Kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minima baru RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara.
Pelaksanaan gaji minima itu dikatakan akan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Langkah ini satu langkah yang terpuji sepatutnya.
Ia sepatutnya langkah yang membantu golongan B40.
Tetapi keadaan yang ada pada hari ini kemungkinan besar akan menekan golongan B40 dengan lebih dahsyat.
Masalahnya sebahagian besar produk keluaran makanan negara datangnya daripada syarikat besar.
Kebanyakan bahan mentah makanan pula diimport.
Perang Russia dan Ukraine melonjakkan harga makanan kerana ia menjejaskan gangguan bekalan.
Perang ini telah menyebabkan harga makanan naik mendadak.
Kedua-dua negara ini adalah antara pengeluar terbesar gandum dan jagung di pasaran dunia iaitu kira-kira 30% pasaran eksport dunia.
Selain itu, Ukraine juga adalah pengeluar minyak matahari terbesar di dunia.
Minyak matahari adalah minyak sayuran ketiga yang paling banyak dipasarkan di dunia selepas minyak sawit dan soya.
Fahamlah kenapa harga minyak sawit naik mencanak.
Kesannya semua harga minyak masak naik melainkan minyak yang disubsidi kerajaan.
Kebetulan waktu ini, nilai ringgit juga menurun ke paras RM4.40 berbanding satu dolar Amerika Syarikat yang menyebabkan kos import dan logistik meningkat secara mendadak.
Waktu ini jugalah pengeluar-pengeluar makanan di Malaysia perlu menaikkan gaji minimum kepada pekerja.
Inflasi di serata dunia dijangka menjadi teruk.
Jepun mencatatkan inflasi 2.1% pada bulan April, kadar tertinggi sepanjang 13 tahun yang lalu.
Seperti Malaysia, nilai yen juga jatuh mendadak.
Malaysia dijangka berdepan dengan masalah yang sama seperti Jepun.
Cabaran krisis makanan, krisis ekonomi dan krisis kemiskinan sudah di depan mata.
Ia kemungkinan bertukar menjadi tsunami.
Masalahnya adakah kerajaan Malaysia sudah bersedia?
Tidak pasti.
Yang pasti, ada satu parti tidak peduli pun mengenai krisis yang bakal melanda rakyat dan negara.
Mereka hanya sibuk mahukan pilihan raya.
Dan inilah parti yang yakin rakyat akan menyokongnya.
Timmy Say