PAS Tidak Boleh Dikongkong UMNO

PAS Tidak Boleh Dikongkong UMNO

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa partinya tidak boleh dikongkong oleh UMNO dengan mengehadkan kemasukan parti lain dalam Muafakat Nasional (MN).

Beliau berkata, PAS pernah bersama UMNO menubuhkan Barisan Nasional (BN) yang sudah tidak berfungsi secara berasingan dan memerlukan tajdid (pembaharuan) terhadap BN yang telah ditolak dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Maka, Perikatan Nasional (PN) ialah pembaharuannya dalam bentuk yang lebih besar.

“Justeru, PAS tidak boleh dikongkong dengan hanya bersama UMNO sahaja.

“Kita telah memulakan langkah dengan menubuhkan kerajaan bersama dalam gagasan PN yang baharu berada di peringkat permulaaan.

“Oleh itu, perpaduan yang wujud ini jangan sekali-kali dirungkai di tengah-tengah perjalanan kerana sebab yang tidak berkaitan dengan peranan melangsungkan tugas islah (pembaikan dan pembetulan).

“Antara sebab-sebabnya seperti faktor peribadi atau pembahagian jawatan dalam kabinet kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah faktor sampingan sehingga menyebabkan PAS banyak berlembut dalam isu ini,” katanya dalam akaun Facebook miliknya.

Pada masa sama, katanya, masyarakat Malaysia yang didominasi oleh bangsa Melayu yang beragama Islam berusaha menyatukan bangsa Melayu bermula dengan penyatuan melalui tiga parti besar; UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama PAS dalam gabungan MN.

“Sekiranya hanya disertai oleh PAS dan UMNO sahaja, gabungan tersebut tidak memadai,” katanya.

Tambahnya, PAS bertindak secara bersama menubuhkan PN bagi memecahkan asabiyyah kaum atau fanatik perkauman yang ditentang oleh PAS.

“Maka, PAS tidak boleh diheret sekali-kali ke dalam lingkungan perkauman yang sempit.

“Justeru, PAS wajib memecahkan tembok yang cuba mempertahankan elemen perkauman.

“Jadi, PN merupakan pemecahnya.

“Dalam sifir politik bagi melakukan satu perubahan, perkara itu tidak akan dapat dicapai jika hanya melalui platform MN sahaja yang melibatkan PAS dan UMNO semata-mata,” katanya.

“Justeru, beliau berkata, PAS berpegang kepada keputusan untuk melebarkan MN yang tidak terhad kepada PAS dan UMNO sahaja.

“Seterusnya melangsungkan kerjasama yang telah terjalin dalam masyarakat majmuk sejak merdeka dengan pembaharuan melalui penubuhan PN.

“Agenda bagi memperkukuhkan PN dalam kerajaan merupakan persetujuan bersama.

“Bahkan, bagi meneruskan kelangsungan perubahan juga mewajibkan semua parti bersama PN.”

Baca tulisan penuh di sini: https://mediaislam.net/berita/2022/01/02/bersama-muafakat-nasional-mempertahankan-perikatan-nasional/

Politik