Kerja Sukarelawan PAS

Kerja Sukarelawan PAS

Jadi isu sehari dua ini tentang politik gambar dalam misi bantuan banjir.

Hinggakan seorang Imam masjid pun memberi respon terhadap apa yang berlaku.

Isunya timbul apabila tersebar sedutan video apabila PM Ismail Sabri menceduk pasir sebagai gimik dan Rina Harun dirakam menggunakan ‘waterjet’ untuk mencuci lantai yang sudah kelihatan bersih.

Penulis tidak bercadang untuk mengulas dua insiden itu secara khusus.

Sebenarnya kerja wakil rakyat atau pemimpin negeri dan negara bukan diharapkan untuk buat kerja-kerja yang boleh dilakukan oleh anggota agensi kerajaan dan masyarakat awam begitu.

Sebagai pemimpin, mereka mempunyai tugas yang lebih besar daripada itu.

Dalam kes bencana alam, mereka dipertanggungjawabkan untuk merangka persiapan awal, menggerakkan tenaga dan jentera untuk membantu mangsa-mangsa.

Mereka perlu bertindak sejak di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri lagi dan seterusnya memastikan bantuan pra dan pasca bencana berjalan dengan lancar dan berkesan.

Sekiranya ini gagal dilaksanakan, barulah rakyat atau netizen wajar mengkritik kelemahan mereka.

Bukan kondem mereka apabila mereka tidak berlumpur dan berpeluh kerana mencuci rumah mangsa banjir.

Mangsa banjir tidak mengharapkan menteri atau wakil rakyat datang membantu mencuci kediaman dan premis mereka.

Yang mereka harapkan ialah pemimpin ambik cakna nasib mereka.

Yang mereka harapkan ialah pemimpin memastikan ada pihak yang menyelamatkan dan meringankan beban mereka.

Sekurang-kurang wakil rakyat menjenguk mereka ketika mereka terdesak; bukan datang setelah semuanya telah kembali normal.

Dalam keadaan kesusahan, mereka bosan melihat pemimpin yang datang berlenggang dengan iringan wartawan tanpa secubit buah tangan.

Sekurang-kurangnya bawalah sedikit juadah dan barang keperluan harian sebagai tanda memahami beratnya bahu yang memikul daripada mata yang memandang.

Tetapi apakah yang berlaku kepada para pemimpin PAS secara umumnya?

PAS ini asalnya parti yang susah.

Susah kerana tidak menguasai kerajaan.

Susah kerana tiada wang.

Ahli dan pemimpin PAS kebanyakannya sudah terbiasa bergelumang dalam situasi yang sukar.

Untuk menjayakan perjuangan, mereka bersusah-payah dengan tenaga dan harta sekadar yang ada.

Pakat-pakat edar tin Milo untuk bergerak dan bantu masyarakat.

Pakat-pakat turun padang dengan duit sendiri walaupun bertaraf ulama dan pesuruhjaya negeri.

Keadaan ini seusia dengan penubuhan PAS yang sudah 70 tahun.

Ahli dan pemimpin PAS terdidik dengan keadaan begitulah.

Jadi apabila berlaku sahaja bencana baik banjir, ribut, kebakaran dan kematian, maka mereka akan bergegas membantu dan menjenguk mangsa.

Bukan banjir besar 2021 ini sahaja para pemimpin PAS turun di lapangan menyinsing seluar dan lengan, tetapi itulah situasi yang sekian lama berbudaya dalam PAS yang tidak mendambakan gelaran ‘wira yang tidak didendang’.

Maka apabila berlaku banjir besar terutama di Selangor dan Pahang pada tahun ini, masyarakat melihat dengan mata kepala bagaimana para sukarelawan PAS dari Khidmat Malaysia, Jabatan Amal, Ameerah dan Briged Muslimat yang mendapat tarbiyah dari PAS bekerja bergilir-gilir membantu mangsa.

Ada yang mengagihkan makanan siap masak.

Ada yang membawa bantuan barang keperluan dapur.

Ada yang berkhidmat mencuci sekolah, premis perniagaan dan rumah persendirian.

Ada pula yang membawa ahli-ahli yang berkepakaran untuk membaikpulih barangan eletrik dan menghidupkan enjin motorsikal yang kelemasan.

Tidak dinafikan pada era media sosial ini, segala-galanya dirakam sebagai kenangan dan perkongsian dengan ahli keluarga dan rakan-rakan.

Maka akan ada sebaran-sebaran seolah-olah para pemimpin dan sukarelawan ini menunjuk-nunjuk untuk mencari pujian.

Demikianlah sepintas renungan PAS dalam masyarakat.

Selalu orang berkata, ‘biarlah gambar berbicara’.

Sejak PAS ditubuhkan hinggalah sebelum PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan, tiada Utusan Malaysia dan Berita Harian untuk menyiarkan bagaimana PAS berkerja; tiada RTM atau TV3 membuat liputan PAS di lapangan bencana.

Hanyalah kini apabila adanya fb, whatsapp dan seumpamanya, barulah gambar mula berbicara untuk kerja pemimpin dan ahli PAS.

Maka janganlah sesiapa samakan kerja ikhlas sukarelawan PAS dengan organisasi lain.

Sukarelawan yang membantu itu mungkin seorang doktor.

Mereka mungkin seorang jurutera.

Mereka mungkin seorang ulama.

Mereka mungkin bekas tentera.

Mereka adalah sukarelawan walau apupun jawatan dan taraf mereka.

Kalian mungkin tidak kenal mereka kerana mereka tidak memakai uniform jawatan mereka.

Uniform mereka dalam situasi bencana ialah berwarna merah dan diselang-seli dengan warna hijau kesayangan mereka.

Tidak perlu dipuji tapi janganlah digores hati mereka dengan umpat dan keji.

Salam Muhammad

Kolumnis