Penegasan Halus Penyatuan Ummah Di Hadapan PM

Penegasan Halus Penyatuan Ummah Di Hadapan PM

Sebelum ini telah berkali-kali Dr Sam menekankan peri pentingnya penyatuan ummah.

Kali ini nampaknya beliau memanfaatkan masa berucap dihadapan PM untuk menekankan soal penyatuan dengan lapikan peribahasa, Dr Sam berucap:

“Apa jua perbezaan yang ada antara kita, samada perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik, janganlah sampai digadai nikmat penyatuan dan perpaduan yang ada.”

“Segala masalah mahupun perselisihan, perlulah diselesaikan secara sebuah keluarga, iaitu Keluarga Malaysia.

“Pepatah menyebut: Cincang Air Tidak Putus, Pancung Abu Tidak Berbekas.”

Sepatutnya kepimpinan UMNO yang keras-keras macam Mat Said boleh faham.

————-

Peluang dihadapan PM juga dimanfaatkan oleh Dr Sam memperkenalkan pendekatan kerajaan negeri yang digerakkan sejak dari 2018 hingga kini:

“Kami di Negeri Terengganu, amat menyambut baik konsep ini, dan ianya selari dengan pendekatan Kerajaan Negeri, yang membawa pendekatan Politik Matang dan Sejahtera, Politik Kasih Sayang, bagi mengendurkan apa yang tegang, mendekatkan yang jauh, mengharmonikan yang kusut dan menjernihkan yang keruh.”

“Pendekatan Keluarga Malaysia, yang diasaskan dengan Kasih Sayang ini, akan terus diperjuangkan, sehinggalah kita mencapai apa yang dihasrat, bak kata pepatah: alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan; alang alang berdakwat biarlah hitam.”

Dari ucapan atas jelas komitmen yang diberikan oleh Dr Sam untuk terus tegar memperjuangkan agenda besar ini.

Ini terbukti, walau bermacam yang dikata oleh kepimpinan UMNO Terengganu, ajakan dan pelawaan kepada penyatuan ummah tetap dihulurkan.

‐—————-

Yang akhir ini, suatu jentikan halus kepada pimpinan yang sepatutnya menunjukkan contoh tauladan membawa agenda penyatuan ini kepada rakyat,

Dr Sam terus bermadah:

“Peribahasa Melayu menyebut: “Kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan, uratnya tempat bersila, batangnya tempat bersandar” – memberi makna, bahawa pemimpinlah, yang menjadi tempat rakyat mengadukan nasib, dan pemimpinlah pula yang bertanggungjawab, untuk memimpin rakyat, ke arah gagasan dan wawasan yang terbaik buat mereka.”

Benar, pimpinanlah yang mencorak rakyat dan pengikutnya.

Jika pemimpin mahu berpecah, maka, pengikut juga akan ikut mahu berpecah.

Begitulah sebaliknya.

Tiada guna bersusah payah menyambut PM di lapangan terbang dengan ber”bengkak” muka, tapi sambil lewa membawa wawasan yang digagaskan PM kepada rakyat dan pengikut sendiri.

–‐————-

“Sudah tentu tugas ini besar agendanya, berat bebanannya, tetapi boleh dijayakan, sekiranya kita semua mempunyai iltizam yang kuat untuk menjadikannya sebagai satu sejarah baharu dalam negara kita yang tercinta ini.

Bidalan Melayu ada menyebut: “Naik Membilang Anak Tangga, Turun Selangkah Jejaklah Bumi.”

Sekali lagi, sikap optimis diterjemahkan, walaupun tahu bukan senang untuk menjinakkan Mat Said dan kawanannya, tapi harapan untuk jayakan hasrat itu masih ada.

Jika Mat Said tidak mengikut arus dari hulu ke hilir, dari PM, dari MB, barang mungkin bakal tenggelam dimuara politik negara.

Ahmad Fahmi Mokhtar

Kolumnis