“Saya perlu memberitahu saudara satu daripada syarat kejayaan bagi satu perjuangan ialah keikhlasan.
Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa, mungkin tidak kuat.
Tetapi keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini dapat dilaksanakan.
Tidak ada gunanya kita cerdik, pandai, kuat, sekiranya kita tidak ikhlas apa yang diperjuangkan.
Kita sucikan tujuan kita kepada kita.
Kita ketepikan kepentingan yang lain dari itu, ini perlu pada kita.
Keikhlasan yang tidak ada belah baginya.
Keikhlasan yang tidak mengira yang selain dari apa-apa yang kita tuju di dalam perjuangan asal kita.
Kejayaan orang yang dahulu pada diri kita, semuanya pada keikhlasan.
“Amat perlu keikhlasan ini, kita tanam, kita pupuk pada diri kita” (Prof Dr Zulkifli Mohamad)
Almarhum Pak Mat atau Pak Din Hancur membetulkan meja jualannya dilobi masjid ar-Rahman Lembah Pantai, jualannya berterabur malah ada botol-botol barang jualan seperti sos yang terhempas ke lantai .
Aku menabrak meja jualan itu tanpa sengaja apabila tertekan pedal minyak lantas kereta terpakai yang aku beli itu meluncur masuk menerjah lobi masjid.
Lesen memandu yang baru dan kereta terpakai baru dibeli daripada Haji Roslan Zainal, pakej dengan penyakit “tebolah” aku!
“Ehh kamu ni ..pemuda” katanya dalam loghat Perak yang pekat.
Aku membantu membersih dan menyusun kembali barang-barang jualan Pak Mat.
Dia menyeringai senyum, memang dia tak akan marah aku berlebihan kerana aku juga yang sentiasa setia menghantarnya pulang ke Flat Kampong Kerinchi, biasanya selepas melahap nasi goreng di warung Pak Amjal.
Mantan Polis Khas zaman darurat itu adalah wira negara, zaman menjadi anggota pasukan polis khas mengempur komunis di hutan Pahang dan lain-lain negeri, beliau biasa bertempur dengan komunis.
Mendapat gelaran Pak Mat Hancur kerana laungan “hancur!” sentiasa dibibirnya ditempat lokasi ceramah PAS.
Dia penyokong tegar PAS tanpa apa-apa jawatan dicawangan atau kawasan.
Dia berjualan akhbar Harakah serta barangan lain untuk menyara kehidupan serta sebahagian besar hasil jualan diinfak kepada perjuangan PAS.
Pak Mat Hancur mewakafkan tanah dan membangunkan markaz tarbiah PAS di Bota Perak dengan hasil titik peluh dia berjualan akhbar Harakah dan lain-lain barangan.
Almarhum tak lokek memasukkan not duit 50 ringgit kedalam kocek pengkuliah dan pimpinan PAS (nilai dekad 90an).
“Ambik ler Ustaz, buat isi minyak kereta… saye ni nak kuliah, ceramoh tak gheti” tukas Pak Mat kepada pengkuliah dan penceramah PAS.
Sosok renta ini sangat berjasa, dia hadir ke lokasi ceramah dan demonstrasi dengan bajunya yang lusuh serta berkain pelikat.
Nuansa hidupnya untuk melihat Islam berdaulat dan memerintah ditanahair ini.
Bila dimeja makan dia akan bersyarah panjang dan aku hanya perlu mengangguk setuju kerana meja makan kami dia akan membayar pukal (Zaman kampus UM).
Kenangan itu sangat menghiba perasaan, potret perjuangan ahli biasa PAS yang tanpa jawatan sentiasa berkorban untuk jamaah yang dicintainya.
Pak Mat pada suatu hari tumbang dalam masjid ar-Rahman usai solat maghrib.
Aku dan seorang rakan lain mengejarkan beliau ke Klinik Nathan Jalan Bangsar untuk rawatan, kami memilih klinik Nathan kerana seorang ahli jamaah Masjid ar-Rahman iaitu Dr Herman bertugas disana.
Dalam perjalanan ke klinik, mulut Pak Mat yang separuh sedar itu mengumam kalimah Allahuakbar, kalimah yang dicintai Pak Mat semasa beliau sihat bugar.
