Antaranya kena tengok latarbelakang keluarga dan pendidikan Tuan Guru, sebab peribahasa menyebut nak melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Di bawah ini ada data-data baru berkenaan latarbelakang keluarga dan pendidikan Tuan Guru yang mungkin ada belum mengetahuinya.
Moga ianya dapat dijadikan iktibar dan pedoman.
Ringkasnya sebagaimana berikut:
Tuan Guru Abdul Hadi bin Awang lahir pada 20 Oktober 1947 di Kampung Rusila, sebuah perkampungan nelayan, Marang, Terengganu.
Beliau datang daripada keluarga yang kuat berpegang dengan ajaran agama.
Susun galur keturunan Tuan Guru sama ada sebelah ayah atau ibu terdiri daripada alim ulama, pendakwah dan tokoh masyarakat serta aktivis politik di Terengganu.
Moyang sebelah bapa Tuan Guru iaitu Haji Abdullah ialah Hakim Mahkamah Hukum Islam di Pengadang Buloh, Terengganu sebelum kedatangan penjajah British.
Datuk sebelah bapa Tuan Guru iaitu Haji Abdul Rahman bin Haji Abdullah pernah bertugas sebagai Penghulu Daerah di Mukim Rusila dan berguru dengan Sheikh Abdullah Tahir.
Manakala datuk di sebelah ibu Tuan Guru iaitu Haji Yusuf antara individu yang bersama Haji Abdul Rahman Limbong menubuhkan cawangan Sarekat Islam di Terengganu semasa penjajahan British.
Bahkan ayah kepada Tuan Guru iaitu Haji Awang pernah dilantik sebagai Pengerusi Hizbul Muslimin negeri Terengganu yang ditubuhkan oleh agamawan di Maahad Ihya’ Ash-Sharif Gunung Semanggol pada Mac 1948.
Ayah Tuan Guru merupakan individu pertama memberi didikan agama secara langsung kepada beliau.
Ini menunjukkan Tuan Guru dibesarkan dalam suasana keluarga yang memberi penekanan terhadap didikan agama semenjak kecil lagi yang membentuk sikap, perwatakan dan pemikirannya.
Tuan Guru kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Muda di Universiti Madinah, Arab Saudi dalam jurusan Perundangan Islam pada tahun 1969.
Semasa di sana, beliau tidak berpada dengan subjek-subjek yang diajarkan di dalam kuliah sebaliknya mengambil inisiatif menghadiri halaqah daripada guru-guru di Masjid Nabawi.
Di sana, Tuan Guru pernah menuntut ilmu dengan Sheikh Abu Bakar Jabir al-Jaza’iri, seorang ulama tafsir di Universiti Islam Madinah dan Masjid Nabawi.
Minat Tuan Guru dalam bidang tafsir al-Quran mendorongnya menjadikan Tafsir Adwa’ al-Bayan oleh Sheikh Muhammad al-Amin al-Shinqiti sebagai subjek latihan ilmiahnya.
Tuan Guru juga pernah berguru dengan Sheikh Abu Muhsin Abbad, Sheikh Abu Ghaffar Hassan, Syeikh Muhammad al-Amin al-Shinqiti, Sheikh Mahmud Wafa, Sheikh Abu Jawwad, Sheikh Yusuf Abdul Rahman Al-Darra’ dan Sheikh Ahmad Ansari.
Antara subjek yang dipelajari oleh Tuan Guru ialah ilmu tafsir, hadith, fiqh, perbandingan mazhab, ideologi, politik, perkembangan dunia Islam dan perbandingan agama Islam, Yahudi, Kristian, Buddha, Hindu, mazhab sesat dan kebatinan.
Tuan Guru juga mendapat ijazah sanad berkait dengan kitab tafsir, fekah, hadith dan lain-lain daripada Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani.
Tuan Guru petah berbahasa Arab.
