Festival Bon Odori: Peranan Pihak Berautoriti Dalam Menjaga Akidah Umat

Festival Bon Odori: Peranan Pihak Berautoriti Dalam Menjaga Akidah Umat

Benarkah akidah umat Islam di tanah air kita dalam keadaan parah?

Pihak yang berautoriti wajib mengkaji, menilai dan menyelamatkan situasi ini.

Akidah adalah nilai terpenting yang wajib dijaga oleh setiap muslim.

Tanpa pegangan akidah yang benar, nilai diri manusia adalah kosong di sisi Allah.

Apakah kekurangan majlis ilmu dan pengajian kitab tentang akidah menjadi punca umat Islam di negara kita jahil?

Dalam konteks ini siapakah yang bersalah?

Ketua agama Islam, pihak berautoriti atau masyarakat itu sendiri?

Mengikut kajian oleh JAKIM, Festival Bon Odori dilaporkan ada unsur agama lain iaitu Buddha Jepun.

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad telah menasihati umat Islam agar tidak menyertai festival itu.

Mengikut Wikipedia, Bon adalah adat Buddha Jepun untuk menghormati roh nenek moyang seseorang.

Jelas, festival ini melibatkan unsur agama, bukan sekadar budaya bangsa.

Di penjuru yang lain, ada ketua agama berpesan agar orang ramai termasuk umat Islam tidak disekat menghadiri festival ini.

Ini bermakna umat Islam juga bebas ke program tersebut.

Alangkah baik sekiranya para mufti mengeluarkan nasihat yang berani berdasarkan hukum yang benar.

Jangan hanya menjadi mufti musang berjanggut atau mufti pak turut yang selesa di dalam zonnya.

Sebenarnya, isu umat Islam menghadiri program agama lain ini bukan perkara baru di negara kita.

Sambutan besar-besaran Thaipusam bagi penganut agama Hindu telah lama diadakan di Batu Caves, Selangor.

Ada segelintir umat Islam yang longgar akidah turut sama menghadiri festival tersebut, konon atas nama pelancongan dan berbilang budaya.

Orang-orang seperti ini jugalah begitu berbangga memakai kostum Santa Claus ketika Krismas.

Walaupun mesej nasihat oleh para asatizah bersepah dalam media sosial apalagi kuliah-kuliah ilmu, namun golongan ini ada pandangan sendiri yang menidakkan pandangan orang yang berilmu.

Secara jujurnya, saya sebagai rakyat tertanya-tanya apakah peranan ketua-ketua agama di setiap negeri.

Sekiranya seseorang itu bukan seorang yang alim yakni berilmu dalam agama, layakkah dia diamanahkan menjadi ketua agama?

Bagaimana pula sekiranya seseorang itu tidak cukup solat 5 waktunya dan membaca al-Quran pun merangak-rangkak, layakkah mereka duduk di kerusi tersebut?

Bukankah ketua agama dipilih daripada kalangan orang yang alim dalam ilmu agama, hafaz dan boleh mentafsir al-quran dan mulia akhlaknya?

Mungkin mereka ada penasihat agama dan mufti.

Bagaimana pula sekiranya penasihat agama atau mufti itu jenis manusia yang takut berkata benar dan selesa dengan jawatan?

Tidakkah hancur umat ini?

Syukurlah sekiranya ada ketua agama yang menerimapakai nasihat dan pandangan mufti mengatasi pandangan diri sendiri atau ada penasihat agama atau mufti yang sanggup dipecat demi menyatakan hukum dan kebenaran.

Konklusinya, isu akidah ada masalah di negara yang mendakwa Islam sebagai agama Persekutuan ini.

Bercakap tentang sah batal akidah, dituduh mengkafirkan orang.

Bercakap tentang ajaran al-Quran dituduh menunggang agama.

Ingatlah muslimin dan muslimat sekalian; ada manusia yang Islam di sisi manusia dan Islam juga di sisi Allah.

Ada manusia kafir di sisi manusia dan kafir juga di sisi Allah.

Ada manusia, kafir di sisi manusia tetapi telah sempat menjadi Islam di sisi Allah.

Yang paling perlu dibimbangi ialah Islam di sisi manusia tetapi sebenarnya telah kafir di sisi Allah.

Siapakah mereka ini?

Merekalah yang terdiri daripada manusia yang telah rosak akidahnya walaupun namanya Islam, masih solat dan berpuasa serta dikebumikan secara Islam.

Mereka perlu diselamatkan.

Motif tulisan ini jelas untuk setiap jiwa sama ada Raja, Menteri, penguasa agama atau marhaen agar melakukan introspeksi sebelum berhadapan dengan Munkar dan Nakir di alam barzakh berbalut kain kafan seorang diri.

Siapa pun kita, jangan meremeh-remehkan soal akidah kerana itulah asas yang menentukan kita ke syurga atau kekal di neraka.

BayangDiAir

Kolumnis