Pak Mat mulai keuzuran selepas peristiwa “tumbang” dalam Masjid ar-Rahman UM, masjid yang menjadi pusat gerakan anak muda dalam dekad 1990an.
Pelbagai demonstrasi digalang di masjid ini pada hari jumaat dengan kemuncaknya ialah peristiwa 4 April 1997 (demonstrasi ops kriket).
Pak Mat Hancur kembali berjualan di tepi masjid ar-Rahman dalam gerai khas dibuat untuk beliau, guratan wajahnya semakin menampakkan keuzuran namun infaknya tetap mengalir laju.
Pohonlah duit daripada Pak Mat untuk Program PAS, hulurkan sijil-sijil wakaf tanah dan masjid, tangannya terbuka menyumbang tanpa perlu disodorkan kertas kerja!
Allah menjemput insan ini dengan penuh kemuliaan kembali ke negeri abadi.
Terbayang saat jenazah insan berjasa ini disolatkan, terlalu ramai manusia hadir untuk memberikan penghormatan yang terakhir, mendoakan seorang tua renta berpakaian lusuh berkain pelikat yang selama ini berkorban untuk perjuangan Islam.
Tanpa apa pun jawatan di peringkat Cawangan atau Kawasan Lembah Pantai manusia masih ramai berpusu-pusu ke kuburan dimana beliau disemadikan.
Para pimpinan PAS, para asatizah, orang ramai begitu ramai mengiringi jenazah Pak Mat @ Pak Din Hancur.
Laungan takbir bergema, satu kesayuan yang tak mampu dijelaskan untuk mengambarkan aura al-marhum, pengorbanan, pandai menjaga persahabatan, menyayangi para asatizah, hidup bukan untuk tanda jasa dan dipandang oleh manusia lain.
Sketsa hidupnya sangat unik, mantan anggota keselamatan negara yang cintakan perjuangan Islam dan diterjemaahkan dalam mozaik kehidupannya.
Keikhlasan dan istiqomah mudah disebut, meluncur dibibir mulut namun untuk dilaksanakan paling sukar.
Harakatul ummah ini merimbun dan telah melepasi tujuh dekad perjuangan kerana adanya watak-watak yang dikenali di langit.
Mereka ikhlas dan berkorban untuk perjuangan Islam tanpa adanya matlamat peribadi, agenda tersembunyi untuk meraih laba dunia, mobiliti sosial dan sebagainya.
Teman-teman mungkin biasa mendengar kisah heroik daripada seorang bekas pemimpin kanan PAS yang kini dalam bahtera lain yang setia dengan Dap.
Kisah penoreh getah di kawasan perdesaan Kedah yang menyisihkan tiga keping getah setiap hari untuk infaq kepada perjuangan.
Rumahnya uzur dan buruk, pakaiannya lusuh dan lama tak bertukar namun sebahagian pendapatan hariannya wajib disumbangkan kepada PAS.
Kelompok inilah yang kita temui setiap kali himpunan besar di kotaraya, datang daripada hujung kampong, menabung duit untuk menyertai rombongan ke Muktamar, himpunan, demonstrasi, dan lain -lain program jamaah.
Tuan Guru Haji Abdul Hadi pernah menitipkan pesanan kepada anggota legislatif PAS, pimpinan PAS Pusat selepas PRU 14 agar istiqomah dengan perjuangan, jangan mengabaikan ahli-ahli PAS bawahan yang telah berkorban untuk memenangkan mereka dalam pilihanraya.
Ahli-ahli yang bersengkang mata, mengucur keringat, berkorban harta benda bahkan melebihi calon pilihan raya bagi memastikan kemenangan jamaah.
Kelompok ahli yang istiqomah sehingga helaan nafas terakhir, mereka kadang tak dikenali, tak mendapat ganjaran dunia seperti elaun dan pencen namun kerja buat mereka untuk mendapat keredhaan Allah itulah yang menyuburkan perjuangan Islam walau berdada dengan pelbagai ujian.
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.
(Penulis merupakan AJK PAS Pusat, dan Pengerusi Lestari)