kelahiran Besut Terengganu pula mendapat pendidikan di Matrikulasi Universiti Malaya.

Mendapat Ijazah Pergigian di Universiti Baghdad Iraq, seterusnya berkhidmat dengan Hospital kerajaan sebelum mempunyai Kliniknya sendiri di Kubang Kerian Kelantan.

Azman juga adalah pengasas grup penulis dan wartawan yang dikenali sebagai KAMI.

Anak Perak yang piawai, Dr Najihatussalehah Ahmad, merupakan AJK Dewan Muslimat PAS Pusat yang aktif.

Beliau bergraduat daripada Universiti Malaya dalam bidang Perubatan dan aktif dengan gerakan Mahasiswa Islam semenjak di alam kampus.

Figura ini mempunyai keunikan lain seperti mampu berbahasa mandarin dan aktif dalam kerja kebajikan.

Berasal daripada Kelantan serta usahawan minyak yang berjaya, Kamaruzaman Mohamad, mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan ialah Ketua Penerangan PAS Pusat sebelum ini.

Beliau memiliki ijazah Sains Pendidikan daripada kampus UPM serta Ijazah Sarjana daripada Universiti yang sama dalam bidang Pengurusan Teknologi Maklumat.

Figura ini juga adalah calon PhD di sebuah universiti tempatan.

Ustaz Nasrudin Hasan anak kelahiran Besut yang pernah memimpin Dewan Pemuda PAS Pusat.

Dibesarkan di Rompin, bermukim ilmu di Pondok Pasir Tumbuh Kelantan, Pondok Sungai Durian, Syria dan Al-Azhar Mesir.

Beliau penulis yang prolifik, mantan Ahli Parlimen Temerloh pada sesi 2013-2018.

Kini beliau adalah Yang Dipertua YADIM, badan dakwah yang penting dalam negara ini.

Mantan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfoz Mohamed juga telah dipilih oleh perwakilan Muktamar.

Bekas pensyarah Universiti Malaya ini adalah alumni Al-Azhar serta mendapat PhD daripada kampus United Kingdom.

Sosok ini juga sangat hebat kerana berapa zuriatnya turut menjadi pimpinan PAS didalam Dewan Ulama PAS dan juga Dewan Pemuda PAS.

Aktivis kebajikan yang merupakan alumni Universiti Malaya, Dr Hajjah Rosni Adam turut terpilih dalam membarisi kepimpinan PAS.

Beliau semenjak zaman muda adalah penggerak utama muslimah di Johor, seterusnya di Kuala Lumpur.

Isteri kepada Cikgu Syawal Yamon ini juga mempunyai klinik pergigian sendiri di Kuala Lumpur.

Naib-Naib Presiden pula mempunyai latarbelakang pendidikan yang piawai serta penglibatan sosiopolitik yang mapan semenjak remaja.

Menteri Agama iaitu YB Senator Ustaz Idris Ahmad yang juga bekas pensyarah UITM.

Anak jati Bukit Gantang ini pernah menjadi johan Pidato peringkat kebangsaan semasa belajar di KIK/ KISAS.

Beliau adalah pemimpin pelajar di UKM dan memimpin juga gabungan bertindak mahasiswa dalam menanggani pelbagai isu.

YB Senator ini mendapat ijazah Pertama dan MA daripada UKM Bangi.

Ustaz Idris Ahmad pernah menjadi Ahli Parlimen Bukit Gantang pada sesi 2013-2018.

Beliau memimpin Lujnah Tarbiah Dan Perkaderan PAS dengan berkesan dengan penyusunan kurikulum yang sistematik.

Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga ADUN Panchor, Dato Nik Amar Nik Abdullah, bekas Ketua Pelajar Maahad Muhammadi Kelantan.

Wataknya sederhana dan mudah didekati, mewarisi darah ulama terkenal tanahair kita, iaitu Tok Ayah Kedah.

Anak tokoh PAS Kelantan yang tersohor, Ustaz Nik Abdullah Arshad, beliau mempunyai M(Phil) daripada Universiti Birmingham United Kingdom.

Nik Amar adalah mantan pensyarah UIAM.

Sebelum pulang berpencak di Kelantan, Dato Nik Amar adalah pemimpin Dewan Pemuda PAS di Wilayah Persekutuan.

Anak kelahiran Besut yang kini Naib Presiden PAS paling muda, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar adalah Menteri Besar Terengganu yang berjaya memacu kemajuan negeri Tok Ku Paloh sejak PAS mengambil alih negeri ini mulai 9 Mei 2018.

Mantan Setpol Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ini ialah pakar aero angkasa Malaysia, mendapat pendidikan tinggi di UKM dan berdoktorat daripada Universiti Leeds United Kingdom.

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

(Penulis ialah AJK PAS Pusat mulai 2013, PhD UKM, Anggota misi bantuan tanpa sempadan, Penulis 60 buah buku)

Kolumnis