Cadangan untuk mewujudkan khemah besar sebenarnya satu idea menarik.
Tetapi khemah besar itu mestilah benar-benar besar, bukan sekadar duduk bersama gabungan yang lemah.
Sebolehnya khemah besar itu biarlah kukuh.
Jika ditiup angin tidak runtuh.
Jika tidak, senario kerajaan 22 bulan bakal berulang.
Mengapa perlu mencari khemah andai kita mampu membuat rumah?
Sifat rumah itu asasnya kukuh, kerjasama antara batu bata rumah itu erat sehingga mampu membentuk dinding.
Di atasnya pula ada bumbung utuh yang melindungi semua.
Maka kerjasama apa lagi yang boleh diharapkan jika tidak sebuah kerjasama yang berteraskan aqidah dan pegangan, serta budaya yang sama sebagai asas?
Bumbungnya pula adalah Institusi Beraja yang selama ini melindungi kita.
Kerjasama ini mesti menghormati dan meninggikan prinsip asas perlembagaan.
Sebab itu ia digelar sebagai rumah.
Kerana utuh dan jelasnya apa asasnya dan apa pula matlamatnya.
Penganalisis Politik, Dr Hoo Ke Ping pernah mengatakan kesepakatan antara UMNO, PAS serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menghasilkan sekurang-kurangnya 100 kerusi.
130 kerusi majoriti Melayu itu bincanglah baik-baik dalam ahli rumah.
Gerakan Pengundi Sedar GPS juga ada mengeluarkan satu simulasi berdasarkan PRK Rantau sekiranya PRU dijalankan pada saat Muafakat Nasional digerakkan pada 2019.
Kerajaan negeri Sembilan boleh bertukar tangan kepada gabungan Rumah BN-PAS dengan memenangi 29 kerusi mengalahkan PH dengan 7 kerusi.
Itu kajian di negeri Sembilan, bagaimana dengan negeri-negeri lain?
Sudah tentu, kajian ini kajian lama.
Saat semuanya manis belaka.
Tetapi tidak mustahil senario sama boleh diwujudkan semula.
Tunggu kita perbetulkan niat sahaja.
Yang untung rakyat juga.
Rasanya apa yang dikongsikan ini sudah tentu tidak dapat menandingi data oleh think tank setiap parti.
Pasti ada maklumat lebih besar di tangan masing-masing.
Semua sedang mengira langkah apa patut diambil selagi masa masih ada.
Last minute pun tidak apa, asalkan kita untung.
Tetapi sebuah koalisi yang kukuh mestilah ada elemen kepercayaan dan keyakinan.
Kita mungkin tahu ada kemungkinan perancangan tidak berjaya, tetapi kita percaya gabungan kita pilih itu adalah yang terbaik.
Itulah yang perlu ada pada gabungan parti ‘Melayu Raya’ bagi berhadapan pilihanraya akan datang.
Bawalah harapan baru kepada anak muda.
Kita tolak khemah tapi bina rumah
Uthman Che Aziz