Empat Tahun; Terengganu Mencantas Politik Lapuk

Empat Tahun; Terengganu Mencantas Politik Lapuk

“Ada orang bertanya kepada saya, apa cabaran terbesar dalam mengurus tadbir sesebuah negeri?

Jawapan saya adalah memimpin perubahan minda, mindset change, islah dan tajdid…

“Petikan ucapan daripada Dr Sam, Menteri Besar Terengganu ketika Majlis Berbuka Puasa bersama Pegawai Tadbir dan Diplomatik anak Terengganu di Putrajaya.

9 Mei 2022, genaplah empat tahun pentadbiran PAS di Negeri Terengganu setelah berjaya merampas Terengganu daripada UMNO pada 2018.

Sepanjang tempoh empat tahun pentadbiran PAS ini, pelbagai kejayaan dan pencapaian yang telah dicipta, yang tak mungkin muat untuk dicatitkan pada lembaran kali ini.

Namun, di celah-celah ketebalan “success story” Negeri Terengganu itu, terdapat satu kejayaan yang cukup besar iaitu kejayaan memimpin perubahan minda.

Apa yang telah diubah?

Pemikiran politik rakyat dan pemimpin negeri Terengganu telah berubah kepada pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera.

Malah, empat tahun lalu selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, Dr Sam telah mengatakan pendekatan kerajaan negeri adalah politik kasih sayang.

Sedang ramai dari kita melihat politik itu sebagai medan kebencian, perkelahian, perbalahan, permusuhan, makian dan sumpah seranah, tiba-tiba ada tokoh nak bawa politik kasih sayang.

Ini sudah melawan tabiat politik yang kita fahami.

Lebih mencabar politik kasih sayang ini mahu didaratkan di negeri yang terkenal dengan budaya politiknya yang tegang.

Sidang DUNnya sentiasa panas dengan pencakaran mulut antara pemimpin.

Namun, empat tahun berlalu, kita dapat lihat suasana harmoni sudah pun muncul, tenang dan damai persidangan DUN berlangsung, diselit gelak tawa fokus bicara soal rakyat.

Terkadang ada juga sedikit yang terbabas ke budaya lama.

Gagasan kepimpinan negeri membawa politik matang menarik rakyat untuk tidak lagi berkelahi angkara perbezaan warna politik.

Tiada lagi penafian bantuan asbab berlainan parti politik.

Ini suatu nikmat yang cukup besar.

Pun begitu untuk berada pada tahap ini bukan suatu yang mudah.

Cabarannya besar terutama menebas budaya politik lapuk dan penegaknya.

Mat Said, figura nelang Terengganu sentiasa menyalakan mancis mahu membakar khemah harmoni yang sedang dinikmati di Terengganu.

Ucapannya yang menyala menjemput bermain api, namun, disimbah dengan kesejukan senyuman dan balasan hujah nan tuntas kepimpinan negeri.

Api Mat Said terpadam.

Malah, rakyat dibawah juga sudah bosan dan malu dengan politik lapuk yang cuba diterapkan.

Banyak yang berkata, “orang pakat nak baik, kita pulak nak start baloh”.

Bagi aku, inilah kejayaan terbesar negeri Terengganu disebalik lapisan tebal kejayaan-kejayaan yang ada.

Jagalah nikmat keharmonian dan kasih sayang ini.

Jangan kembalikan suasana baloh dan tegang lagi.

Teguh Pertahan

Ahmad Fahmi Mokhtar

Kolumnis