Sabtu lalu, saya dan rakan-rakan di Qatar, berpeluang mengikuti usrah online bersama pimpinan PAS.
Biasanya hari Sabtu adalah hari pilihan kami mengadakan program ini.
Kali ini Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh menjadi tetamu jemputan kami bagi memberikan nasihat dan ilmu-ilmu supaya insyaallah kami akan menjadi lebih kuat untuk bersama jemaah menghadapi cabaran.
Pada permulaan majlis, beliau menjadikan tragedi banjir yang sedang berlaku ini sebagai muhasabah diri.
Perlunya kita melihat ia sebagai peringatan dari Allah.
Betapa segala yang ada, hanyalah pinjaman, sekelip mata sahaja, ia boleh diambil semula.
YB Senator juga memberikan beberapa hadis, antaranya kekuatan tentera Islam tidak akan terkalahkan jika ada seramai 12 ribu orang.
Sudah tentulah tentera yang kuat sebegini antara kriteria utamanya ialah keikhlasan tinggi kepada Allah.
Mereka faham akan kehendak Allah iaitu dengan ilmu, mereka percaya kepada janji Allah iaitu iman dan akhirnya ikhlas adalah penentu kejayaan perjuangan.
Sebagaimana bait lirik lagu PAS, ‘biar syahid ataupun kemenangan’.
Ahli PAS mesti istiqamah atas jalan ini.
Tiada jalan lain. Ia tiada dalam gerakan lain.
Namun saya tertarik dengan jawapan yang beliau berikan kepada soalan saya iaitu berkenaan pertalian DMPP dan Pergerakan Wanita Umno dalam menyahut seruan Presiden PAS untuk mengukuhkan MN dan mempertahankan PN.
Katanya DMPP ada mengajak Wanita Umno bagi bersama melakukan kerja-kerja bukan politik seperti bersama-sama mengadakan majlis bacaan yaasin.
DMPP tidak berputus asa.
Namun kelihatannya Wanita Umno memilih untuk tidak bersama buat masa ini.
Tetapi DMPP berjaya mengekalkan program-program dakwah bersama dengan Wanita PN.
Ada juga isu tidak bertudung, DMPP menyalurkan teguran secara berhemah, atas nama sahabat, tidak kira parti mana.
Apalagi kepada PN yang menjadi rakan politik.
Terbukti dalam PRN Melaka, seorang calon PN akhirnya bertudung.
YB menyatakan ini semua adalah kerana menyahut seruan dakwah Rasulullah.
Semua manusia adalah umat Rasulullah.
Kebimbangan beliau jelas kerana semua akan dipersoalkan nanti.
Ia bukan berkaitan survival politik sahaja.
Tindakan-tindakan sebegini memerlukan keberanian dari dalam hati yang kemudian dizahirkan melalui perbuatan.
PAS tidak mahu mengejar dunia tanpa akhirat.
Meluruskan keadaan manusia yang bengkok, bukan kerja mudah.
Ia kerja para anbiya’ yang mempunyai keteguhan peribadi dalam menjayakan amar makruf, nahi mungkar.
Menarik juga, ketika anak buah YB mahu keluar kereta (usrah online dijalankan dalam kereta kerana YB sibuk dengan pergerakan meninjau keadaan banjir) saya terdengar YB mengucapkan ucapan memohon kemaafan zahir dan batin kepada anak buahnya.
Tidak mudah bagi seorang pimpinan yang mendahului memohon maaf.
Tetapi jika ia sentiasa diamalkan, maka tidak kekok dia berkata begitu.
Sikap memuliakan orang lain ini, mesti menjadi contoh seluruh muslimat PAS.
Saya yakin dan percaya, dengan kelembutan dan kesederhanaan YB Senator dalam berpolitik, akan memberikan kejayaan kepada usaha dakwah yang dilakukan oleh DMPP.
YB mesti diangkat bagaikan seorang ibu oleh golongan muda agar senang untuk hati mereka dijinakkan.
Ditambah keadaan semakin mencabar DMPP dengan pertaruhan pengundi berusia 18 tahun dalam PRU nanti.
Dan saya juga berharap agar impian DMPP untuk mendapatkan ruang dan peranan yang lebih besar dalam pengurusan pengundi muda terutama yang berada di IPT, yang sekarang ini di bawah Dewan Pemuda, akan dapat direalisasikan.
Semoga DMPP akan terus maju jaya di bawah YB Senator Ustazah Nuridah Salleh.
Mohd Nasir Abdullah
