Menjawab persoalan Ketua Penerangan UMNO, saudara Shahril Hamdan.
Kaitannya adalah pada Peguam Negara.
Mari kita buat review lagi sekali (walaupun sudah beberapa kali aku ulang pasal hal ni).
Perlembagaan Negara merupakan undang-undang paling tinggi dalam negara.
Peguam Negara pula, definisi dan kuasanya telah diberikan oleh Perlembagaan seperti mana yang tertulis pada Perkara 145.
Siapakah Peguam Negara?
Dia merupakan seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik oleh YDPA atas nasihat PM.
Nasihat ini pula bukanlah macam nasihat member kepada member.
Nasihat ini wajib diikuti oleh YDPA bertepatan dengan Perkara 40(1A) Perlembagaan. Mesti!
Kuasanya pula, kita boleh lihat pada Perkara 145(3) iaitu apabila berlaku sesuatu kes, Peguam Negara ada kuasa besar yang khas samada untuk memulakan, menjalankan atau MENGHENTIKAN sebarang kes dengan “Budi Bicara”nya.
Tidak perlu rujuk sesiapa untuk membuat hal ini dan tidak perlu mendapat pengesahan daripada mana-mana jabatan.
Itu ialah kuasa “Budi Bicara”nya.
Dalam kes jenayah pula, pihak yang mendakwa akan dipanggil sebagai Pendakwa Raya.
Di Malaysia, Pendakwa Raya dan Peguam Negara ini dua kali lima, lima kali dua.
Orang sama sahaja.
Jadi, Peguam Negara yang mana merupakan Pendakwa Raya mempunyai kuasa besar bagi menjalankan atau menghentikan sebarang kes dengan “Budi Bicara”nya.
Mudah bukan?
Berbalik kepada soalan awal tadi, apa kaitan Zahid Hamidi dengan PRU 15?
Zahid Hamidi disabitkan dalam kes jenayah (47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana berjuta-juta ringgit).
Yang mendakwa beliau merupakan Pendakwa Raya.
Pendakwa Raya merupakan Peguam Negara.
Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memberhentikan sebarang kes tidak kira samada kes sivil ataupun jenayah.
Peguam Negara itu pula merupakan lantikan Perdana Menteri Malaysia.
Nampak carta alirnya? Bagus.
Boleh ke berlaku sedemikian?
Jika dinilaikan dari sudut moral dan integriti, perkara ini sangat jijik.
Namun, dari sudut perundangannya, dibenarkan.
Sebab tiada peruntukan yang menghalang perkara ini berlaku.
Hatta tanpa penerangan daripada pihak pendakwaan pun, cara ini tetap sah.
Pernah ke berlaku kes seperti ini? Ya!
Pada tahun 2018, Hassan Karim (MP Pasir Gudang), Thomas Su Keong Siong (MP Kampar), R Sivarasa (MP Sungai Buloh) dan N Surendran (Bekas MP Padang Serai) telah ditarik balik pertuduhan kepada mereka.
Ini semua pernah berlaku dan boleh berlaku.
Katanya, kes sedang berjalan.
Boleh lagi ke Pendakwa Raya memberhentikan perbicaraan kes ini? Boleh!
Rujuk kepada Kanun Prosedur Jenayah.
Pada Seksyen 254 dengan jelas menyatakan Pendakwa Raya boleh menolak daripada mendakwa selanjutnya di mana-mana peringkat.
Tidak kiralah samada belum atau sedang dibicarakan, beliau boleh MEMBERHENTIKAN dan tertuduh itu hendaklah dilepaskan dari pertuduhan itu.
Pelepasan tertuduh itu bukan sebarang pembebasan.
Terlepasnya seseorang dengan cara Pendakwa Raya memberhentikan kes akan membuatkannya terlepas dan bebas daripada pertuduhan itu (Discharge Amounting to An Acquittal).
Maksudnya, yang dituduh itu suci daripada kes.
Seperti bayi baru lahir.
Ini merupakan adat biasa pendakwaan sekiranya pihak pendakwa memberitahu kepada mahkamah bahawa pendakwaan tidak lagi mahu diteruskan.
Dua kes besar yang menjadi titik hitam daripada kejadian ini.
Kes rumah Bungalow Lim Guan Eng dan kes 46 tuduhan rasuah Tan Sri Musa Aman.
Kedua-duanya digugurkan disebabkan pihak pendakwaan menarik balik semua tuduhan.
Kembali kepada apa yang dijawab oleh Ketua Penerangan UMNO, Saudara Shahril Sufian Hamdan.
Perkaitannya bukan kepada Hakim.
Perkaitannya adalah pada Peguam Negara.
Di situlah kebimbangan yang timbul.
Di situlah campur tangan berlaku seperti beberapa kes yang disebut awal tadi.
Peguam Negara adalah lantikan YDPA atas nasihat Perdana Menteri.
Pada perlantikan Peguam Negara sahaja pun dengan jelas nampak akan berlaku konflik.
Tidak ada pun yang merujuk kepada institusi kehakiman serta mengatakan mencalarkan kebebasan badan kehakiman.
Demikianlah beberapa fakta, peruntukan undang-undang serta pengaplikasian yang diluncurkan kepada semua.
Semoga ia bermanfaat untuk memberi kefahaman.
Yang Amat Arif, with that, I shall conclude my submission.
Thank you for your time and indulgence.
May it please this honourable court.
Dzafir Firdaus Ahmad Zubairy
Pengerusi Kelab Mahasiswa Penyokong PAS – Siswa PAS