Kemampuan ini menyebabkan beliau mendapat perhatian tokoh Ikhwan Muslimin.
Beliau berpeluang mendampingi tokoh Ikhwan Muslimin seperti Sheikh Saᶜid Hawa.
Tuan Guru pernah dilantik salah seorang naqib usrah pelajar ketika belajar di Madinah.
Bahkan beliau mengikuti usrah nuqaba dan program lain di bawah bimbingan Sheikh Saᶜid Hawa.
Banyak buku Sheikh menjadi rujukan Tuan Guru dalam menghasilkan karya seperti Aqidah Muslimin dan Fiqh Harakah dalam Sirah Nabawiyyah.
Ini mengambarkan betapa rapatnya hubungan Tuan Guru dengan Sheikh Saᶜid Hawa.
Selesai pengajian di Madinah, Tuan Guru menyambung pula pengajian peringkat Sarjana di Universiti al-Azhar, Mesir dalam jurusan Siyasah Syariah di Kulliyyah Syariah bermula 1974 dan menamatkannya pada 1976.
Tempoh pengajian ini memberi peluang kepada Tuan Guru meneroka pengalaman baru berkenaan gerakan Islam.
Semasa di al-Azhar, Tuan Guru melibatkan diri dengan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
Ini membolehkan beliau berhubung dengan pemimpin tinggi Ikhwan Mesir ketika itu seperti ᶜUmar al-Tilmisani, Mustafa Masyhur, Ma’mun Hudaybi, Mahdi ᶜAkef dan Dr. Muhammad Badi’ yang banyak memberi dorongan kepadanya untuk terus beriltizam dengan gerakan Islam.
Dari satu sudut, kita dapat lihat latarbelakang pengajian dan kegigihan Tuan Guru dalam menuntut ilmu seperti menyertai halaqah tafsir dan berguru dengan guru yang memiliki kepakaran dalam bidang tafsir menonjolkan kelayakannya untuk mentafsirkan al-Quran.
Bahkan, penglibatan beliau bersama gerakan Islam juga memainkan peranan dalam mencorakkan kecenderungannya ketika menghuraikan ayat-ayat al-Quran.
Inilah sedikit catatan perjalanan seorang ulama yang bukan sahaja perlu dikagumi sosok tubuhnya, bahkan perlu dihargai khazanah keilmuannya.
Perlu dimanfaatkan buah fikirannya, diolah dan diadun agar bermanfaat buat segenap lapisan masyarakat terutamanya para pengerak dakwah.
Di sini juga menunjukkan pentingnya pendidikan dalam membentuk pemikiran manusia.
Semoga sedikit data ini dapat memberi gambaran perjalanan yang dilalui Tuan Guru sehingga menjadi seorang alim sebagaimana yang kita kenali.
Rujukan:
(1) Abdul Ghani. 1997. Metodologi Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Tafsir al-Quran.
(2) Riduan Mohd Nor. 2009. Abdul Hadi Awang: Murabbi, Ideolouge, Pemimpin.
(3) Haziyah Hussin. 2014. Al-Manhaj al-Harakī fī Tafsīr al-Shīkh Saᶜīd Ḥawa: Dirāsah Tahlīliyyah.
(4) Nuur Farhana. 2016. Sumbangan Tuan Guru Abdul Hadi Kepada Penubuhan Dan Perkembangan Maahad Darul Quran.
(5) Haziyah Hussin, Najah Nadiah Amran & Sabri Mohammad. 2021. Fiqh Dakwah Abdul Hadi Awang. Dlm. Fiqh Siasah Abdul Hadi Awang dalam Sosiopolitik Malaysia dan Antarabangsa.
(6) Latifah Abdul Majid, Zuliza Mohd Kusrin & Jaffary Awang. 2021. Biografi Abdul Hadi Awang. Dlm. Fiqh Siasah Abdul Hadi Awang dalam Sosiopolitik Malaysia dan Antarabangsa.
Khairi Azib